KUALA LUMPUR, 11 Mac: Satu majlis Deklarasi Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru kepada Ahli-ahli Parlimen Malaysia akan diadakan pada 14 Mac ini bertempat di Dewan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru.
Program yang akan bermula jam 9 malam itu dianjurkan Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang ditubuhkan atas inisiatif Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa.
Penasihat Undang-undang sekretariat itu, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi berkata, program tersebut adalah usaha menemukan penduduk di enam buah kampung di Kampung Baru dengan semua ahli-ahli parlimen Malaysia untuk menyatakan permasalahan dan kebimbangan mereka terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) yang kini datangguhkan untuk dibentang di Parlimen.
"Untuk program ini kita jemput semua ahli parlimen sama ada dari pembangkang ataupun kerajaan.
"Penduduk sendiri akan bercakap dengan mereka," jelasnya sambil menafikan isu pembangunan Kampung Baru yang dibawa selama ini bukan retorik politik Pakatan Rakyat semata-mata.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sebelum ini menyatakan hasrat kerajaan untuk menangguhkan perbahasan (RUU PPKB 2010) dalam sesi Parlimen bermula 7 Mac hingga 7 April ini.Bacaan kali pertama RUU itu sebelum ini dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, Disember tahun lalu.
Penangguhan itu didakwa ekoran desakan dan luahan rasa pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang tidak senang dengan akta itu kerana mereka tidak dilibat sama dalam perbincangan jawatankuasa itu sebelum ini."Majoriti pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru ini sebenarnya mahu rang undang-undang itu dimansuhkan, bukan ditangguhkan.
"Melalui program ini kita nak supaya ahli-ahli parlimen dengar suara penduduk dan boleh membawanya ke Dewan Rakyat," katanya.Dalam program itu juga katanya, pemimpin atau wakil-wakil parti termasuk Umno akan deberi peluang untuk bercakap dan menyatakan pandangan balas.
Ianya juga merupakan program kemuncak selepas sebulan mereka turun ke kampung-kampung dalam siri roadshow mereka bagi menjelaskan kesan RUU tersebut."Jika tidak ada apa-apa perkembangan positif juga dari kerajaan selepas ini, kami akan bergerak untuk menghantar memorandum kepada Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan