02 Oktober 2011

PIKET: PEKERJA GESA BATAL KERJASAMA MAS-AIRASIA

Pekerja gesa batal kerjasama MAS-AirAsia, jika tidak piket awal Dis

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Lapan kesatuan dan persatuan pekerja memberi kata dua agar kerajaan membatalkan perjanjian kerjasama antara Malaysia Airlines (MAS) dan Kumpulan AirAsia dalam tempoh dua bulan dan jika tidak akan mereka mengadakan piket awal Disember ini.

Pendirian itu diputuskan hari ini atas alasan kerjasama yang dimeterai antara MAS dan AirAsia awal Ogos lalu semakin merugikan hampir 20,000 pekerja syarikat penerbangan kebangsaan.

“Kita beri dua bulan kepada Khazanah membatalkan perjanjian dan kembali kepada kedudukan asal. Jika tidak, kami akan teruskan piket kami, yang kami memutuskan untuk diadakan awal Disember ini,” kata Presiden Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu) Alias Aziz ketika dihubungi.

Kata beliau, kesemua lapan kesatuan dan persatuan memutuskan agar MAS membeli balik saham yang dibeli oleh AirAsia dan memulangkan kesemua saham AirAsia yang dibeli MAS.

Selain Maseu, pendirian hari ini dibuat sebulat suara oleh Persatuan Kakitangan Eksekutif MAS, Persatuan Juruterbang MAS, Jawatankuasa Pekerja Eksekutif MAS Sarawak, Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Penerbangan Sabah, Kesatuan Pekerja-pekerja Penerbangan Sarawak, Persatuan Eksekutif MAS Sabah dan Persatuan Pekerja Pengurusan MAS.

Mereka juga memutuskan untuk meminta Persekutuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Antarabangsa memboikot kedua-dua MAS-AirAsia jika kerjasama diteruskan dan sebuah syarikat penerbangan baru ditubuhkan.

Pemegang saham utama MAS dan AirAsia memeterai rangka kerja kerjasama komprehensif untuk meneroka peluang sinergi dalam pelbagai bidang di bawah sektor penerbangan awal Ogos lalu.

Di bawah perjanjian itu, Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham terbesar dalam AirAsia, mengambil alih 20.5 peratus saham MAS.

Kazanah Nasional Berhad pula memiliki pegangan 10 peratus saham AirAsia tetapi terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

Semua syarikat terbabit juga akan melengkapi bidang perniagaan satu sama lain serta memanfaatkan daya saing teras masing-masing dan mengoptimumkan kecekapan untuk manfaat pengguna.

Alias berkata pihaknya tidak mahu masalah dan nasib yang dialami pekerja-pekerja MAS sejak selepas era Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman iaitu bekas pengarah urusannya berulang lagi.

Malah kata beliau, pihaknya melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penjelasan yang diberi pihak pentadbiran berhubung kerjasama syarikat itu dengan AirAsia.

Menurut beliau, penjelasan yang diberikan oleh Pengarah Urusan MAS Ahmad Jauhari Yahya semalam berhubung pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan AirAsia juga tidak memuaskan.

Sehubungan itu kata Alias, pihaknya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu semasa.

“Kami telah menghantar surat kepada Datuk Seri Najib hari ini, meminta pertemuan untuk membincangkan isu kami,” kata beliau sambil menambah, Khazanah seharusnya membantu menjaga kepentingan pekerja, bukannya golongan individu tertentu.

Najib juga merupakan Menteri Kewangan.

Pada 13 Ogos lalu, Alias meminta pentadbiran baru ekoran kerjasama MAS-AirAsia agar mempertimbangkan semua isu terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa perubahan penting dalam pentadbiran MAS.

Mereka juga melahirkan rasa lega apabila Najib dalam perjumpaan singkatnya dengan Maseu dua bulan lalu memberi jaminan bahawa tiada pembuangan pekerja termasuk pemberhentian secara sukarela akan dilakukan.

Malah ketika itu, Maseu turut berharap pindah milik saham MAS dan AirAsia mampu memberi perkembangan positif kepada kedua-dua belah pihak.

Sebelum ini pihaknya juga mendakwa kesatuan itu menjangkakan hampir 80 peratus pekerja syarikat itu akan dipindahkan ke syarikat penerbangan baru - Sapphire yang bakal ditubuhkan di bawah kerjasama MAS-AirAsia.

Setiausaha Agung Maseu Abdul Malek Arif memberitahu langkah sedemikian akan menjejaskan keahlian kesatuan dan memberi kesan ke atas keupayaan mewakili tenaga kerja.

Alias berkata pendirian pihaknya juga termasuk keputusan MAS yang akan bersama-sama AirAsia menaja jersi kelab bola sepak Queens Park Rangers (QPR) dalam Liga Perdana Inggeris bagi musim 2011/2012 dan 2012/2013.

“Kalau AirAsia dan ketuanya nak membeli QPR itu hak mereka, tetapi MAS menaja jersi, kami membantah... kami tidak setuju. Lebih baik wang itu digunakan untuk kebajikan pekerja MAS,” kata beliau lagi-tmi

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...