05 Oktober 2013

2 Mayat Ditemui Di Hentian R&R Disyaki Diculik sebelum Dibunuh


2 Mayat Ditemui Dalam But Kereta Waja , Diculik sebelum dibunuh

IPOH: Dua lelaki yang ditemui dengan keadaan kedua tangan dan kaki diikat sebelum disumbat dalam bonet sebuah kereta di Hentian Rawat&Rehat Alor Pongsu, Kerian, arah selatan, petang semalam disyaki diculik sebelum dibunuh.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Ting Liong Chin, 28, dari Sabah dan Seu Hong Chee, 19, dari Tangkak, Johor disahkan maut akibat sesak nafas dan leher dijerut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata, polis masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan kedua mangsa itu berkaitan dengan laporan penculikan dua lelaki yang dilaporkan hilang di Nibong Tebal, Pulau Pinang, Rabu lalu.


Mayat mangsa bunuh ditemui dalam but sebuah kereta di Hentian Sebelah Alor Pongsu, petang semalam
[sinar]- Dua mayat lelaki ditemui dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat dalam but sebuah kereta yang ditinggalkan di Hentian Sebelah Alor Pongsu, menghala selatan di sini kira-kira 5.30 petang, semalam.

Selain dihurung lalat dan berlumuran darah, kepala kedua-dua mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu didapati dibalut dengan pita pelekat.

Menurutnya saksi yang enggan dikenali, mayat terbabit ditemui oleh seorang pekerja penyelenggara Propel yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tandas dan kawasan sekitar hentian tersebut.

Pekerja itu berasa curiga apabila melihat sebuah kereta Proton Waja berwarna perang dihurung banyak lalat.

Difahamkan, kenderaan itu diletakkan di kawasan terbabit sejak dua hari lalu.

“Pekerja itu kemudian membersihkan tumpahan cecair merah yang menitik dari but kenderaan itu kerana menyangka ia kesan kotoran makanan.

“Bagaimanapun, bahagian but kenderaan itu masih dihurung banyak lalat meskipun tumpahan cecair itu dibersihkan dan menyebabkan kakitangan berkenaan mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian semalam.

Sumber itu berkata, pekerja terbabit kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada pengurusan Plus yang membuat laporan polis pada jam 3 petang, semalam.

Menurutnya, anggota polis yang tiba di tempat kejadian memeriksa dan memutuskan untuk memecahkan cermin tingkap bahagian belakang kenderaan terbabit bagi membuka pintunya selepas pemilik kereta tidak muncul.

“Setelah but kereta dibuka, kami semua terkejut melihat dua mayat lelaki di dalamnya," katanya.

Sementara itu, anggota Pasukan Keselamatan Sukarelawan Kerian (PKSK) yang ditemui mendakwa berita kehilangan dua lelaki berbangsa Cina yang menaiki kereta bernombor pendaftaran PGN 4203 sudah disebarkan melalui laman sosial WeChat sejak tiga hari lalu.

“Setelah pihak kami dimaklumkan mengenai penemuan kereta bernombor pendaftaran sama digunakan mangsa yang hilang itu, kami segera ke lokasi penemuan dan mengesahkan kedua-dua mangsa bunuh berkenaan adalah orang hilang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radwan Bachik ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua lelaki terbabit dibunuh.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih tidak mempunyai sebarang maklumat tambahan berkenaan identiti mangsa dan motif kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa terbabit akan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat.

“Siasatan terperinci masih dijalankan ke atas kedua-dua mangsa dan sebarang maklumat akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

                            

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...