19 Januari 2012

Pakatan negeri Kedah bersikap dingin terhadap lima mahasiswa yang menjadi mangsa AUKU?

AUKU senjata BN dan juga Pakatan?
Amin Iskandar


Perjuangan mahasiswa melawan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) berlaku sejak zaman berzaman.Semenjak ia dikuatkuasakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad - Menteri Pelajaran dalam kabinet arwah Tun Abdul Razak Hussein, akta tersebut telah ditentang oleh mahasiswa sehinggalah hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menegaskan AUKU akan tetap dikenakan terhadap mana-mana mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang melakukan kesalahan.
Itu adalah pendirian rasmi seorang menteri besar negeri Kedah yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat apabila didesak oleh mahasiswa untuk menyatakan pendiriannya berhubung dengan isu lima orang mahasiswa KUIN - digantung dari pengajian oleh institusi tersebut.“KUIN adalah di bawah tanggungjawab penuh kerajaan negeri Kedah, keputusan penggantungan dibuat pentadbiran KUIN dan saya tidak campur tangan sangat dalam hal ini” kata Azizan lagi.

Kenyataan MB Kedah tersebut menimbulkan tanda tanya apakah benar Pakatan serius dengan dasar Buku Jingga yang terang-terang menyokong mahasiswa untuk memansuhkan AUKU?Atau mahasiswa hanya mahu “diperkudakan” jika seiring dengan agenda politik mereka?

Buku Jingga

Buku Jingga merupakan satu tawaran yang diberikan oleh Pakatan kepada rakyat Malaysia sekiranya mereka diberikan peluang untuk mengambilalih kepimpinan negara dari BN.

Mengikut Buku Jingga, segala masalah yang dilakukan oleh BN sepanjang 55 tahun pemerintahan akan dibetulkan oleh Pakatan.

Di antaranya dalam hal-hal yang berkaitan dengan universiti dan kebebasan akademik.
Di bawah bab Budaya Ilmu Sebagai Teras Universiti, dengan terang tertulis Pakatan akan,“menyertai perjuangan mahasiswa dengan memberi sepenuh sokongan dan bimbingan untuk menghapuskan AUKU dan menuntut hak bersuara dan berpolitik mahasiswa”.


Secara praktiknya dalam kes lima mahasiswa KUIN, ianya tidak dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah.

Lalu mahasiswa-mahasiswa yang sedang berjuang bermati-matian untuk menuntut kebebasan akademik dan memansuhkan AUKU pasti tertanya, apakah Pakatan serius dengan tawaran Buku Jingga mereka?

Mahasiswa pemangkin perubahan

Di seluruh dunia kita boleh saksikan bagaimana mahasiswa menjadi tulang belakang sesuatu gerakan perubahan.Regim Orde Baru (Orba) Soeharto tidak akan runtuh tanpa gerakan mahasiswa yang bermati-matian melawannya.

Korea Selatan tidak akan mempunyai demokrasi tanpa pengorbanan mahasiswa dari Gwangju yang memulakan perlawanan terhadap Jeneral Chun Doo Hwan.Di Malaysia sendiri kita boleh melihat bagaimana gerakan mahasiswa berjaya menyebabkan kerajaan bertindak terhadap kemiskinan penduduk Baling, Kedah pada tahun 1974.

Hari ini, mahasiswa turut bersama-sama rakyat untuk menuntut perubahan dilakukan terhadap kepincangan yang berlaku di negara kita.Jadi, adilkah Pakatan negeri Kedah bersikap dingin terhadap lima mahasiswa yang menjadi mangsa AUKU?

Sehingga kini, mengapa kepimpinan Pakatan di peringkat pusat masih senyap dalam isu ini? Apakah janji untuk memansuhkan AUKU jika mereka memerintah merupakan satu janji palsu?

Mahasiswa tidak akan putus asa

Telah ramai yang menjadi mangsa AUKU. Sewaktu di alam mahasiswa, tujuh orang mahasiswa – dikenali sebagai “ISA 7” menjadi mangsa kezaliman AUKU.

Mereka dibuang kampus kerana berani menyatakan pendirian menentang penggunaan ISA oleh kepimpinan Dr Mahathir terhadap 10 orang aktivis Reformasi dalam sebuah demonstrasi di Masjid Negara pada 8 Jun 2001.

Lebih bergaya lagi, mereka ditangkap pada zaman Dr Mahathir, dibicarakan pada zaman Pak Lah dan dijatuhkan hukuman di bawah Najib. Dalam ertikata lain, ISA 7 menjadi korban di era tiga perdana menteri.

UKM 4 telah menang dalam kes mereka di mahkamah untuk mencabar penggunaan AUKU.



Perjuangan “KUIN 5” lawan AUKU bermula

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang berdiri semenjak awal tahun 2000 tetap bersama perjuangan mahasiswa. Sama ada Barisan atau Pakatan yang menggunakan AUKU, tidak penting.

Yang paling penting mereka yang menggunakan AUKU untuk menutup suara mahasiswa pasti tidak akan dapat tidur lena. Jika mahasiswa mampu menjatuhkan regim yang lengkap bersenjata seperti regim Soeharto, apalah sangat AUKU?-mk

Komen: Adakah majlis Pakatan Rakyat Kedah berfungsi bagi memperbincangkan isu panas yang lebih setahun hanya membiarkan Pihak pengurusan KUIN melaksanakan AUKU yang jelas bertentangan dasar BUKU JINGGA.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...