15 September 2012
TERKINI !!! Lagi Kejutan Di Sabah Sebentar Lagi
Antara nama-nama yang disebut-sebut bakal keluar adalah ahli parlimen Kalabakan, Abdul Ghapur Salleh serta bekas Ketua Menteri Sabah, Osu Sukam.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebentar tadi memberitahu bahawa satu pengumuman penting mengenai perkembangan terbaru politik di negeri di bawah bayu akan dibuat pada jam 3 petang ini.
Ia dipercayai berkaitan dengan beberapa lagi ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang dijangka akan keluar dari parti tersebut menjelang perayaan Hari Malaysia ke-49 yang akan disambut esok.
Sumber memberitahu bahawa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang dalam perjalanan ke Labuan dari Kuala Lumpur akan menyaksikan peristiwa tersebut yang dijangka akan diadakan di Markas Pakatan Rakyat di Jalan Kerupung, Labuan petang nanti.
Kini Azmin berada di Labuan menunggu Anwar yang dijangka tiba bila-bila masa dari sekarang.
Turut dijangka hadir Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, Naib Presiden PKR, Tian Chua, Naib Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw, Dr Hatta Ramli dan pimpinan Pakatan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.
Semalam, beberapa pembantu Azmin dihalang dari memasuki Sabah setelah notis larangan memasuki negeri itu diberikan, dipercayai bagi menghalang usaha tersebut dari terjadi.
Antara nama-nama yang disebut-sebut bakal keluar adalah ahli parlimen Kalabakan, Abdul Ghapur Salleh serta bekas Ketua Menteri Sabah, Osu Sukam.
Dipercayai Perdana Menteri Najib sudah mengetahui perkembangan terbaru ini di mana kini berusaha bersungguh-sungguh agar peristiwa dua ahli parlimen BN yang keluar iaitu Lajim Ukin dan Wilfred Mojilip Bumburing tidak lagi berulang.
Najib dijangka berada di Sibu, Sarawak malam esok bagi perayaan Hari Malaysia.
Nantikan pengumumannya jam 3 petang nanti.
SEMENTARA ITU KETUA PENERANGAN UMNO MENAFIKAN :
‘Gelombang kecil di Sabah sudah terhenti’
Datuk Ahmad Maslan berkata ia hanya 'perang psikologi' parti pembangkang yang mula merasakan kebangkitan BN dan sengaja membangkitkan isu itu bagi menarik perhatian dan mengambil hati rakyat di negeri ini.
KOTA KINABALU: Umno menyifatkan apa yang berlaku di Sabah hanya gelombang kecil yang sudah terhenti.“Ia hanya ‘perang psikologi’ parti pembangkang yang mula merasakan kebangkitan BN dan sengaja membangkitkan isu itu bagi menarik perhatian dan mengambil hati rakyat di negeri ini.
“Pada pandangan saya, apa yang berlaku di Sabah ini tidak membimbangkan dan untuk makluman pemimpin kita di Sarawak dan Semenanjung, percayalah bahawa apa yang berlaku di Sabah ini hanyalah gelombang kecil yang sudah terhenti, kata Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak tertipu dengan perang psikologi pakatan pembangkang yang terus meuar-uarkan kononnya ramai lagi pemimpin BN termasuk daripada parti itu akan menyertai mereka, sekali gus mencerahkan peluang mereka ke Putrajaya.
“Mereka sebenarnya hanya ingin menimbulkan perang psikologi, kononnya ada ramai lagi pemimpin BN akan menyertai Datuk Lajim (Ukin), bekas anggota Majlis Tertinggi Umno) dan Datuk Wilfred Bumburing (bekas Timbalan Presiden Upko yang kini menyokong perjuangan pakatan pembangkang),” kata Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Penerangan Umno bahagian Kota Kinabalu Junaidi Datuk Rahman di Luyang dekat sini malam tadi.
Tidak berlaku
Beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku kerana keadaan dan suasana politik di sini semakin tenang.“Kita amat yakin Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman boleh mengurus dengan baik segala apa yang berlaku di Sabah.
`”Jangan risau kepada kepimpinan di Semenanjung dan Sarawak yang tidak dapat turun bersama di Sabah …. saya ada bukti dan melihat sendiri bukti jelas dan berdasarkan pengamatan saya turun ke Sabah, Saya yakin Umno dan BN Sabah terus utuh,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Sabah masih kekal sebagai kubu kuat BN.“Cerita-cerita bahawa BN akan kalah di Semenanjung dan Sarawak dan oleh itu orang Sabah kena ikuti apa yang berlaku di sana — hanyalah mimpi di siang hari”.
`Lintang pukang’
“Pada saya itulah hasrat pembangkang untuk memerintah Malaysia ini. Apakah mereka fikir kita akan berdiam diri? Kita tidak berdiam diri, Umno dan BN serta 13 parti komponen BN langsung tidak akan berdiam diri.
“Kita juga akan mempertahankan habis-habisan Putrajaya, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan semuanya kita akan pertahankan dan mana yang kita terlepas, kita akan berusaha untuk menawannya. Percayalah, jangan kita termakan dengan perang psikologi pembangkang,” katanya.
Ahmad berkata: “Empat negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang pun dalam keadaan lintang-pukang dari pelbagai segi dan inikan pula kononnya ingin menawan negeri-negeri yang di bawah kita”.
Mengenai pilihan raya umum, beliau berkata terserah kepada kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan tarikh atau masa yang sesuai.“Pada kita, bila-bila pun boleh, yang penting tahap kesiapsiagaan kita sudah mencapai tahap terbaik. Selalu kita tanya bila pilihan raya? Kalau persiapan kita sudah mencapai 80 hingga 90 peratus, apabila pembubaran diumumkan kita hanya tambah 10 hingga 20 peratus usaha untuk memperbaiki dan memantapkan lagi persediaan kita,” katanya.
Ahmad berkata seperti yang selalu dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pilihan raya kali ini luar biasa, “maka persiapan kita juga kena luar biasa”.“Kita jangan pergi berperang dengan persediaan biasa kalau menghadapi perang yang luar biasa,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan