23 Jun 2009

MALAYSIA TERUS TERTINGGAL...DLM SEMUA ASPEK!!

Si Muda Jelita Manohara mengugat..

Oleh HASMI bin HASHIM

Manohara Pinot yang muda-jelita itu kini mendapat perhatian dan simpati besar di negaranya sejak pulang ke Jakarta. Beliau dilaporkan ‘lolos’ melalui Singapura kira-kira setengah bulan lalu.
Seraya tiba di Bandara (”bandaraya udara”, atau di Malaysia disebut “lapangan terbang”) Seokarno-Hatta petang itu, kelibat Manohara dikerumuni orang ramai. Beliau segera mendapat liputan, baik TV, radio dan koran (surat khabar) di sana. Mantan model 17 tahun yang kini agak tembam pipi dan sosoknya dikatakan membuat pendedahan dan laporan polis mendakwa dirinya dilukai zahir-batin sepanjang berada di “taman larangan Istana.”
Benar atau tidak kenyataan Manohara, tidak dapat terbukti sekarang dan tidak dapat disahkan hanya melalui tegang isang atau perang mulut di media antara Jakarta-Kota Bahru. Satu proses pengadilan terbuka wajar berlangsung demi melihat siapa benar, siapa salah. Namun, simpati terhadap si muda-jelita itu begitu meluas sehingga beliau ditawarkan berlakon sinetron (filem).
Saya sama sekali tidak mengerti bagaimana pemerintah Malaysia, iaitu orang politik yang berkuasa di negara ini, tidak berbuat apa-apa tindakan demi meredakan ketegangan yang timbul di kalangan rakyat kedua negara, termasuk rentetan isu Manohara. Karena dia muda belia, karena kecantekkannya, sudah tentu mudah dia meraih simpati sehingga beliau diajak berkempen dalam Pemilu oleh Yusuf Kalla bersama parti Golkar.
Memang benar mulanya kes Manohara bukan bersangkutan langsung dengan isu dan kepentingan politik pemerintahan kedua negara. Namun simpati rakyat Indonesia diam-diam kini bertukar menjadi kebencian terhadap seluruh “yang Malaysia.” Bukan hanya sekadar kebencian terhadap orang kenamaan dan pemerintah Malaysia, tetapi juga sudah mencetuskan rasa kebencian dan tidak selesa antara rakyat kedua negara.
Oleh itu, adalah wajar dan munasabah agar “isu Manohara” perlu segera ditangani secara “politik” sementara menunggu proses pengadilan kelak.
Cakap-cakap konfrantasi mulai muncul semula. Pekik “ganyang Malaysia” bertempik lantang dalam demontasi di hadapan Kedutaan Malaysia tempohari. Semua itu menandakan bagaimana isu Manohara, yang awalnya dianggap sebagai urusan dalam kain dan hal rumahtangganya bersama Tengku Temenggung Kelantan; perlu disedari yang isu tersebut juga sudah merebak dan muncul sebagai persoalan politik di kalangan massa.
Suhu mendidih ini ditambah dengan tuduhan pesawat tentera Malaysia memasuki ruang udara Ambalat–sehingga menyaksikan demontrasi yang saya sebutkan tadi, yang turut disertai Manohara.
Dalam kata mudah, pimpinan politik wajar mengambil sikap dan peranan yang wajar dan betul. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan beberapa menteri lain, termasuk Menteri Luar sehingga kini hanya memberi kenyataan umum dan ringkas. Meminta rakyat kedua negara bertenang. Selain beberapa penafian kecil-kecilan bahawa tentera udara Malaysia tidak pernah menceroboh mana-mana ruang kedaulatan Indonesia.
Siapakah Hishamuddin untuk meminta rakyat Indonesia bersabar? Beliau bukan menteri dalam negeri Indonesia atau jamaah kabinet di sana. Beliau bukan menang sebagai wakil rakyat di provensi Tulungagung, Jawa Timur! Beliau adalah jemaah menteri Malaysia, yang sewajarnya tahu di mana sempadan negara. Dalam hal yang sekecil ini pun, Hishamuddin gagal untuk bercermin dan menyedari diri…
Apakah terlalu sukar untuk Malaysia segera mengirim menteri atau pasukan pegawai tinggi yang berwibawa ke sana dalam “misi keamanan”?
Apakah terlalu egoisnya kita sehingga terlalu payah untuk menghantar wakil dan mendengar sendiri buah butir daripada Manohara dan ibunya? Juga, bertemu menteri, bahkan presiden Indonesia sendiri (sekiranya perlu) bagi menerangkan dan berbincang tentang isu pencerobohan di Ambalat?
Kalau ada tuduhan bahawa kita sombong, mungkin sahaja benar kalau diukur dengan sikap menteri-menteri kita dan kelakuan kerajaan Malaysia amnya.
Menghantar pasukan dengan “misi keamanan” dan persaudaraan langsung tidak merugikan. Bahkan, kita akan dilihat lebih gentleman. Sikap sombong dan sambil lewa Pemerintah Malaysia, iaitu Kerajaan Barisan Nasional bukan baru, khususnya dalam beberapa sisi peristiwa dan kes yang bersangkutan dengan Indonesia, sangat dikesalkan.
Misalnya, isu undang-undang sebat yang dilihat tidak berperikemanusiaan juga menimbulkan kemarahan dan tersinggungnya rakyat Indonesia. Begitu juga isu lagu “Rasa Sayange”, selain kes wujudnya kezaliman dan penderaan tenaga kerja Indonesia yang melambak-lambak di negara ini. Bahkan, layanan di pusat-pusat tahanan pendatang tanpa izin juga begitu buruk dan mengecewakan.
Ada ulasan sewel yang menyebutkan bahawa kes pendedaraan terhadap pembantuan rumah hanya 0.3 peratus atau kira-kira 1,000 kes berbanding keseluruhan pembantu rumah yang ada di negara ini. Kes dera, sepertimana juga kes bunuh sama sekali tidak boleh diukur bersandarkan statistik.
Apakah kita boleh merelakan rakyat kita didera atau dibunuh seorang-dua!? Tentu tidak. Dan, membawakan perincian statistik adalah cara propagandis pemerintah yang seolah-olah mahu menunjukkan kes penganiayaan dan dera pembantu rumah Indonesia di negara ini adalah kes terpencil.
Di Malaysia, kes jenayah yang banyak dilakukan pendatang dari republik berkenaan juga sukar dinafikan. Namun itu bukan alasan untuk menambah lagi minyak di atas bara atau api yang sudah marak. Kita tidak akan berkompromi dengan siapa sahaja yang melakukan jenayah. Sama ada warganegara kita sendiri, mahupun orang luar. Itu prinsipnya.
Soal pemerintahan bukan hanya soal politik-kekuasaan, tapi juga menyangkut kecekapan mengawal dan mengurus krisis selain aspek “budi-bahasa” agar jelas disamping kita mempertahan prinsip, dalam masa yang sama bijaksana mengawal dan menyelesaikan krisis.
Inilah aspek kemanusiaan yang payah sekali dilihat dimiliki oleh pemimpin yang memerintah Malaysia selama ini. Sikap kepimpinan yang angkuh sebegini cukup merimaskan dan membuat rakyat kita seakan-akan menanggung malu.
Saya pernah dua kali ke Indonesia bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya lihat sendiri bagaimana sikap bijaksana Anwar merungkai beberapa kekusutan kedua negara–meski beliau bukan lagi anggota jemaah menteri.
Antara lain, Anwar dengan tegas menolak undang-undang cabuk (sebat) yang diluluskan pemerintah Malaysia bagi menangani isu pendatang asing. Secara prinsipnya, undang-undang itu menurut Anwar adalah undang-undang lapuk dan tidak berperi-kemanusiaan. Beliau turut bercerita tentang pengalamannya melihat nasib banduan yang terhukum secara keterlaluan sewaktu beliau di penjara selama 6 tahun.
Begitu juga dengan isu “Rasa Sayange” di mana Anwar menyarankan agar dapat dikongsi keindahan lagu itu sebagai tradisi rakyat kedua negara. Soal ketulinan asal usul lagu itu bukan lagi persoalan pokok…
“Ya kalau Indonesia mahu mendakwa asal usul lagi “Rasa Sayange” itu dari Indonesia, saya terima saja,” kata Anwar sambil disambut tepukan gemuruh dan senyum para hadirin dalam Program Mengenal 100 tahun kebangkitan semangat nasionalis, di Malang, Jogjakarta tahun lalu.
Kenyataan dan hubungan langsung yang dilakukan Anwar sudah cukup untuk meredakan ketegangan dan rasa tidak selesa kedua pihak berhubungi isu berkaitan. Tentulah sikap dan kebijaksanaan sebegini sukar diharapkan wujud di kalangan pemimpin yang menghunus keris ke muka rakyatnya sendiri.
Lihat sahaja bagaimana cadangan untuk memberhentikan pembantu rumah dari Indonesia–cadangan yang kemudiannya akan merugikan rakyat kedua belah negara.
Betapa mudahkan majikan di negara ini selama ini karena tenaga kerja atau pembantu rumah dari Indonesia sediakala menggunakan bahasa yang serumpun dengan kita. Bayangkan, alangkah sukarnya kalau terpaksa melatih pembantu rumah dari negara lain, misalnya Nepal atau Filipina, akibat bahasa ibuanda yang berbeda.
Tanyakan kepada Hishamuddin, apakah beliau mahu kalau ada gadis dari Indonesia yang secantik Manohara mahu bekerja sebagai pembantu di rumah dia? Agaknya melompat-lompat dan cepat-cepat diambil bekerja!
Apakah beliau tak sedar, tak akan ada sesiapa yang hendak bekerja di rumah majikan yang tidak berbudi-bahasa. Rakyat kita sendiri, walau dari Bote, Tanjung Maling sehingga ke Segamat dan Pontian sekalipun tidak mahu bekerja kalau didera, tidak dibayar gaji dan seolah-olah hanya diperhamba! Kita sendiri tidak mahu bertuankan dengan tuan yang angkuh dan sombong begitu rupa.
Soal siapa benar siapa salah, bukan persoalan yang terpaksa ditanggung di kalangan rakyat–karena yang bersalah, baik di pihak mana pun, wajar mendapat hukuman yang setimpal. Sepertimana kerajaan yang cuai dan penuh dengan kebejatan, wajar ditumbangkan dan dihumban.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...