17 Februari 2011

FACEBOOK TEMPAT REKRUT PENGEDAR

Rekrut edar dadah guna facebook

KUALA LUMPUR – Sindiket edar dadah antarabangsa kini menggunakan teknik licik melalui laman sosial popular, Facebook untuk menjadikan wanita tempatan ‘keldai dadah’.

Modus Operandi terbaru itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Noor Rashid Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam. Melalui teknik itu, katanya, sindiket antarabangsa berkenaan akan bergabung dengan anggota sindiket dalam negara ini bagi menjadikan wanita sebagai mangsa.

Noor Rashid berkata, modus operandi itu dimulakan dengan kaedah sindiket terlebih dulu akan berkenalan dengan mangsa melalui Facebook.
Setelah berkenalan rapat hingga mendapat kepercayaan mangsa, anggota sindiket seterusnya akan menjanjikan kemewahan kepada mereka selain mengaburi mangsa dengan membawanya melancong ke luar negara.

“Apabila mendapat kepercayaan daripada wanita itu, barulah sindiket akan menjadikan mereka keldai dadah,” katanya.Menurutnya, sindiket itu sering menjadikan wanita sebagai mangsa untuk membawa dadah ke negara ketiga.

”Sebelum ini mereka merekrut wanita tempatan secara langsung tetapi kini melakukan perubahan dengan mendapatkan khidmat sindiket tempatan bagi merekrut mangsa. Sebelum ini, warga Nigeria dan Iran menggunakan modus operandi yang sama untuk merekrut wanita tempatan terbabit sindiket pengedaran dadah ini,” katanya berhubung modus operandi terbaru itu.

Menurutnya, semua mangsa berumur kurang 40 tahun sering dijadikan sasaran dan berjaya ditahan di Taiwan, Brazil, Peru dan Thailand. Dalam pada itu katanya, berdasarkan statistik pada 2008 hingga tahun lalu, seramai 155 rakyat negara ini ditahan di luar negara dan membabitkan 76 wanita.

Sehubungan itu, Noor Rashid berkata, polis berjaya mengekalkan momentum membanteras kegiatan dadah di negara ini dengan menahan 14,652 orang Januari lalu membabitkan pelbagai kesalahan dadah berbanding 12,409 orang untuk tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, polis berjaya membongkar empat makmal haram memproses dadah iaitu dua di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang serta menahan lapan orang dipercayai terbabit sindiket itu pada bulan pertama tahun ini.Jelasnya, pada Januari lalu juga menunjukkan peningkatan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM38.8 juta berbanding Januari tahun lalu hanya RM5.9 juta manakala hasil pantau di lapangan terbang antarabangsa berjaya menahan 24 individu terdiri daripada 17 warga Iran, Nigeria (4) dan masing-masing seorang warga India, Jerman dan rakyat negara ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...