17 Februari 2011

BERITA PILIHANRAYA SERAWAK

SNAP-MCLM jalin kerjasama hadapi p'raya S'wak

Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Pergerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM) bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.
Setiausaha agung SNAP Stanley Jugol berkata, parti itu bersedia untuk bertanding di kesemua 28 kerusi majoriti Dayak di negeri itu.

Ketika ditanya, Stanley berkata beliau tidak dapat mengulas sekiranya SNAP akan mengalah jika parti dalam Pakatan Rakyat akan meletakkan calon di kawasan itu.

"Kalau ada pertandingan tiga penjuru atau satu sama satu, saya tidak dapat ulas kerana belum berlaku lagi," katanya lagi dalam satu sidang media petang ini.

Bagaimanapun, beliau yakin kerjasama akan dapat diwujudkan dengan Pakatan Rakyat.

"Sebab tujuan kita sama iaitu untuk menjatuhkan kerajaan BN di situ," jelasnya.

Sementara itu, presiden MCLM Haris Ibrahim pula berkata, kerjasama itu dijalin bagi membebaskan masyarakat Sarawak daripada penindasan pentadbiran BN di bawah Ketua Menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Tambahnya, MCLM dan SNAP juga akan bekerjasama dengan parti lain bagi memastikan kerajaan persekutuan menghormati perjanjian dengan Sabah dan Sarawak.

Katanya, MCLM juga telah mengadakan rundingan dengan Barisan Bersatu Borneo (UBF) bagi menjalin kerjasama yang serupa.

Bagaimanapun, MCLM belum mencapai kata putus dalam menjalankan apa-apa kerjasama walau selepas satu rundingan intensif semalam, kata Haris lagi.

"Bagi UBF dan MCLM, kita masih belum berjaya mencapai pendirian bersama atas semua perkara asas.

"Tapi saya suka katakan bahawa kami akan terus berunding dengan tujuan untuk mencapai suatu konsensus.

"Ini akan diteruskan," kata Haris lagi dalam satu sidang media di sekretariat MCLM petang ini.

Dalam sidang media yang sama, ketua UBF Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut menyatakan sokongannya kepada SNAP dalam menghadapi pilihan raya negeri itu.

Bekas pemimpin kanan PKR itu berkata, SNAP juga sebelum ini telah menyokong Agenda Borneo UBF dan turut bersetuju menyertai Pakatan Borneo (Borneo Alliance) yang diusahakan UBF.

Jeffrey membentuk UBF pada Disember tahun lalu sebagai satu platform untuk memperjuangkan hak dan keadilan bagi penduduk Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...