Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun keempat 2011 mula dipamerkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini sehingga Selasa di 937 tempat seluruh negara.
Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata pameran itu dibuat selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Rang Daftar Pemilih itu akan dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri (15 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (457 tempat), Kompleks/Pejabat Kerajaan (86 tempat), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (117 tempat), Majlis Daerah/Perbandaran (48 tempat), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (191 tempat) dan tempat-tempat lain (23 tempat).
Dalam satu kenyataan, Sabri berkata dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat (Oktober hingga Disember) 2011, SPR menerima 212,826 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 83,846 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan suruhanjaya itu.
Warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi bagi Oktober, November dan Disember 2011 dinasihat supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2011 yang dipamerkan itu.
Sabri berkata mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2011 itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.
Pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam rang daftar pemilih itu pula boleh mengisi Borang C.
Borang-borang tuntutan itu hendaklah diserah kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan itu dipamerkan.
Sabri berkata nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab telah meninggal dunia, lucut hak kewarganegaraan dan telah bersara daripada angkatan tentera atau polis, yang bermakna mereka hilang kelayakan sebagai pengundi pos, juga akan dipamerkan.
Mereka yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan lanjut boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau faks 03-88889117 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri selain boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan