02 Oktober 2011

RASUAH SATU BILION, LEPAS TAHANAN POLIS

Pengurus rasuah polis Indonesia diburu Interpol, PDRM

IPOH: Seorang pengurus syarikat minyak diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Antarabangsa (Interpol) selepas dikesan meloloskan diri sejurus memberi rasuah sebanyak satu bilion rupiah (RM369,000) kepada dua pegawai polis republik Indonesia (Polri).

Sumber polis Bukit Aman berkata, suspek yang diburu Direktorat Narkotika Polri Jawa Barat, Indonesia, dipercayai melarikan diri dan pulang semula ke tanah air selepas terbabit dengan kes jenayah rasuah dan dadah pada 20 Ogos lalu.
Difahamkan, suspek dikenali sebagai Adjri Abdulah, 36, mulanya ditahan di Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara, Bandung, oleh polis sebelum pemeriksaan pada suspek menemui dadah syabu seberat 4.2 gram.

Suspek yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa kemudian ditahan untuk soal siasat oleh pegawai Polri.Bagaimanapun, suspek berjaya mengumpan dua pegawai polis Polri dengan menawarkan habuan suapan 1 bilion rupiah (RM369,000) bagi membolehkan dia dibebaskan.

Akibat gelap mata dengan jumlah wang sebesar itu, dua pegawai polis terbabit bersetuju menerima wang berkenaan sebelum membebaskan suspek.Suspek kemudian dipercayai pulang ke tanah air sejurus menyerahkan wang rasuah kepada dua pegawai polis berkenaan.Berdasarkan soal siasat, suspek mendakwa bertugas sebagai pengarah sebuah syarikat minyak berpangkalan di Malaysia.

Seorang pegawai Polri yang menerima suapan itu kemudian memberikan wang rasuah diterima sebanyak 500 juta rupiah (RM184,500) kepada isterinya.Bagaimanapun, pihak atasan Polri berjaya menghidu kesalahan dilakukan dua pegawai polis berkenaan sebelum menahan mereka dan dihadapkan ke mahkamah.
Kes itu disifatkan luar biasa dan pertama kali berlaku apabila polis negara itu berjaya disogok dengan wang dalam jumlah terlalu besar oleh penjenayah berasal dari Malaysia.Susulan itu, polis Indonesia menghantar permohonan meminta bantuan Interpol dan PDRM untuk memburu suspek warga Malaysia berkenaan.Difahamkan, polis Indonesia berharap penjenayah terbabit berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis republik itu untuk disiasat sebelum dijatuhkan hukuman berat.

Sementara itu, kes berkenaan mendapat liputan luar biasa akhbar negara itu seperti Surabaya Post, Tribun news, Detik.Com yang menganggap tindakan Polri menerima suapan sebagai keterlaluan dan patut dipecat.Sementara itu, Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata pihaknya memberikan kerjasama bagi memburu suspek berkenaan yang dipercayai bersembunyi di negara ini.Beliau ketika dihubungi berkata, permohonan bantuan yang diminta Polri akan melalui Interpol terlebih dulu sebelum dirujuk kepada JSJN bagi membantu siasatan.

“Sebelum ini, pihak kita juga memberi kerjasama kepada mereka berhubung kes penyeludupan dadah, jadi kita sedia membantu dalam semua sudut sehingga tertangkapnya suspek,” katanya.Menurutnya, setakat ini pihaknya masih menunggu Interpol membuat siasatan awal untuk mengesan suspek.
SUMBER: hmetro.my

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...