28 September 2011

Rugi: Pekerja MAS tidak maafkan Mahathir


SUBANG JAYA, 28 Sept: Isu penggabungan syarikat penerbangan Airasia dengan Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) semakin hangat diperkata sehingga menimbulkan bantahan dari pelbagai pihak termasuk Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU).

Dalam satu temubual bersama Setiausaha Agung Maseu, Ab Malek Arif di pejabatnya hari ini, beliau menjelaskan MAS mempunyai banyak aset, kenapa perlu penggabungan dengan syarikat yang kecil seperti Airasia yang hanya baru bertapak.

"MASEU memang tidak setuju dengan penggabungan tersebut kenapa MAS yang mempunyai banyak aset perlu bergabung, ini menjadi satu kemusykilan dan persoalan.

"Secara jelas saya katakan dalam penggabungan ini, kita hanya nampak Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Airasia, Tan Sri Tony Fernandes hanya di hadapan sedangkan yang memainkan peranan di belakang masih ada lagi tangan-tangah ghaib.

"Kita tahu Tony tidak akan dapat berbuat apa-apa jika tiada mereka yang mempunyai pengaruh di belakang. Tony datang di bawah arahan pihak tertentu dan ini diketahui oleh kakitangan MAS,” katanya.

Sebenarnya, kata beliau tangan ghaib ini telah wujud sekian lama semenjak zaman Tan Sri Tajuddin Ramli menjadi Pengerusi MAS apabila Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Mahathir Mohamed melantik Tajuddin menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman walaupun pada waktu itu MAS sentiasa mendapat keuntungan setiap tahun.

Katanya, manakala semenjak pengerusi ditukar MAS bukan sahaja tidak untung malah terus rugi setiap tahun.

Tambah Malik lagi sehingga sekarang kakitangan MAS masih memarahi dan tidak maaf apa yang telah dilakukan oleh Mahathir itu.

"Secara jelas kakitangan MAS tidak maafkan Mahathir sehingga sekarang persoalan timbul kenapa individu yang boleh membawa keuntungan kepada MAS ditukar dan membawa masuk mereka yang telah menyebabkan MAS rugi teruk.

"Tidakkah ini menunjukkan ada individu yang berpengaruhi di dalam politik mahupun kerajaan?” soalnya.

Justeru, beliau ingin menyatakan sejak Januari hingga Mac tahun 2011, MAS mengalami kerugian RM270 juta manakala dari April hingga Jun kerugian bertambah dan hampir RM500 juta.

Keadaan ini, ujarnya menyebabkan kakitangan MAS tidak boleh terima, jelas ada sesuatu yang berlaku di sebaliknya.

"Kenapa kerugian ini terus berlaku dan persoalan kenapa kerajaan tidak memanggil Abdul Aziz kembali jika selama ini dibawah beliau kita tahu MAS sentiasa untung," ujarnya lagi.

Setiausaha Agung MASEU itu memberitahu mereka bersetuju jika ia adalah kerjasama biasa tetapi penggabungan yang membolehkan Tony masuk ke dalam MAS tidak boleh diterima.

"Kerjasama biasa kami boleh terima tetapi jika selain dari itu kami tidak boleh terima kerana kita tahu Tony bukan sahaja masuk untuk dirinya sendiri tetapi bersama-sama tangan ghaib yang ada di belakangnya, apa akan jadi. Tony tidak boleh buat macam AirAsia.

Katanya, kedatangan Tony dengan tangan ghaib itu bukan sahaja ingin mengambil MAS tetapi akan turut mengambil MASKargo dan juga Maintenance Repair Overhaul (MRO).

“Kita tidak mahu ini terjadi.

"MAS adalah hak rakyat dan kerajaan adalah pemegang amanah, kalau ada mana-mana orang dalam kerajaan mahu memberi MAS kepada individu sepatutnya ia dibentang di Parlimen bukannya dibuat mengikut kuasa yang dimiliki oleh mereka," sambung beliau lagi.

Malik menegaskan sekali lagi perancangan awal pengabungan ini akan dilakukan sebelum bermulanya Sidang Dewan Rakyat tetapi apabila perkara ini telah hangat perkara tersebut dilengahkan.-HD

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...