11 Februari 2012
NAJIB DIMINTA SELESAIKAN KEMISKINAN DI PEKAN
PEKAN- Daripada terus menabur janji merata-rata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar tidak lupa menangani kemiskinan melampau di kawasan parlimennya sendiri.
Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, antara kawasan yang paling daif keadaan ekonomi dan sosialnya di sini ialah di Kuala Pahang.
Tambah Abu Kassim, meskipun penduduknya merupakan warga tempatan namun keadaan hidup, ekonomi dan sosial mereka tidak sebaik nasib ‘penduduk import’ orang Kemboja di kampung Tanjong Agas dan orang Myanmar di Sungai Miang.
“Kebanyakan mereka nelayan dengan pendapatan tak tetap dan rezeki menyara keluarga bergantung kepada hasil laut yang tidak menentu, ditambah pula musim tengkujuh selama tiga bulan.
“Sekarang ini tiap-tiap hari orang Kuala Pahang datang minta bantuan di Pusat Khidmat PAS Pekan, ini mumbuktikan kerajaan dan ahli parlimennya sendiri gagal membela nasib mereka.
“Nasib mereka tak terbela sejak berpuluh tahun sedangkan kelompok inilah yang memenangkan Umno dan BN selama ini,” katanya.
Difahamkan, pernah Umno menjalankan program ‘Gempur Kemiskinan’ dengan inisiatif mewujudkan pusat jahitan semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri. Namun tiada perubahan yang dicapai dan penduduk terus dibelenggu kemiskinan jauh sekali daripada hidup selesa.Tinjauan Harakahdaily ke lokasi baru-baru ini mendapati keadaan penempatan penduduk tidak menggambarkan berada di kawasan Perdana Menteri kerana rumah yang buruk dan berhimpit-himpit sehingga menyakitkan mata.
Menurut penduduk, kerajaan telah beberapa kali berjanji terutama menjelang pilihan raya untuk membina kediaman tersusun yang tidak jauh dari sini. Malangnya sehingga hari ini, di lokasi tersebut hanya tapak sahaja yang ada.Tambah mereka lagi, ketika Tun Razak menjadi Ahli Parlimen Pekan atas usaha beliau telah membina perumahan kos rendah rakyat di Kuala Pahang pada tahun 1969 dengan bayaran sebanyak RM10 sebulan. Manakala rumah pemindahan banjir pula penduduk membayar RM15 sebulan pada tahun 1971.
Apa yang mengecewakan mereka, pada zaman Najib menjadi ahli parlimen dan Perdana Menteri ini tiada usaha serius untuk mengubah nasib mereka.Bagi menambah pendapatan penduduk, kerajaan juga telah membina kolam simen yang besar untuk mereka memelihara ikan terutama pada musim tengkujuh. Namun setakat ini tiada ikan yang diisi.
Abu Kassim berkata, di Kuala Pahang masyarakatnya tidak tersusun sebab itu selain daripada masalah ekonomi, keadaan sosial di sini juga teruk dengan penagihan dadah dan gejala anak luar nikah.“Itu yang kami kesal sedangkan Parlimen Pekan sudah melahirkan dua Perdana Menteri, tiga Menteri Besar dan dua Timbalan Menteri Besar. Tetapi nasib penduduk Kuala Pahang tidak berubah,” katanya.
Perdana Menteri yang berasal dari Pekan ialah Tun Razak Hussein dan anaknya Najib. Manakala Menteri Besar Pahang yang datang dari daerah ini ialah Datuk Mohamad Jusoh, Najib dan Tun Khalil Yaakob.Timbalan Menteri Besar pula ialah Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.
Dewan Undangan Negeri Kuala Pahang (kini Peramujaya) pernah dimenangi PAS pada pilihan raya umum (PRU) 1999 melalui Mohd Iqbal Hamdy Rusdi. Sementara Najib pula hanya menang tipis pada tahun tersebut dengan majoriti 241 undi.
“Sekarang ini Najib dan pemimpin Umno lain berjanji di negeri-negeri seperti Selangor dan Kelantan jika pilih BN semua masalah akan selesai. Kami minta selesaikanlah dulu masalah di Kuala Pahang ini,” tegas Abu Kassim
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan