26 Jun 2011

PRU-13: PERTEMPURAN ABAD INI

PRU-13: Pakatan sasar 11 negeri, kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menguasai 11 negeri — tambahan

enam negeri pada pilihan raya umum ke-13, kata pemimpin veterannya Lim Kit Siang.

Justeru Penasihat DAP itu berkata, perikatan tiga parti tersebut mahu mempertahankan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Kelantan dan menawan balik Perak.

Lim (gambar) juga berkata, Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menawan Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Pahang, Terengganu dan Perlis daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Rakyat ada tiga sasaran di peringkat negeri dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Ahli Parlimen ini.

“Pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pertempuran abad ini memandangkan sasarannya bukan sahaja 11 negeri di Semenanjung, tetapi juga kuasa persekutuan di Putrajaya,” kata Lim pada satu majlis di Teluk Intan, Perak malam tadi.

Teks ucapannya diedarkan kepada media pagi ini.

Lim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedar tentang sasaran besar itu dalam pilihan raya umum akan datang dan oleh itu, presiden Umno tersebut mengingatkan ahli-ahlinya tentang tidak wujud istilah naib johan dalam arena politik.

Lim berkata, Najib yang juga Pengerusi BN sedar sepenuhnya bahawa peralihan lima peratus undi dalam pilihan raya umum akan datang berbanding pilihan raya umum 2008 akan menyaksikan kemunculan kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya.

“(Sebaliknya) Umno dan BN akan mengambil tempat di barisan pembangkang di Parlimen,” katanya sambil berkata, “keadaan yang sama terpakai di peringkat negeri.”

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kerajaan di lima negeri pula diketuai oleh Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak.

Pakatan Rakyat terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. Bagaimanapun Perak diambil alih oleh BN selepas tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti awal 2009. Lim memberikan pandangan itu ketika Himpunan Bersih 2.0 dirancang untuk diadakan 9 Julai ini.

Justeru Lim menambah, jika BN terus menggunakan pendekatan tidak demoktratik dan menekan rakyat termasuk ke atas Himpunan Bersih 2.0, maka mereka akan mewujudkan satu persekitaran di mana lima peratus undi menentang Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Dalam ucapannya itu, Lim berkata beliau menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada suku ketiga tahun ini.

“Saya fikir kita boleh menolak kemungkinan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada suku ketiga tahun ini. Pilihan raya umum akan datang akan diadakan sama ada akhir tahun ini atau tahun depan,” katanya.-TMI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...