JOHOR BARU: Anggota polis antara tiga lelaki yang ditahan kerana didakwa menculik dan merogol seorang pelancong warga Vietnam berusia 22 tahun.
Anggota berpangkat lans koperal yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan beberapa jam selepas wanita itu membuat laporan polis.
Dua lagi rakannya yang berusia 30-an dan 50-an ditahan dalam serbuan di sini, pada Ahad.
Sumber berkata, sisatan mendapati wanita itu yang juga penuntut kolej di Vietnam tiba di pangsapuri Jalan Pasir Pelangi menaiki teksi bersama seorang lagi rakan wanita pada pukul 3 pagi, Sabtu.
Difahamkan, kedua-duanya kemudiannya didekati tiga lelaki yang mendakwa sebagai polis berpakaian preman yang meminta mereka mengemukakan pasport.
Sumber berkata, rakan mangsa bertindak melarikan diri dan meninggalkannya keseorangan kerana mereka yang bercuti ke sini sejak sebulan lalu tidak membawa dokumen peribadi atau dokumen perjalanan ketika itu.
Difahamkan, mangsa cuba menjelaskan bahawa pasportnya ditinggalkan di rumah tetapi tidak dihiraukan tiga lelaki itu.
Sebaliknya, mereka memaksa mangsa masuk ke dalam kereta dan membawanya ke rumah salah seorang daripada mereka sebelum bergilir-gilir merogol wanita berkenaan.
Sumber berkata, lelaki terbabit juga mengurung mangsa selama 12 jam sebelum membawanya pulang ke pangsapurinya pada keesokkannya.
Mangsa bertindak membuat laporan polis dan dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pasukan khas polis dibentuk dan dalam masa beberapa jam dapat mengesan suspek berdasarkan visual rakaman kamera litar tertutup dari pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan.
Semua tiga lelaki terbabit kini ditahan reman.
Ketua Polis Daerah Johor Baru, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan penahanan lelaki terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan