02 November 2013

AKIBAT IC PALSU, 247 PAK GUARD HILANG KERJA


247 'pak guard' di Perak hilang kerja


Sebahagian pengawal keselamatan berkumpul untuk menyatakan rasa terkilan dan sedih selepas notis pembekuan kerja dikeluarkan semalam.

IPOH – Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Seramai 247 pengawal keselamatan di negeri ini hilang punca pendapatan selepas menerima notis ‘tidak bekerja’ berikutan penggantungan lesen terhadap majikan mereka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkuat kuasa, semalam.

Syarikat keselamatan yang berpejabat di sini dan mempunyai beberapa cawangan di negeri ini terpaksa menghentikan tugas semua kakitangannya yang sebelum ini berkhidmat di 75 bank seluruh negeri.

Pihak pengurusannya, ketika ditemui mengakui, tiada pilihan lain, selain terpaksa ‘membekukan’ semua tugas pengawal keselamatan bagi mengelak tindakan lebih berat dikenakan.

Menurutnya, sepertimana reaksi pekerja, syarikat juga agak terkejut dengan notis yang diterima kerana bakal menjejaskan sumber pendapatan kakitangannya yang rata-rata sudah berkhidmat antara satu hingga lima tahun.

“Berdasarkan notis berkenaan, mereka sudah tidak dibenarkan bekerja bermula hari ini (semalam), walaupun ia situasi mengejutkan, namun arahan dikeluarkan kementerian, kita terpaksa akur,” katanya, yang tidak mahu dikenali.

Beliau berkata, daripada 247 pengawal keselamatan kendalian syarikatnya, sebahagian besar berkhidmat di bank, sementara sebilangan kecil di premis perniagaan dan kewangan lain seperti syarikat insurans.

Katanya, rata-rata mereka menerima purata gaji antara RM900 dan RM1,100 tidak termasuk elaun kerja lebih masa.

Ismail Sulaiman, 49, berkata, dia sama sekali tidak menyangka, impak insiden pembunuhan, pada 22 Oktober lalu yang dilakukan seorang pengawal keselamatan akan menjejaskan kehidupan pengawal- pengawal lain.

Dia menjadi pengawal sejak empat tahun lalu dan menganggap keputusan pergantungan yang dikenakan agak drastik hingga tidak memberi ruang kepadanya mencari sumber pendapatan lain.

“Entahlah, sebaik tahu perkara ni, fikiran saya kosong. Tak tahu apa nak buat selepas ini. Dalam keadaan ekonomi sekarang, bukan senang nakcari kerja. “Tambah pula harga barang naik, sekurang-kurangnya kerajaan berilah kami masa, takkanlah kerana seorang pengawal, nasib pengawal lain dipertaruhkan,” katanya.

Ismail berkata, meskipun bekerja dalam skop yang sama, namun mereka juga mengutuk sebarang jenayah yang dilakukan pengawal keselamatan.

Katanya, sebagai pengawal, setiap hari mereka mempertaruhkan diri lebih dari nyawa sendiri.

“Kami cuma minta sedikit ruang dan keprihatinan, lagipun bukan tidak ada insiden pengawal mati ketika bertugas sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi pengawal di syarikat itu, E Aquila, 50, buntu apabila memikirkan tanggungan keluarga yang perlu digalas sebaik sumber pendapatannya hilang.

Sepanjang dua tahun berkhidmat, wanita ini mengakui, selesa bekerja sebagai pengawal di sebuah bank di Jalan Yang Kalsom dan pendapatan yang diterima cukup untuk perbelanjaan tiga anaknya yang masih bersekolah.

“Saya sudah puas menangis tadi sebaik diberitahu perkara ini. Jika tiada perubahan (keputusan pergantungan lesen), terpaksa saya fikir alternatif kerja lain,” katanya.

Mohd Yunus Budin, 49, yang baru bekerja dengan syarikat itu sebagai pengawal selama sebulan pula terpaksa menempuhi alam pengangguran sekali lagi.

Katanya, keadaan itu sedikit sebanyak menggugat ekonomi keluarga, tambahan pula dia ada tiga anak yang masih bersekolah.

“Siapa yang tak sedih. Saya baru dapat kerja setelah menganggur beberapa bulan.

Sekarang terpaksa berehat lagi. Tak tahulah apa nak buat selepas ni,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...