02 Januari 2015

AIRASIA QZ8501 : PESAWAT MENDARAT ATAS AIR? - PAKAR

Pautan kekal imej terbenam

AirAsia QZ8501: Pesawat Mungkin Mendarat Atas Air - Pakar



JAKARTA: Ketika pasukan mencari sedang berusaha mengesan kotak hitam pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, beberapa pakar membuat analisis dengan menyatakan ada kemungkinan juruterbang telah berjaya membuat pendaratan cemas atas permukaan air, bagaimanapun ombak besar telah menyebabkan pesawat tersebut karam ke dasar laut.

Pesawat Airbus A320-200 berlepas dari bandar Surabaya, Indonesia awal pagi Ahad sebelum ia hilang daripada radar apabila berhadapan dengan cuaca buruk ketika melintasi di Laut Jawa, namun pesawat tersebut gagal menghantar sebarang isyarat kecemasan ke menara kawalan sebelum ia terhempas ke lautan.

"Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) akan tahan daripada sebarang impak atau tekanan, sama ada di daratan, laut, mahupun kawasan pergunungan, dan menurut analisis saya ia tidak berfungsi kerana tiada hentaman kuat ketika pendaratan berlaku," kata Pengarang Kanan Majalah Penerbangan Angkasa, Dudi Sudibyo.

"Juruterbang berjaya melakukan pendaratan di permukaan laut," tambahnya.

Ketika kejadian pesawat malang tersebut membawa 162 orang dalam perjalanan ke Singapura.

Juruterbang turut meminta kebenaran untuk terbang lebih tinggi pada ketinggian 32,000 kaki bagi mengelakkan awan yang membawa ribut petir.

Walaupun menara kawalan udara membenarkan pesawat bergerak ke laluan kiri, ia tidak membenarkan pesawat terus naik daripada ketinggian sedia ada, kerana terdapat pesawat lain di ketinggian yang diminta, bagaimanapun pesawat berkenaan hilang daripada beberapa minit selepas itu.

Ada juga penganalisis membuat kesimpulan enjin pesawat mati secara tiba-tiba kerana ia bergerak sangat perlahan. Namun semua andaian tersebut masih tidak jelas kerana tiada isyarat kecemasan dihantar daripada kokpit.

Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia berjaya menemui serpihan pesawat pertama di kepulauan Borneo selepas mendapat maklumat daripada nelayan di kawasan berhampiran.

Setakat ini, pasukan penyelamat telah berjaya menemui sembilan mayat.

"Kesimpulan yang dapat saya katakan setakat ini adalah, pesawat tidak meletup di udara, ia juga tidak mengalami sebarang impak ketika ia mendarat di permukaan air, kerana jika kejadian berlaku sebaliknya mayat mangsa tidak akan ditemui dalam keadaan sempurna," kata bekas komander udara, Cahappy Hakim kepada AFP.

Pasukan mencari di udara juga yakin badan pesawat (fiuslaj) berada dalam keadaan baik selepas mereka melihat terdapat bayangan pada dasar laut, yang kini menjadi tumpuan kawasan operasi.

Pintu kecemasan pesawat dan gelongsor kecemasan antara dua item pertama yang ditemui di kawasan pencarian. Ia memberikan gambaran penumpang pertama telah mula dipindahkan sebaik sahaja pesawat mendarat di atas permukaan air.

Bekas menteri pengangkutan, Jusman Syafii Djamal juga yakin dengan penemuaan pintu kecemasan pesawat yang terapung memberikan petunjuk bahawa 'seseorang telah membuka pintu berkenaan'.

Penumpang juga mungkin sedang menunggu pramugari mengembungkan rakit keselamatan apabila ombak besar mungkin telah menghentam mereka, sekaligus mengakibatkan pesawat karam, tambah Jamal.

"Ombak besar mungkin telah menghentam pesawat, yang akhirnya menyebabkan pesawat tersebut karam."

Mengikut piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan semua penumpang boleh dipindahkan daripada sebuah pesawat dalam tempoh 90 saat.

Punca sebenar pesawat berkenaan terhempas masih belum jelas dan ia dijangka dapat diketahui apabila kotak hitam pesawat ditemui.

Pakar daripada Perancis dan Singapura turut menyertai pasukan penyiasat keselamatan dan pengangkutan Indonesia dalam usaha mengesan bangkai pesawat milik syarikat penerbangan AirAsia Indonesia.

Sekiranya ditemui, rakaman suara kokpit akan dapat memberikan perbualan terperinci antara juruterbang sepanjang penerbangan dan saat terakhir sebelum nahas berlaku.

"Semuanya akan terjawab apabila kita menemui kotak hitam pesawat," kata Sudibyo.



QZ8501: 16 mayat ditemui setakat ini


12.10pm: Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Datuk Abdul Aziz Jaafar menerusi akaun Twitter be;iau mengumumkan tiga kapal akan mengendalikan Underwater Marine Detection System (Side-scan Sonar dan Pinger Locator) untuk mencari rangka pesawat.

12.05pm: Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon menghantar ucapan takziah kepada waris mangsa nahas.

12.00pm: Dua mayat tiba pagi ini - seorang lelaki dewasa dengan ketinggian kira-kira 164sm memakai baju-T berlengan pendek warna merah dengan tulisan "vintage radio", dan mayat seorang wanita dengan ketinggian kira-kira 155sm yang memakai cincin pada jari tengah, memakai seluar biru dan blaus putih tanpa lengan, lapor Channel NewsAsia.

11.45pm: Tiupan mengejut ke bawah angin yang dikenali sebagai 'microbursts' mungkin antara punca nahas pesawat QZ8501, demikian menurut pakar meteorologi yang dipetik di New Straits Times hari ini.

Menurut laporan itu, kelajuan angin dari tiupan itu boleh melebihi 270 kilometer sejam, dan Jabatan Metrologikal Malaysia telah mengesahkan kehadiran awan hujan (cmulonimbus) pada hari kejadian itu, yang seterusnya, boleh menyebabkan 'microbursts' itu.

Tekanan di sekitar kawasan itu akan berubah secara drastik kerana tiupan secara tiba-tiba angin kuat, menjadikannya amat sukar untuk juruterbang mengawal pesawat, kata penyelidik penerbangan Mohd Harridon Mohamed Suffian yang dipetik sebagai berkata, sambil menambah bahawa ia boleh menyebabkan sayap pesawat patah.

Satu lagi senario yang mungkin berlaku, menurut Mohd Harridon, kemungkinan sama dengan yang berlaku dalam nahas penerbangan 447 Air France pada 2009, di mana ais terbentuk dan menyumbat instrumen pesawat.

Ini mengakibatkan bacaan yang tidak betul disalurkan kepada autopilot dan anak kapal, dan membawa kepada kesilapan dalam membuat keputusan untuk mendaki sehingga pesawat terhenti.

Punca nahas QZ8501 masih tidak diketahui, tetapi pelbagai laporan media juga menyentuh senario seperti yang berlaku kepada AF447

11.10am: Enam mayat yang ditemui oleh USS Sampson akan diterbangkan ke Pangkalan Bun menggunakan helikopternya sendiri, lapor Metro TV.

Sepuluh mayat telah dibawa ke pantai.

Dengan enam mayat itu, jumlahnya menjadi 16 mayat yang telah ditemui, kata Pengarah SAR Pangkalan Bun, Supriyadi.
11am: Pihak forensik berkata mereka menghadapi masalah mengenal pasti salah seorang mangsa kerana cap jarinya tidak dapat disahkan, kerana terlama terdedah kepada air laut, laporan Channel NewsAsia.

Sejumlah 29 kapal dan 17 pesawat terlibat dalam operasi mencari kotak hitam dan rangka pesawat hari ini, kata Basarnas.

10.45am: 9news Australia hari ini melaporkan Dudi Sudibyo, seorang editor kanan majalah penerbangan Angkasa, membuat spekulasi bahawa QZ8501 mungkin membuat pendaratan kecemasan di atas air, yang menjelaskan mengapa pemancar pengesan kecemasan (ELT) tidak diaktifkan.

The ELT menghantar isyarat kecemasan apabila pesawat terhempas, dan Sudibyo menjelaskan pendaratan di permukaan laut tidak akan mengaktifkannya.

Beliau juga mengesyaki pesawat itu mungkin tenggelam selepas pendaratan itu ekoran laut yang bergelora.

Laporan itu juga memetik Chappy Hakim, seorang bekas komander tentera udara memberitahu AFP bahawa bukti-bukti setakat ini menunjukkan tiada tanda-tanda berlaku letupan.

Kesimpulannya setakat ini ialah pesawat itu tidak meletupkan di udara, dan ia tidak mengalami kesan impak apabila ia mencecah permukaan air berdasarkan kepada keadaan mayat.

Bekas menteri pengangkutan Jusman Syafii Djamal dilaporkan berkata, penemuan gelongsor penyelamat menyokong teori itu, kerana ia menunjukkan ada percubaan untuk keluar dari pesawat.

Djamal yakin penemuan gelongsor itu menunjukkan "seseorang telah membukanya" dan berkata, "para penumpang mungkin telah menunggu pramugari untuk mengembung rakit apabila gelombang besar menenggalamkan pesawat itu, lapor rangkaian media Australia itu.

16 mayat ditemui setakat ini

10.30am: Maklumat yang diperolehi menunjukkan bahawa 16 mayat telah ditemui, lapor detik.com.

Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia (Basarnas), bagaimanapun, berkata beliau hanya bersedia untuk mengesahkan 10 mayat untuk mengelakkan kekeliruan.

Beliau berkata, apa yang telah disahkan kepadanya ialah 10 mayat.


10.05am: Keadaan laut dilaporkan lebih tenang hari ini dan operasi SAR diperhebatkan.

Tujuh lagi mayat ditemui, satu oleh tentera laut Diraja Malaysia.

9.54am: Menurut Channel News Asia, tujuh lagi mayat telah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat di Laut Jawa.

Salah satu mayat ditemui oleh Tentera Laut Malaysia manakala enam yang lain oleh kalapa USS Sampson.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...