Ahli Umno khianati Umno Johor |
Ahli Umno, termasuk pemimpin kanan parti bertindak "mengkhianati" Umno Johor dengan memulau perhimpunan di Batu Pahat petang tadi untuk mengutuk Ketua Umum Keadilan Anwar Ibrahim yang dituduh sebagai pengkhianat Melayu. Program anjuran UMNO itu diwar-warkan akan menghimpun 10,000 orang tetapi hanya dihadiri oleh kira-kira 400 orang, antaranya pelajar dan warga tua. Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melontarkan tuduhan pengkhianat terhadap Anwar dijadualkan hadir pada perhimpunan itu di Dataran Penggaaram. Namun pemimpin Umno Johor itu sendiri dikatakan menarik diri apabila diberitahu mengenai sambutan dingin terhadap perhimpunan itu. Ramai daripada mereka yang hadir bertindak menyisihkan diri daripada perhimpunan berkenaan apabila beberapa pemimpin UMNO memberi ucapan berbau perkauman dalam keghairahan menuduh Anwar sebagai pengkhianat bangsa. Antara yang berucap ialah Ketua Umno Bahagian Kulai, Datuk Adam Hamid; Ketua Umno Bahagian Batu Pahat, Dr Puad Zarkashi dan Ketua UMNO Bahagian Seri Gading, Datuk Mohamed Aziz. Hadirin juga kelihatan terkilan dengan ungkapan-ungkapan kesat dan biadap terhadap Anwar pada pemidang-pemidang Umno yang direntangkan. Ramai yang meninggalkan perhimpunan itu dan meluangkan masa bersiar-siar dan beriadah di dataran berkenaan tanpa menghiraukan ucapan pemimpin Umno Johor. Jumaat adalah cuti umum di Johor dan perhimpunan itu diadakan hari ini dengan harapan dapat menarik penyertaan ramai. Namun sambutan hambar adalah tamparan, bukan sahaja ke atas penganjur tetapi yang lebih besar, terhadap Muhyiddin sendiri. Ia juga bukti terbaru bahawa politik fitnah dan serangan peribadi yang dibawa oleh Muhyiddin ditolak oleh akar umbi parti. |
15 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan