Akta Hasutan kekal sudah dijangka - Rafizi
Rafizi Ramli
Pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang Akta Hasutan akan terus kekal malah diperketatkan lagi adalah suatu yang sememangnya dijangka.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, pengumuman Perdana Menteri itu sebaliknya membawa mesej jelas yang Najib kini berada dalam keadaan tertekan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Dakwanya lagi, keputusan Najib pada ucapan Perhimpunan Agung UMNO hari ini itu menunjukkan Ahli Parlimen Pekan itu semakin lemah dan terpaksa tunduk kepada tekanan daripada pihak-pihak lain dalam UMNO.
"Saya rasa orang memang agak dan tahu Akta Hasutan akan dikekalkan tetapi faktanya dia (Najib) terpaksa tunduk menunjukkan pengaruh dan kedudukannya dalam UMNO goyah. Saya tidak merasakan pengumuman Najib mahu hapuskan akta berkenaan awal lagi adalah wayang semata-mata, dia memang berniat mahu hapuskan (Akta Hasutan).
"Walaupun dicadang ada Akta Keharmonian, saya tidak yakin ia boleh menjamin kebebasan dan keadilan rakyat bersuara tetapi paling kurang mungkin beberapa aspek Akta Hasutan itu akan dikurangkan. Saya rasa beberapa elemen dari Akta Hasutan akan dimasukkan dalam Akta Keharmonian dan saya rasa itu idea Najib awal lagi. Hari ini kamu boleh beri 'good bye kiss' kepada Akta Keharmonian itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu juga berpendapat Akta Hasutan itu mungkin dipinda dan dikuatkan lagi sepertimana disebut Najib semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2014 di sini hari ini.
Malah Rafizi mendakwa pengumuman Najib tentang mahu menghapuskan Akta Hasutan tidak disenangi ahli-ahli UMNO seperti mana juga beberapa tindakan yang dipuji rakyat seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Justeru katanya, apabila seorang PM dan presiden UMNO itu popular dengan rakyat ara pengaruhnya kuat dengan rakyat, dia mempunyai kedudukan yang baik dan tidak melayan tekanan UMNO.
"Sebab itulah dia berani mansuh ISA. Sekarang keadaan telah berubah kerana Najib adalah liabiliti UMNO kerana ketidakpopularan itu datang daripada beliau (Najib) sendiri iaitu soal 1MDB, pengurusan ekonomi teruk, penghapusan subsidi dan sebagainya. Itu yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan dalam UMNO untuk menekan Najib kerana dalam UMNO sudah nampak apabila presiden tak popular dan tak kuat dia akan diganti seperti yang berlaku pada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).
"Dalam keadaan sekarang sebab itu dia (Najib) tidak berani, dan merasakan dirinya tidak popular dan sedang dikritik bukan sahaja pasal soal Akta Hasutan tetapi kritikan peribadi soal 1MDB, soal isteri, jadi untuk elak diri dari terus ditekan, dia terpaksa tunduk dalam UMNO dalam soal Akta Hasutan," katanya.---MalaysiaGazette
2 ulasan:
Najib akhirnya mengerti melayu itu UMNO, UMNO itu melayu.. tahniah
Tapi apa kaitan melayu dengan akta hasutan ciptaan penjajah orang putih.
Sat gua pikiaq....blink....blink...blink....gua dah dapat!
Melayu UMNO= UMNO= Barua penjajah orang putih!
Eurekaaaaaa!!!...bijak gua....gua bijak dpt selesaikan misteri 3 serangkai!
Catat Ulasan