Najib Gagal Tawan Masyarakat Kaum India
Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam menyifat lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Batu Caves sebagai gagal memikat perhatian masyarakat kaum India apabila hanya kira-kira 5 ribu orang sahaja hadir untuk bersua dengan pemimpin yang popular dengan slogan 1Malaysia itu.
Semalam Najib sekali lagi cuba membeli hati masyarakat india dinegara ini dengan menjejak langkah arwah bapanya, Tun Abdul Razak, 30 tahun yang lalu. Najib buat pertama kalinya memijak tanah Batu Caves dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri dengan niat ingin menawan kembali sokongan masyarakat India yang semakin menjauhi UMNO Barisan Nasional.
"Saya dapat feedback terutama sekali dari MIC, semalam yang datang tidak begitu ramai lebih kurang 4 hingga 5 ribu orang saja. Memang tidak ada sambutan macam 30 ribu atau 50 ribu orang. Sambutan tidak menggalakkan. Masyarakat India lebih mahukan kerajaan bantu mereka bukan hanya sekadar mendengar cakap perdana menteri saja. Masyarakat India kini sudah pandai tidak seperti 52 tahun dulu," ujar Manikavasagam.
"Pertama kali selepas 30 tahun seorang perdana menteri pergi ke Batu Caves. Dan beliau pergi ke sana untuk mendapatkan balik sokongan masyarakat India untuk kerajaan sedia ada," tambahnya lagi.
Seperti yang dijangka, Najib bersuara lantang menjanjikan pelbagai gula- gula politik antaranya dana sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan untuk membantu kaum ini.
Najib juga merancang untuk menyediakan peruntukan kepada rumah anak- anak yatim Divine Life Society, selain berjanji untuk menjadikan pengurusan Batu Caves lebih kaya dengan mengisytiharkan kawasan itu sebagai salah satu pusat pelancongan terkemuka di negara ini.
"Perdana menteri kita Najib berjanji akan jadikan Batu Caves sebagai pusat kebudayaan. Ini pernah dijanjikan 10 tahun dulu oleh menteri besar yang lama Khir Toyo. Khir telah bagi tanah untuk wujudkan pusat kebudayaan tapi sehingga sekarang masih tidak ada apa- apa perkembangan. Sekarang Najib pula berjanji. Kita tidak mahu janji- janji, buat dulu," Manikavasagam berkata.
Manikavasagam menegaskan, Najib dan jentera kerajaannya kini terdesak meraih sokongan pengundi masyarakat India lantaran kelompok ini mula sedar dan mula menjauhi budaya pemerintahan korup yang sedang bernanah dalam UMNO Barisan Nasioanl kini.
"Saya rasa kerana masyarakat India sudah tolak kerajaan Barisan Nasional. Ini usaha- usaha beliau untuk memulihkannya tapi saya rasa rakyat sekarang sudah pandai. Saya ingat di pilihanraya Bukit Selambau, Kedah, 75 peratus masyarakat India masih sokong Pakatan Rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Kapar ini juga berpandangan Najib akan melakukan apa sahaja cara bagi menawan hati kaum ini termasuk meniru gaya dan cara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berinteraksi dengan masyarakat india.
"Saya rasa perdana menteri kita tiru stail Datuk Seri Anwar kita. Ramai orang menggelarkan Datuk Seri sebagai Sivaji The Bos. Gaya ini memang datuk seri sahaja ada bukan Najib ada. Dulu dia tidak pernah sebut tapi untuk dapat sokongan masyarakat India balik, dia mula meniru cara datuk seri," kata beliau.
Manikavasagam juga diminta mengulas tinjaun atas talian Merdeka Centre yang mengatakan hampir 70 peratus masyarakat India berpuas hati dengan prestasi Najib memimpin negara ini.
"Saya rasa tak sampai satu tahun lagi. Kita pun tidak tahu prestasi dia macamana. 70 peratus saya rasa, i don't think so. Prestasinya belum lagi setahun atau belum lagi 2 tahun. Macam- macam slogan dan kini 1Malaysia. Bunyinya sedap. Tapi kita tidak tahu adakah berjaya bantu masyarakat India, i don't agreelah," sanggah beliau.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MIC, Datuk SS Subramaniam sinis menyatakan tindakan Najib tidak lebih dari strategi mengumpul sokongan untuk berhadapan dengan pilihanraya umum tidak lama lagi.
"Ini gimik politik untuk Najiblah. Dia mahu tarik undi orang India, itu saja, tak ada apa- apa pun. Tidak ada kesan punya. Semua orang pun tahu. Ini hanya satu tindakan untuk menarik undi kaum India saja," ujarnya lagi.
"Memang masyarakat India sudah minta dari kerajaan sudah lama. Ini semua gimik politik. Ini sekadar untuk tarik undi saja. Kalau kerajaan hendak buat, sudah lama dulu dia buat. Dia hendak tarik undi saja. Mereka terdesak sebenarnya," kata Subramaniam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan