31 Disember 2013

PANAS ! MYANMAR BEBAS SEMUA TAHANAN POLITIK - REFORMASI POLITIK


Myanmar bebas semua tahanan politik



Myanmar pada Selasa mengumumkan "tidak ada lagi tahanan politik" selepas mengeluarkan satu perintah pengampunan menyeluruh bertujuan memenuhi janji presidennya untuk membebaskan semua tahanan politik sebelum akhir tahun ini.

Negara itu sebelum ini telah membebaskan sejumlah tahanan politik dalam rangka reformasi yang dilaksanakan sejak tamatnya pemerintahan tentera pada 2011 yang turut menamatkan pengasingan antarabangsa dan menyaksikan kebanyakan sekatan yang dikenakan oleh negara barat dibatalkan.

Bagaimanapun tidak jelas apakah pengampunan itu meliputi lebih kurang 40 tahanan politik yang ada dalam senarai aktivis kempen pembebasan itu serta 200 lagi yang masih menunggu dibicarakan kebanyakannya kerana terlibat dalam tunjuk perasaan tanpa izin.

Pada lewat Isnin, Myanmar mengumumkan ia akan mengampunkan mereka yang dipenjara di bawah undang-undang kontroversi termasuk Akta Darurat yang digunakan oleh junta untuk menahan pembangkang serta undang-undang berkaitan kebebasan berhimpun dan hak untuk bersuara.

Jurucakap presiden Ye Htut berkata pengampunan itu serta pengampunan berasingan ke atas lima tahanan di bawah undang-undang lain bermaka "tidak ada lagi tahanan politik".

"Saya ingin katakan bahawa presiden telah mengotakan janjinya kepada rakyat kerana tidak akan ada lagi tahanan politik pada akhir 2013," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.

Bekas jeneral Thein Sein yang mendapat pujian antarabangsa kerana melaksanakan pembaharuan politik dan kebebasan sivil sejak jadi presiden hampir tiga tahun lalu sebelum ini berjanji akan membebaskan semua aktivis yang ditahan sebelum akhir tahun.

Perkembangan ini bagaimanapun disambut dengan berhati-hati oleh aktivis pembebasan.

David Mathieson, penyelidik Human Rights Watch, berkata dakwaan itu mungkin kata-kata kosong bertujuan menunjukkan bahawa janji itu dilaksanakan.

"Mereka boleh mendakwa ia satu janji teknikal," katanya kepada AFP, dan menambah kerajaan perlu menunjukkan ia telah menyelesaikan kes-kes tahanan yang dibicarakan.

Beliau juga menyeru Myanmar untuk memansuhkan undang-undang kontroversi kerana bimbang pihak berkuasa akan menahan penentangnya pada masa akan datang dan menjadikan mereka sebagai tahanan politik.

Sanak saudara dan sahabat handai tahanan politik berkenaan berkumpul di luar penjara Insein sejak awal Selasa menunggu khabar gembira nasib orang yang tersayang.

Aktivis Yan Naing Tun dan Aung Min Oo, yang dipenjara selama lapan bulan baru-baru ini kerana terlibat dalam satu perarakan di utara Myanmar disambut sorak sorai penyokong mereka sebaik saja melangkah keluar dari penjara itu.

"Saya hormat presiden kerana mengotakan janjinya," kata Yan Naing Tun kepada pemberita.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan ada lebih kurang 2,000 tahanan politik sebelum kerajaan Myanmar melaksanakan pembaharuan ke arah demokrasi yang kebanyakannya telah dibebaskan. -- Agensi


Read more at:Sumber

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...