30 November 2014

BN BOLEH DITAPAU KALAU UNDI MEROSOT 2% DALAM PRU14



Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran kepada ahli Umno supaya bekerja keras memastikan senario tewas di PRU14 tidak berlaku. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya hilang cuma 2% lagi undi.

Timbalan presiden Umno itu berkata, ahli Umno perlu bekerja keras bagi mengelakkan senario itu berlaku dan meningkatkan peratusan undi sebanyak 5% untuk meneruskan kelangsungan Umno dan BN.

“Jika situasi kita tidak bertambah baik, hanya dengan 2% penurunan undi, kita akan turun berada di paras bahaya menjadi 103 kawasan (Parlimen).

"Kurang dari 112 kerusi bermakna BN pasti kalah. Minta dijauhkan,” katanya semasa ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berkata, untuk mengelakkan Umno tersungkur semasa PRU14 maka ahli parti itu perlu menggiatkan usaha menangani perspektif negatif yang dilontarkan pihak tertentu.

“Kalau ini hendak diatasi, inisiatif kita mesti diambil secara bersunguh-sungguh. Kalau naik 2%, kita naik ke 141 kawasan Parlimen. Bolehkah kita naik ke paras 141 (kerusi)?

“Kalau kita kerja kuat sikit naik 5%, 159 kawasan, dua pertiga yang kita sasarkan boleh tercapai. Hanya dengan 39 bulan daripada hari ini, pilihan raya mesti diadakan. Dalam tempoh begini singkat, apakah inisiatif baharu yang boleh kita laksanakan untuk mengembalikan keyakinan perbetulkan persepsi?” katanya.

Muhyiddin berkata Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga sudah menyatakan komitmen meluangkan lebih masa bagi memantau gerak kerja parti.

“Beliau akan meluangkan lebih banyak masa untuk parti dalam tempoh tiga tahun. Perdana Menteri akan mengorbankan masa selain tugas rasmi untuk melihat urusan parti dan turun ke setiap kawasan,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...