Lebih 100 ribu gesa Najib letak jawatan di Facebook
(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 rakyat Malaysia menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatannya di laman peminat Facebook, dua hari selepas perhimpunan Bersih Sabtu lalu.
Laman peminat itu dinamakan ’100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation’ yang dikesan sejak semalam, telah berjaya mencapai sasarannya melebihi 100,000 peminat.
Dalam masa kurang 48 jam, seramai 109,270 pengguna Facebook menyukai laman berkenaan sehingga jam 11.38 pagi tadi.
Dari jumlah berkenaan, hampir 2,000 menyukai laman itu dalam masa hanya setengah jam- satu tamparan hebat kepada kepimpinan presiden Umno yang sebelum ini mendakwa mampu mengerahkan tiga juta ahli nya ke jalan raya.
Sebaliknya, laman peminat menyokong kepimpinan Najib pula, iaitu “Kami sokong YAB Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak sebagai PM Malaysia” hanya disukai seramai sekitar 760 pengguna.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar ketika diminta mengulas berkata, laman itu merupakan suara hati rakyat yang jelas menolak pentadbiran Najib dan Barisan Nasional (BN).
“Rakyat terpanggil dan berani untuk menyuarakan pendapat mereka. Jumlah 100 000 dalam masa 2 hari merupakan angka dan jumlah yang besar dan sekaligus membuktikan mereka menolak pemerintahan BN,” kata Izzah ketika dihubungi Keadilandaily.com
Menurut Izzah, rakyat melihat kekejaman Perdana Menteri yang cuba mengekang dan menzalimi rakyat pada himpunan Bersih Sabtu lalu yang menuntut supaya pilihan raya dijalankan dengan adil dan bebas.
“Mereka (UMNO_BN) seharusnya perlu menghormati dasar hak-hak asasi yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan membenarkan rakyat menuntut pilihanraya telus,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
“Jelas rakyat sudah bangkit dan sedar kerana mereka dapat melihat kekejaman yang dilakukan pihak polis pada Sabtu lalu. Semuanya maklumat dapat dilihat dari pelbagai cara, antaranya video yang dimuatkan ke laman youtube,” tambah beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16867
Tiada ulasan:
Catat Ulasan