12 Mac 2011

Kg Baru: Pemilik tanah mahu deklarasi depan MP

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Satu majlis Deklarasi Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru kepada Ahli-ahli Parlimen Malaysia akan diadakan pada 14 Mac ini bertempat di Dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru.

Program yang akan bermula jam 9 malam itu dianjurkan Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang ditubuhkan atas inisiatif Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa.

Penasihat Undang-undang sekretariat itu, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi berkata, program tersebut adalah usaha menemukan penduduk di enam buah kampung di Kampung Baru dengan semua ahli-ahli parlimen Malaysia untuk menyatakan permasalahan dan kebimbangan mereka terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) yang kini datangguhkan untuk dibentang di Parlimen.

"Untuk program ini kita jemput semua ahli parlimen sama ada dari pembangkang ataupun kerajaan.
"Penduduk sendiri akan bercakap dengan mereka," jelasnya sambil menafikan isu pembangunan Kampung Baru yang dibawa selama ini bukan retorik politik Pakatan Rakyat semata-mata.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sebelum ini menyatakan hasrat kerajaan untuk menangguhkan perbahasan (RUU PPKB 2010) dalam sesi Parlimen bermula 7 Mac hingga 7 April ini.Bacaan kali pertama RUU itu sebelum ini dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, Disember tahun lalu.

Penangguhan itu didakwa ekoran desakan dan luahan rasa pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang tidak senang dengan akta itu kerana mereka tidak dilibat sama dalam perbincangan jawatankuasa itu sebelum ini."Majoriti pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru ini sebenarnya mahu rang undang-undang itu dimansuhkan, bukan ditangguhkan.

"Melalui program ini kita nak supaya ahli-ahli parlimen dengar suara penduduk dan boleh membawanya ke Dewan Rakyat," katanya.Dalam program itu juga katanya, pemimpin atau wakil-wakil parti termasuk Umno akan deberi peluang untuk bercakap dan menyatakan pandangan balas.

Ianya juga merupakan program kemuncak selepas sebulan mereka turun ke kampung-kampung dalam siri roadshow mereka bagi menjelaskan kesan RUU tersebut."Jika tidak ada apa-apa perkembangan positif juga dari kerajaan selepas ini, kami akan bergerak untuk menghantar memorandum kepada Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

BUKAN 50,000, TETAPI 500,000 TIADA MYKAD

Oleh: SURIATI MAHMUD

KENYATAAN Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Datuk Haji Jaffear Henry bahawa terdapat lebih 50,000 rakyat Sabah yang miskin tidak memiliki MyKad disebabkan mereka tinggal terpencil di pedalaman dan menghadapi masalah perhubungan telah disangkal.

Penulis Kontroversi, Mutalib M.D menolak angka yang dinyatakan Jaffear kepada media kelmarin kerana menurut kajiannya lebih 500,000 rakyat Sabah yang berusia 12 tahun ke atas tidak memiliki MyKad.

Mutalib yang sebelum ini menulis empat buah buku penuh kontroversi, IC PALSU Merampas Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa; IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir; 007-Lelaki Malaysia Terakhir; menekankan bahawa disebabkan masalah birokrasi dan intervensi politik, Jabatan Pendaftaran Negara keliru dengan tugas mereka.

“Jika mereka boleh memberi lebih 1.6 juta MyKad Malaysia kepada warga asing daripada Filipina, Indonesia, Pakistan dan India yang berada ribuan batu jauhnya daripada Sabah, kenapa mereka tidak dapat menyelesaikan isu pemilikan MyKad hanya setengah juta rakyat Malaysia di Sabah yang berusia 12 tahun ke atas?,” tanya Mutalib yang menggesa agar Pengarah JPN yang baru lebih proaktif dan berkhidmat dengan penuh tanggung jawab untuk rakyat Sabah.

RAMAI....Jika Tungku mempunyai lebih 21,000 mereka yang tidak mempunyai MyKad, bagaimana dengan 60 DUN lain?

Isu pemberian MyKad kepada warga asing ini, kata Mutalib, bukan rahsia lagi kerana bukunya, IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah telah diterima sebagai bahan bukti dalam Petisyen Pilihanraya Likas dan kesemua bukunya tidak pernah ‘diharamkan’ Kerajaan Malaysia; termasuk buku IC PROJEK Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir.

“Dalam senario sekarang, Kerajaan Pusat tidak perlu menafikan kesilapan mereka memberi kad pengenalan biru dan serta merah kepada warga asing dan kini 99 peratus daripada mereka telah memiliki MyKad dan MyPR,” tegas Mutalib yang merasakan tiba masanya Kerajaan Pusat mendaftar semula semua warga asing yang mendapat MyKad projek dengan memberikan Kod Negara Kelahiran berdasarkan Negara asal mereka.

Tegas Mutalib, jika beliau yang dilahirkan di Kedah diberikan Kod 02, kenapa warga asing yang lahir di Indonesia, Filipina, India, Pakistan dan sebagainya diberikan kod 12 atau 49 yang melambangkan seolah-olah mereka lahir di Sabah.

Mutalib yang mendapat taraf penduduk tetap Sabah pada 1974 berkata, Kerajaan Persekutuan telah mengkhianati rakyat Sabah dan ‘Negara’ Sabah dengan melakukan penghapusan ‘etnik’ melalui pengklonan warga asing sebagai warga Negara Malaysia tetapi kad pengenalan mereka hanya diproses atau dimohon daripada Sabah dan bukannya 13 negeri lain di Malaysia.

“Sebagai rakyat Sabah melalui kuat kuasa undang-undang, saya telah mempertaruhkan nyawa saya untuk membantu kerajaan mengenalpasti sindrom PATI. PATI telah menjadikan Sabah sebagai negeri termiskin di Malaysia ketika Sabah berada di dalam lubuk emas,” ujar Mutalib yang menjelaskan berbilion peruntukan dana Kerajaan Persekutuan dan Negeri bocor kepada PATI yang menjadi rakyat Sabah melalui pintu belakang dan suku sakat mereka yang menjadikan rumah mereka sebagai koloni PATI sekalipun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Mutalib menjelaskan, sebagai contoh, dalam gerakerja JPN bersama Pejabat Parlimen Silam pada 2009 untuk mendaftar 212 pemohon daftar lewat surat lahir dan 20 daftar lewat MyKad di Tanjung Labian, Tungku; tetapi amat mengejutkan kerana seramai lebih 21,000 orang telah datang untuk memohon daftar lewat kelahiran dan MyKad.

“Pendaftaran bergerak yang dilakukan oleh JPN memang amat baik dan tapisan keselamatan begitu ketat kerana mengikut peraturan pemohon wajib menandatangani surat akuan di hadapan Majistret Kelas Pertama, namun senario di kawasan pendaftaran tidak terjamin kerana bukan sahaja kekurangan kawalan keselamatan, malah ketiadaan Majistret Kelas Pertama,” tegas Mutalib yang mencadangkan agar JPN meminda Akta Pendaftaran Negara dengan menerima pakai Akta DNA bagi memudahkan urusan pengesanan dan pemberian taraf kerakyatan Malaysia.

JPN, kata Mutalib, hendaklah meningkatkan ciri-ciri keselamatan MyKad dan Sijil Lahir agar tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggung jawab kerana mudah begitu mudah dipalsukan; terutama ketika pilihanraya umum kerana beliau melihat ramai pemegang pasport Indonesia dan Filipina mendapat ‘MyKad Khas Untuk Mengundi’ daripada sindiket tertentu.

Berhubung dengan gerakerja beberapa pihak untuk mendapatkan tandatangan rakyat Sabah bagi mendesak penubuhan Suruhan Siasatan Diraja (SSD) sebagai susulan daripada memorandum yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran) Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing; Mutalib menyifatkan sebagai satu usaha yang baik dan beliau telah menandatanganinya melalui Petisyen Online.

“Sebelum ini, saya dengan Datuk Patrick Sindu dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah menghantar Memorandum Khas kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Mantan Perdana Menteri (Pak Lah) bersama kesemua buku yang telah saya hasilkan agar ditubuhkan SSD untuk tujuan yang sama, tetapi sehingga kini Tuanku dan PM belum memperkenankannya,” ujar Mutalib yang mengakui terpaksa hidup dalam keadaan waspada 24 jam disebabkan ancaman demi ancaman daripada PATI dan suku sakat mereka
sabahkini.net

Ku Li tolak memoir Mahathir sebagai tidak jujur


Terence Netto

Tengku Razaleigh Hamzah menggunakan peluang pada pelancaran sebuah buku di Ipoh, Perak, malam semalam bagi membuat kecaman ke atas buku memoir Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya sebagai “menipu secara politik”.

Dalam memuji “kejujuran intelektual” Professor Wang Gangwu yang dilahirkan di Surabaya tetapi dibesarkan di Ipoh semasa pelancaran buku bahasa Mandarinnya berjudul 'Junzi', Tengku Razaleigh berkata negara kini kekurangan kualiti dalam persekitaran politik.

"Ini adalah komoditi yang sukar diperolehi hari ini, khususnya dalam persekitaran politik yang dihadapi di Malaysia hari ini di mana menipu secara politik kian menular,” katanya.

Kecaman Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang semakin pedas apabila beliau menyentuh buku memoir Mahathir 'A Doctor in the House', yang dilancarkan di Kuala Lumpur awal minggu ini.

"Menipu secara politik datang melalui media dan ada kalanya dengan menulis buku memoir. Satu daripadanya adalah yang terbaru dilancarkan dengan tajuk pseudo (awalan asing palsu), 'A Doctor in the House'.

"Saya gunakan 'pseudo' kerana ia adalah tiruan tajuk daripada sebuah filem komedi British yang terkenal pada 1950an berdasarkan novel Richard Gordon. Mungkin ia disengajakan bagi mencerminkan lawak, selain menipu secara politik, kata Tengku Razaleigh secara sinis.

Menurutnya, dakwaan yang dilemparkan oleh Mahathir dalam buku tersebut ke atas dirinya bukan sesuatu perkara baru.

"Sekali lagi, saya dituduh mengheret parti (Umno) ke mahkamah. Saya juga didakwa terbabit dengan politik wang semasa bertanding pada pemilihan parti 1987,” kata Tengku Razaleigh. -malaysiakini

11 Mac 2011

Parlimen bubar awal Mei 2011

PM Thai bubar Parlimen awal Mei

BANGKOK, 11 Mac — Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva berkata Parlimen negara itu akan dibubarkan minggu pertama Mei ini, membuka laluan kepada pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum awal Julai.

Abhisit mengumumkan perkara ini selepas mengadakan pertemuan dengan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya bagi membincangkan peraturan pilihan raya.

Sebelum ini beliau bercadang untuk membubarkan Parlimen pertengahan tahun ini. — Reuters

PAS, Melayu dan persepsi -PERANAN BLOGGER DITAGIH

PAS, Melayu dan persepsi

Politik dalam kebanyakan halnya ialah persepsi. Fakta yang salah tetapi dengan propaganda yang sistematik, boleh menjadikan sesuatu fakta itu suatu kebenaran yang tidak dapat diragui lagi kepada kebanyakan rakyat.

Propaganda UMNO untuk mewujudkan persepsi-persepsi berikut terhadap PAS telah mula dipercayai oleh orang melayu;

PAS dipergunakan oleh DAP.
PAS menggunakan agama untuk capai cita-cita politik.
PAS derhaka kepada Sultan.
PAS dilihat terlalu berlembut dalam mempertahankan hak istimewa orang melayu.
PAS memilih agama, tetapi tidak pedulikan bangsa.
PAS asyik nak bangkang sahaja.
PAS tak langsung sebut kebaikan UMNO.
PAS suka mengutuk orang.
PAS tak sesuai dengan jiwa belia dan beliawanis muda.
PAS tiada kredibiliti kerana menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh melakukan dosa liwat.

Bila UMNO berjaya mewujudkan persepsi-persepsi sebegini, bermakna PAS gagal mengatasi teknik dan sistem propaganda UMNO yang menggunakan seluruh saluran media milik kerajaan dan swasta bagi tujuan tersebut. PAS perlu menjawab dan memberikan fakta-fakta ringkas atau jawapan kepada persepsi-persepsi di atas dengan cara yang diulang-ulang dan ditonjolkan dalam media cetak, elektronik, kenyataan akhbar dan lain-lain saluran maklumat yang menyokongnya pada setiap masa.

Fakta-fakta di bawah perlu disemat dalam pemikiran rakyat secara cermat, berhemah dan berterusan bagi menghilangkan persepsi-persepsi palsu di atas. Isu PAS membela Orang Melayu Islam perlu dipertegaskan kepada pengundi tradisional PAS bagi mengelakkan mereka semakin termakan dengan propaganda UMNO dan BN.

PAS dan DAP bekerjasama dalam bentuk menentang kezaliman dan penyelewengan politik yang melampau-lampau oleh UMNO dan MCA. PAS akan ganti UMNO, DAP akan ganti MCA dan tidak timbul DAP ganti PAS.
PAS menggunakan saluran politik untuk menegakkan agama Islam. Tanpa kuasa politik, agama Islam hanya terbatas di pejabat agama.
PAS hormat dan ada hubungan baik dengan Sultan-Sultan. UMNO nampak saja baik dengan Sultan, tetapi sebenarnya menghapuskan kuasa Sultan dan sampai ada UMNO yang kata ‘menatang’ kepada Sultan.
PAS bertegas untuk mempertahankan hak istimewa orang melayu sebagaimana 12 janji PAS kepada orang melayu satu dalam konvensyen baru-baru ini. Orang melayulah rakyat yang paling ramai dhaif dan perlu dibantu secara lebih bersepadu. UMNO bukan membantu bangsa Melayu, tetapi mengagihkan projek-projek secara pilih kasih kepada kroni-kroni mereka berbangsa melayu mengikut kaedah ‘ali baba’. Sebenarnya UMNO mempunyai siri pengkhianatan yang panjang terhadap bangsa melayu yang kononnya sering dipertahankan.
PAS menekankan agama untuk menguatkan bangsa melayu, kerana dengan menjaga prinsip-prinsip agama Islam, bangsa melayu akan kembali kuat dan dihormati.
PAS membangkang pembaziran seperti monsoon cup, gejala rasuah dan ketidak-cekapan kerajaan yang melampau sehingga stadium, sekolah dan masjid pun boleh runtuh.
PAS sentiasa menghargai inisiatif kebaikan yang dibuat oleh kerajaan tetapi mengecam inisiatif-inisiatif kebaikan itu disalah-gunakan untuk tujuan lain seperti pembahagian dana kebajikan untuk ugut dan tarik undi semata-mata, dan kontrak e-book dengan harga yang sepatutnya jauh lebih murah.
PAS bukan mengutuk tetapi mengecam secara keras semua kezaliman yang dilakukan secara terang dan tanpa berselindung seperti penarikan royalti Terengganu oleh Kerajaan Pusat.
PAS mempunyai aktiviti belia yang lebih sihat dan lebih membina jati diri belia masakini berbanding dengan aktiviti belia UMNO yang hanya bertujuan hiburan dan imbuhan semata-mata.
PAS menyedarkan orang Islam terutamanya bangsa melayu, bahawa menuduh dan terlibat dalam menyebarkan tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa saksi-saksi yang adil, adalah satu dosa besar yang sangat dimurkai oleh Allah.
Dalam dunia maya pula, blogger-blogger yang terkenal menyokong PAS sudah kurang menjana nilai positif kepada PAS.

Ada blogger yang cuba menghakis kredibiliti Presiden PAS dalam blog masing-masing, dengan alasan untuk mendapat kepimpinan baru yang lebih cekap dan dinamik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ada blogger yang terus menerus menghentam kerajaan perpaduan yang telah ditutup buku dengan terus-menerus menuduh Timbalan Presiden PAS sebagai anasir yang paling jahat yang akan membawa PAS ke pangkuan UMNO.
Ada blogger yang terlalu banyak menggunakan bahasa kesat kepada pihak lawan di dalam blog mereka, menyebabkan rakyat atas pagar berundur daripada mendapat maklumat bernas daripada blog tersebut.
Hasilnya, persepsi berikut yang timbul;

Presiden UMNO adalah lebih baik, lebih cekap dan lebih amanah daripada Presiden PAS.
PAS juga mempunyai klik-klik tertentu dan pimpinan yang tamakkan habuan dunia yang boleh diberikan secara mudah oleh UMNO. Juga menggambarkan Prinsip Islam
PAS setengah pimpinan PAS boleh dijual beli.
PAS yang suka maki hamun, bukan blogger-blogger tertentu, dan blogger PAS dan UMNO tidak ada beza daripada aspek kutukan melampau-lampau. Dengan itu, rakyat awam lebih cenderung untuk menghadkan bacaan berita daripada Malaysiakini, Malaysian Insider dan sumber rasmi parti seperti Harakah dan Buletinonline sahaja. Ini satu kerugian yang sangat besar.

Kesimpulannya, dalam PRU ke 13, PAS daripada sudut isu perlu lebih agresif menjawab 10 propaganda UMNO di atas. Orang melayu tidak boleh dibiarkan tertipu oleh propaganda UMNO bahawa orang melayu lebih baik dijaga oleh UMNO daripada dijaga oleh PAS.
Dan satu lagi, perkelahian sesama sendiri oleh para blogger yang menyokong PAS dan PR perlukan satu ‘gencatan senjata’, sekurang-kurangnya sehingga berlangsungnya pilihanraya Umum ke -13. “

- Zakaria Ismail

Zakaria Ismail ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang
dari marhaen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...