22 Mac 2012

BOOKIE BOLA : PEGAWAI WANITA PBNJ DITAHAN

Bookie: Pegawai wanita Johor ditahan


JOHOR BAHRU- Seorang pegawai wanita Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) ditahan kerana disyaki menjadi bookie dan terbabit mengatur keputusan perlawanan bola sepak di negeri itu.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan Isnin lalu selepas pegawai PBNJ membuat laporan polis sehari sebelum itu. Polis turut menyiasat dakwaan kononnya wanita berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan seorang pegawai polis Bahagian Anti Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita itu dan pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terperinci kes itu.Katanya, wanita itu kini direman lima hari bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut serta dakwaan ada anggota polis turut terbabit.

“Polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa saja termasuk pegawai polis jika terbabit dalam

kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.Sebelum ini, enam pemain skuad Piala Presiden Johor FC digantung daripada beraksi dengan kelab itu serta merta selepas disyaki terbabit mengatur perlawanan menentang Perlis pada 16 Februari lalu.

Mohd Mokhtar berkata, kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu Timbalan Presiden I PBNJ, Md Jais Sarday, berkata kes masih dalam siasatan dan pihaknya sentiasa memberi kerjasama kepada polis.

Sebelum ini, Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah supaya tiada rasuah di kalangan pemain dan pegawai bagi memastikan bola sepak bersih gejala itu. Apa yang berlaku (penahanan wanita) adalah proses memastikan tiada unsur rasuah meresap dalam bola sepak di negara ini.“Ia sekali gus membuka mata semua pihak bahawa persatuan bola sepak serius membanteras rasuah,” katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...