22 November 2014

SEEKOR KERAPU BERNILAI RM19,000 DITANGKAP!!!




PENJUAL ikan mempamerkan ikan kerapu gergasi seberat 200kg yang tersangkut di pukat seorang nelayan telah dijual dengan harga RM19,000 di Pasar Basah, Bintulu, Sarawak, semalam.

BINTULU 20 Nov. – Penat bertarung selama dua jam sebelum berjaya mendaratkan ikan kerapu seberat 200 kilogram (kg) berbaloi bagi seorang nelayan di sini semalam apabila dia berjaya menjual hasil tangkapan tersebut pada harga RM19,000.

Nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Madin, 40, memberitahu, dia langsung tidak menyangka mendapat rezeki lumayan tersebut kerana selama ini belum pernah berjaya menangkap ikan sebesar itu.

Katanya, ikan tersebut telah dibeli oleh seorang peniaga ikan di pasar basah Bintulu.

“Hasil tangkapan ini ternyata menjadi rezeki segera buat keluarga saya apabila ada peniaga ikan yang sanggup membelinya dengan harga RM19,000 atau RM95 bagi sekilogram.

“Sejak bekerja sebagai nelayan, inilah kali pertama saya menangkap dan melihat ikan kerapu sebesar itu, mungkin antara yang terbesar pernah ditangkap di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Madin, dia menyedari ikan ‘gergasi’ itu tersangkut di pukatnya ketika berada di kawasan kira-kira 50 kilometer dari luar pantai Bintulu petang semalam.

“Saya mengambil masa kira-kira dua jam bertarung dengan ikan tersebut sebelum berjaya mendaratkannya atas bot.

“Saya bernasib baik kerana tali penarik yang digunakan untuk menaikkan pukat itu tidak putus,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di pasar basah Bintulu mendapati orang ramai tertarik untuk melihat ikan gergasi tersebut dari dekat.

Beberapa pengunjung turut ti­dak melepaskan peluang un­tuk merakamkan gambar dan menyentuh ikan tersebut.




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...