IRAN - SATU PANDANGAN
APA DIA YANG SEDANG BERLAKU DI IRAN SEKARANG
Adalah salah kalau kita mengatakan bahawa tunjukan perasaan di Tehran dan kota-kota lain di Iran sebagai protest hanya tentang pilihanraya sahaja.Hakikatnya Mahmoud Ahmadinejad telah menang.Adalah juga salah untuk mengatakan bahawa tunjukan perasaan ini antara gulungan liberal yang menentang gulungan konservatif/kolot. Hakikatnya ke dua-dua kumpulan yang sedang bertelagah sama-sama mewakili theocracy yang kolot.Mir Hossein Mousavi sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 1981 hingga 3 Ogos 1989.
Kemudian jawatan perdana menteri ini telah dilupuskan.Memang betul Amerika Syarikat semenjak dari zaman George W Bush telah menganjurkan dan mengeluarkan dana untuk membuat kerja kerja jahat terhadap Iran. Amerika telah menyokong kumpulan-kumpulan dan parti politik yang menentang kerajaan di Tehran. Ini memang tugas kuasa imperial Amerika.Tetapi Mousavi dan Ahamadinejad TIDAK pro Amerika. Ini amat jelas. Mereka bukan boneka Amerika.Amerika Syarikat masih dianggap sebagai Setan Dunia oleh kelas pemerintah di Iran. Tidak ada pemimpin politik Iran secara terang terangan yang akan berani membuat dasar pro Amerika. Ini kerana sebab sejarah.Pada tahun 1953 Mohammed Mosaddeq telah menang pilihanraya dan dilantik sebagai Perdana Menteri Iran. Mosaddeq yang menjalankan dasar nasionalis telah memilik negarakan semua telaga minyak Iran. Mosaddeg akhirnya telah ditendang keluar. Rampasan kuasa menendang Mosaddeq ini adalah perancangan CIA. Setelah Mosaddeq ditendang syarikat minyak Anglo-Amerika telah dibawa masuk kembali. Untuk gantinya Shah Ahmad Reza Pahlavi telah di nobatkan oleh CIA sebagai Raja sehingga tahun 1979 apabila revolusi Iran melupuskan sistem beraja di Iran.Ini fakta saheh. Pada 4hb Jun 2009 yang lalu Barack Obama sendiri telah mengakui pekara ini dalam ucapan di Cairo. Ucapan Obama kepada ‘warga Islam’ dibuat dalam usaha Amerika ingin berbaik kembali dengan Iran.Mari kita memahami siapa penyokong Ahmadinejad dan siapa pula penyokong Mousavi.Semua yang menyokong Mousavi dan Ahmadinejad adalah orang Iran – Parsi. Mereka semua beragama Islam – Shiah. Hanya wujud kumpulan kecil di beberapa wilayah seperti di Baluchistan yang bermazhab Sunni. Mereka ini amat bersedia untuk menjadi khadam Amerika. Dua minggu sebelum pilihanraya di jalankan ada letupan bom di Zehdan – ibu kota Baluchistan. Ini kerja barua Amerika. Hakikatnya mazhab Sunni amat kecil untuk dapat melakukan apa-apa perubahan sosial.Jadi apa sebenarnya yang berlaku di Tehran?Semua analisa akhiranya menjurus kepada kepentingan ekonomi dan kelas.Ahmadinejad mewakili gulungan bawahan – kaum tani di kampong-kampong dan kaum buruh di kota. Wajib difahami bahawa Iran bukan Tehran sama seperti Kuala Lumpur bukan Malaysia. Kaum tani dan kaum buruh ini telah dimanifestasikan melalui organisasi Basij. Basij asalnya adalah kumpulan anak-anak muda kampong dan anak muda msikin kota yang di rekrut ketika Iran dan Iraq berperang – 1980-1988.Basij berasal dari kumpulan sukarela tetapi dua tahun lalu ianya telah diserap ke dalam pentabiran Ahmadinejad. Basij ini telah mendapat kontrek pembangunan, lesen-lesen dan menjawat lembaga-lembaga dibeberapa pusat pentabiran kerajaan yang ditubuhkan oleh Ahmadinejad. Lembaga ini samalah seperti SEDC ( State Economic Development Cooperation) yang ditubuhkan oleh PM Razak Hussein dahulu.Ahmadinejad juga mendapat sokongan Pasdaran atau Soldadu Penjaga Revolusi. Ini adalah pasokan soldadu yang muncul di zaman Ayatolah Khomeini. Pasokan ini muncul sesudah revolusi untuk membersihkan tentera Iran dibawah Shah yang banyak menjadi talibarut Amerika. Pasokan Pasdaran ini mendewasa di kancah perang Iran/Iraq.Basij dan Pasdran kini adalah asas sokongan yang amat kuat untuk Ahmadinejad di kawasan luar bandar dan kawasan miskin dalam kota. Kuasa ekonomi baru Basij yang telah dilembagakan ini mula menghakiskan dua kumpulan kelas ekonomi lama. Kumpulan pertama adalah kelas borjuis industri/borjuis nasional yang di wakili oleh Rafsanjani seorang multi bilionaire. Rafsanjani – wakil kelas borjuis nasional - melihat dasar Ahmadinejad telah mengetatkan lagi sekatan ekonomi yang dilancarkan oleh Amerika terhadap Iran.Rafsanjani towkay kacang Pastichio ini sedang melihat bertan-tan kacangnya tidak dapat di eksport. Kelas ini juga ingin berkembang luas – dari borjuis nasional untuk menjadi pemodal yang besar – multinasional - untuk mencari pasaran di dunia. Mereka juga bercita-cita untuk menjadi kelas industri tetapi telah gagal kerana wujudnya sekatan ekonomi.Kumpulan kedua pula adalah apa yang dikenali sebagai Bazaari – ini kelas lama yang mucul dari zaman feudal. Bazaari adalah peniaga tradisional. Kalau di Malaysia mereka ini adalah peniaga-peniaga China yang memiliki jaringan kedai-kedai perniagaan. Bazaari muncul sebagai kelas ekonomi yang kuat kerana mereka memonopoli dan mengendalikan jual beli di Iran. Ketika gerakan anti-Shah dahulu kumpulan Bazaari ini telah menyokong Ayatolah Khomeini sehinggkan Iran menjadi lumpuh dan Ahmad Reza Pahlavi lari.Kelas Bazaari ini juga memiliki pertalian yang amat kuat dengan struktur Shiah yang berpusat di Qum. Mereka memerlukan satu sama lain. Gulungan agamawan di Qum memerlukan sokongan ekonomi/duit kelas Bazaari. Kelas Bazaari memerlukan fatwa untuk ‘menghalalkan’ apa sahaja perniagaan mereka - termasuk pelacuran yang ditafsirkan sebagai ‘nikah sementara’.Kelas peniaga kecil ini melihat perniagaan di bazar mereka terbantut dan kelas mereka tidak dapat berkembang. Pelancung tidak masuk. Permaidani mereka tidak terjual dan tidak dapat di eksport. Kelas Bazaari/komprador - yang bergantung perniagan dengan peniaga luar - kini melihat barangan untuk jualan amat susah untuk di impot atau diekspot kerana sekatan ekonomi.Justeru amat jelas ada pertentangan kelas disini. Ada pertentangan kepentingan ekonomi. Kumpulan borjuis lama - borjuis nasional dan kelas komprador yang di wakili oleh Rafsanjani/ Mousavi sedang bertempur dengan kumpulan ekonomi kelas baru – kapitalis daulah/ state capitalism - yang diwakili oleh Ahmadinejad.Justeru ini membuktikan bahawa apa yang berlaku di Iran sekarang tidak ada sangkut paut dengan Islam, dengan mazhab Shiah atau dengan agama. Krisis di Iran hari ini adalah pertentang kelas dan perebutan ekonomi. Jangan kita lupa - ada lagi satu kumpulan – kumpulan monarki – saki baki dari penyokong Shah Ahmad Reza Pahlevi. Mereka ini kelas feudal yang sedang mengelabah seperti polong tidak bertuan. Tuannya – Reza Pahlavi anak Shah – kini tinggal di Cairo kerana telah menjadi menantu Anwar Sadat.Kumpulan feudal kelas elit atasan ini bersarang di bahagian utara Tehran – kawasan ini samalah seperti Bukit Kenny di Kuala Lumpur atau di Country Height Kajang. Kumpulan ini berkumpul di bawah tv satelit yang dimiliki oleh Reza Pahlavi yang dipancar dari Cairo.Kelas feudal dan elit atasan – kumpulan Gucci dan Louis Vuitton - ini tidak ada sangkut paut dengan demokrasi. Mereka ini lintah darat yang hidup senang lenang bershopping dihujung minggu di London dan Paris di zaman Shah dahulu. Mereka ini sama dengan kaum keluarga anak beranak kroni-kroni Mahathir Muhamad. Mereka melihat ‘gaya hidup’ mereka menjadi kacau bilau sesudah berlakunya revolusi tahun 1979.Jadi siapakah pula yang berdemo di jalan raya yang membantah keputusan pilihanraya? Semua yang kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka tidak selari dengan dasar Ahmadinejad sedang turun bermandi darah di jalan raya. Mereka bersatu dibawah bendera dan slogan - Undur-Undur Ahmadinejad. Ini sama seperti slogan dizaman Reformasi (1998) ketika rakyat satu Malaysia berdemo untuk menjatuhkan Mahathir Muhamad.Awas ! Dari semua kumpulan ekonomi ini adalah lagi satu kumpulan. Ini kumpulan anak-anak muda yang tidak memiliki kepentingan ekonomi atau kelas. Mereka inilah yang gugur di tembak oleh peluru Basij. Mereka inilah yang sedang bertempur dengan tentera dan polis rusuhan.Anak- anak muda ini datang dari semua kelas. Mereka adalah kaum pelajar muda. Mereka juga adalah ‘penanam anggor’ yang tidak memiliki kerja dan masa depan. Mereka melihat Ahmadinejad sebagai musuh yang menggangu gugat gaya kehidupan muda mereka. Mereka adalah Mat Rock dan Mat Kool dari utara Tehran. Mereka juga adalah Mat Rempit dari kawasan miskin wilayah selatan Tehran. Mereka sedang mendobrak segala nilai-nilai kolot yang menyusahkan kehidupan harian mereka. Mereka adalah generasi Myspace, Facebook dan Friendster. Ibu bapa mereka adalah Siti Internet dan Lebai Google. Bapak saudara mereka adalah Blogspot Dot Com. Mereka adalah pembuat filem di YouTube. Mereka adalah wartawan Sms dan Twitter. Mereka bermazhab Ali Shahriati. Mereka menganuti fahaman Mao, Lenin, Bakunin dan Che.Seperti biasa anak-anak muda inilah yang menjadi barisan hadapan untuk membawa perubahan. Mereka jugalah yang sedang bermandi darah membuka harapan baru untuk Iran. Mereka ingin membebaskan Iran dari theocracy yang kolot.Hakikatnya dasar Ahamadinejad dan dasar Mousavi tidak ada bezanya. Dasar ini ingin mentuakan naluri muda mereka. Ditahap sejarah pada June 2009 ini - anak-anak muda ini sedang berpayung dibawah lambang Mousavi kerana pekikan perjuangan yang dilaungkan oleh Mousavi.Untuk sementara waktu ini Ahmadinejad adalah Presiden Iran yang terbukti telah menang dalam pilihanraya. Ahmadinejad akan terus berkuasa. Amerika Syarikat dibawah Barack Obama – untuk kepentingan berjangka panjang - tidak akan menggugat Iran. Waspada! Iran memiliki tradisi perjuangan dan tamadun yang lama. Iran memiliki tradisi Tudeh yang memimpin kaum buruh di industri minyak. Iran memiliki tradisi Fedayeen Al-Khalaq. Iran memiliki tradisi Mujahideen Al-Khalaq. Iran memiliki tradisi tempur Shiah yang dinobatkan sebagai Islam Kiri oleh Ali Shariati. Tiga kumpulan inilah penyusun dan penjana awal revolusi Iran 1979 dahulu sebelum di ‘hijack’ oleh Ayatollah Khomenei yang dilihat oleh kuasa Anglo-Amerika pada ketika itu sebagai kuda yang lebih selamat.Akhirnya anak-anak muda ini akan mengundur dan menilai kembali garis perjuangan mereka. Yakinlah dalam masa yang tidak lama akan muncul kembali satu pertempuran yang lebih tersusun. Anak-anak muda dimana sahaja didalam dunia ini akan berkumpul apabila terdengar pekikan perjuangan. Ini adalah sifat dan naluri anak muda. Anak –anak muda di Iran memiliki waktu untuk menunggu. TT - (tulisan ini boleh diambil untuk membuat yang baik)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan