18 Januari 2012
KUIN 5: MAHASISWA PROTES SIKAP MEMBISU PAS - PR KEDAH HARUS BERI PENJELASAN
Kuin 5: Mahasiswa protes sikap membisu PAS
Kira-kira 20 pelajar membuat bantahan di luar ibu pejabat PAS hari ini sebagai membantah tindakan parti itu yang membisu berhubung tindakan menggantung lima orang pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kedah.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah pengerusi lembaga pengarah Kuin yang di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS.Kelima-lima pelajar itu digantung selepas berdemonstrasi di Kuin tahun lalu.
"Sehingga hari ini, tidak ada pendirian rasmi dari PAS mahupun Pakatan Rakyat. Kami tuntut supaya mereka campur tangan," kata Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) Mohd Safwan Anang. "Sebelum ini, kami pernah berarak ke ibu pejabat Umno. Hari ini kita berhimpun di ibu pejabat PAS untuk menyatakan pendirian kami menentang Akta Universiti dan Akta Kolej Universiti."
Turut bersetuju dengan kenyataan itu adalah Mohd Aiman Abd Razab (kiri) - seorang daripada lima pelajar yang digantung pada Jun lalu. Katanya, ini adalah mengenai prinsip. "Kami akan terus berjuang demi menegakkan prinsip-prinsip kami (berhubung kebebasan akademik).
“Ini bukan tentang parti atau warna kulit, kita tidak mengamalkan dwi standard. Di mana suara kita boleh diluahkan jika di bawah Pakatan kita juga cuba disenyapkan?" soal beliau.
Selain Mohd Aiman, pelajar yang dikenakan tindakan itu adalah Mohd Faiz Mohd Arshad yang digantung dua semester manakala Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.-MALAYSIAKINI
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan