9 Julai: Usah lempar batu sembunyi tangan
Wira Arjuna
Apakah takrif keganasan yang digunapakai oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis sendiri?
Bagi rakyat biasa, sesuatu pihak dikira melakukan keganasan apabila menyerang dengan segala kudrat dan senjata yang ada pada mereka (gas pemedih mata, air berkimia, menumbuk dan memijak) terhadap sasaran yang tidak bersenjata (kecuali botol air mineral) tetapi hanya berhimpun secara aman.
Inilah yang berlaku pada 9 Julai.
Tidak perlu Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengemukakan video untuk membuktikan sebaliknya kerana begitu banyak rakaman yang sudah sedia ada dalam laman-laman blog untuk tatapan seluruh dunia.
Dan jika bukti video itu tidak mencukupi, gambar-gambar Mohamad Sabu di atas kerusi roda dan foto enam jahitan di kepala ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad boleh juga boleh diperolehi dengan mudah oleh Najib, Hisham dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk melakukan penilaian.
Kalau masih tidak memadai, mungkin ada pihak perlu memberi peringatan bahawa sebuah keluarga kini berkabung kerana kehilangan ketua keluarga mereka yang menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.
Kematian allahyarham Baharuddin Ahmad diselubungi dengan pelbagai dakwaan namun hakikatnya ialah beliau menemui ajal semasa asakan polis bagi menyuraikan sebuah perhimpunan bersih dan aman.
Remehkan kecederaan
Namun semua fakta ini tidak akan memberi kesan kepada Najib, Hishamuddin dan Ismail kerana mereka terpaksa mempertahankan kredibiliti Polis Diraja Malaysia.
Maka, oleh kerana itulah Najib meremehkan kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun mengakui ketua pembangkang itu ditembak dengan gas pemedih mata.
Ketua Polis Negara sebelum ini menafikan Anwar ditembak dengan gas pemedih mata, sungguhpun visual dan keterangan saksi menunjukkan keadaan sebaliknya.
Hishamuddin pula enggan mengakui polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia ke perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu.
Ismail sekali lagi menafikan insiden memalukan itu sungguhpun, wujud foto dan keterangan saksi yang menempelak penafian itu.
Tentunya Najib dan Hishamuddin tidak mahu mengambil tanggungjawab di atas sebarang kekerasan polis sungguhpun apa yang berlaku Sabtu lalu lebih berpunca daripada keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka berdua.
Bertukar ganas
Persoalan asas ialah bila dan pada tahap mana perhimpunan aman BERSIH 2.0 bertukar menjadi ganas Sabtu lalu?
“Keganasan” itu jelas tercetus apabila polis mula menyembur air berkimia dan gas pemedih mata serta melakukan tangkapan rawak ke atas sesiapa disyaki mendokong BERSIH 2.0.
Namun “keganasan” yang berlaku adalah pada satu pihak sahaja. Tidak ada tindak balas daripada rakyat yang menjadi sasaran.
Respon paling “agresif” beberapa peserta BERSIH ialah melontar balik sarung gas pemedih mata ke arah polis atau membuangnya ke dalam longkang dan sungai berdekatan.
Mereka mengharungi segala kesakitan akibat terhidu gas beracun atau terkena pancutan air berkimia atau kedua-duanya sekali. Rasa pedih dan loya dan sesak nafas hanyalah sebahagian daripada pengalaman yang terpaksa diharungi mereka.
Hakikat bahawa polis akan menggunakan kekerasan menjadi satu kepastian jauh sebelum 9 Julai menyingsing.
Aparatus polis
Ia menjadi satu hakikat apabila Hishamuddin bingkas mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebuah pertubuhan haram minggu lalu.
Hanya beliau dan Najib boleh menerangkan keperluan untuk sebuah rangkaian kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang termasuk Sasterawan Negara Datuk A Samad Said tiba-tiba boleh menjadi musuh kerajaan hanya kerana menuntut pilihan raya adil dan telus.
Apa yang jelas ialah Hishamuddin dan Najib menggunakan segala aparatus polis untuk memaksa penganjur BERSIH 2.0 membatalkan perhimpunan mereka, dengan disokong oleh media arus perdana dan institusi awam yang lain.
Namun rancangan itu tersasar kerana BERSIH 2.0 tidak beralah daripada matlamatnya mengadakan perhimpunan aman walaupun penyokongnya mula ditangkap di seluruh negara dan pemimpinnya diaibkan di media arus perdana.
Terima tamparan
Najib dan Hishamuddin juga menerima tamparan apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengambil peranan negarawan dan berjaya “memujuk” BERSIH 2.0 membatalkan perarakan di jalan raya.
Campurtangan Seri Paduka itu membuka ruang untuk Najib dan Hishamuddin menyelesaikan kemelut BERSIH 2.0 secara baik, khususnya apabila penganjur bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan supaya perhimpunan diadakan di sebuah stadium.
Namun belum sempat rakyat menarik nafas lega, gandingan sepupu ini mengisytiharkan bahawa BERSIH 2.0 pertubuhan haram dan tidak layak memohon permit.
Permohonan BERSIH 2.0 menganjurkan perhimpunan aman di Stadium Merdeka ditolak dan sebaliknya penganjur “diarah” mengadakan perhimpunan di stadium-stadium yang terletak di negeri–negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Tujuan arahan itu adalah jelas – Perdana Menteri cuba menyempitkan gerakan BERSIH 2.0 kepada sesuatu yang didalangi oleh pembangkang dan bukannya cetusan suara rakyat.
Justin Bieber lebih berhak
Najib memberi alasan kononnya Stadium Merdeka tidak boleh digunakan oleh BERSIH 2.0 kerana ia adalah mercu atau simbol negara, tidak masuk akal.
Stadium Merdeka telah berkali-kali digunakan untuk konsert rock dan hiburan termasuk pertunjukan Justin Bieber pada 21 April lalu.
Apakah Justin Bieber lebih berhak menggunakan Stadium Merdeka daripada ribuan rakyat negara ini yang mahu menyuarakan keperluan pilihan raya yang adil dan telus secara aman?
Tentunya tidak. Namun inilah alasan yang dijaja oleh Najib kepada penyokong-penyokong Umno, ahli pertubuhan silat dan sebagainya, sehari selepas perhimpunan BERSIH 2.0.
Penganjur BERSIH menyedari perangkap yang diletakkan oleh Najib dan Hishamuddin dan terus berpegang kepada hak mereka mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka, walaupun di luar perkarangannya.
Ini kerana Stadium Merdeka adalah kawasan “neutral” dan adalah “milik” rakyat Malaysia serta bukan di bawah telunjuk mana-mana parti politik.
Patahkan BERSIH
Apabila penganjur mengambil ketetapan ini, maka arahan dikeluarkan kepada pihak polis untuk melakukan apa yang perlu bagi mematahkan rancangan BERSIH.
Justeru diadakan sekatan-sekatan jalanraya, penutupan kawasan tertentu, pembekuan permit bas ke Kuala Lumpur dan pemeriksaan di hotel-hotel menjelang 9 Julai.
Perintah mahkamah diperolehi untuk menghalang penganjur dan pemimpin politik tertentu daripada memasuki Kuala Lumpur. Ibu negara seolah-olah dalam keadaan darurat.
Dengan kongkongan sebegitu, tidak hairanlah pada 9 Julai, pancutan air berkimia, gas pemedih mata polis menunggu puluhan ribu rakyat pelbagai kaum yang keluar beramai-ramai menghala ke Stadium Merdeka.
Hak mereka untuk berjalan secara aman dicabuli dengan sewenang-wenang di atas nama memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.
Najib harus menerangkan bagaimana satu “perjalanan demokrasi” oleh rakyat untuk dua tiga jam di beberapa kerat jalanraya boleh menjadi isu keselamatan negara dan mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada peniaga, jika tidak ada provokasi polis!
Rakyat dihukum
Jika polis telah memberi kerjasama kepada lebih 5,000 pengawal yang disediakan oleh penganjur BERSIH untuk mengawal lalu lintas dan aspek keselamatan lain, apakah kita akan menyaksikan adegan-adegan yang terpampang di Internet sekarang.
Rasanya tidak!
Akibat agenda politik Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, puluhan ribu rakyat yang “berani” menyokong BERSIH seolah-olah dikumpulkan di Kuala Lumpur dan “dihukum” dengan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia.
Lebih 1,600 orang ditangkap untuk diheret ke mahkamah, seorang mati dan tidak kurang yang menyimpan parut luka atau kenangan “ikhlas”dari polis.
Justeru, janganlah Perdana Menteri dan sepupunya terlalu bingkas menuding jari kepada penganjur BERSIH 2.0 di atas kekecohan Sabtu lalu.
Tidak dinafikan keganasan berlaku, tetapi siapa yang mencetuskannya dan siapa pula yang mengganas?
Bak kata Karam Singh Walia dari TV3: Siapa pula yang melontar batu dan menyembunyi tangan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan