23 Jun 2014

TERKINI ! PENJELASAN JPP BERKAITAN PEMILIHAN CABANG KOTA RAJA


Pemilihan PKR cabang Kota Raja kekal


PETALING JAYA, 23 JUN: Pemilihan jawatan bagi cabang Kota Raja tidak akan diadakan semula ekoran pemilihan berlangsung enam jam tanpa henti selaras dengan peraturan.

Pada 22 Jun lalu, proses pemilihan semula jawatan di kawasan terbabit bertukar ganas sehingga mengakibatkan dua lelaki cedera dalam pergaduhan ketika sesi pengundian.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku apabila penyokong calon merempuh pagar pusat mengundi seterusnya bertindak membaling kerusi antara satu sama lain yang menyebabkan proses pengundian dihentikan setengah jam lebih awal.


Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul, berkata pihaknya akan mengenalpasti suspek yang terbabit seterusnya akan menyerahkan kepada pihak polis jika bukan anggota parti.

Manakala, Lembaga Disiplin akan mengambil tindakan jika anggota parti itu terbukti terbabit.

“Lembaga Disiplin sedang melakukan siasatan. Jika ahli PKR, mereka akan diambil tindakan, tetapi jika orang luar kita serahkan kepada polis.

“Kita juga kena lihat insiden ini daripada kumpulan yang sama sebelum ini atau tidak kerana membabitkan perkara berlaku dua kali,” katanya.

Dalam kes sebelum ini yang membabitkan Kota Raja, Johari berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan pemecatan dan pengampunan.


“Lembaga Disiplin sudah lakukan penyiasatan. Ada yang dipecat dan yang dilepaskan.

“Terdapat juga calon yang diambil tindakan kemudian membuat rayuan dan meminta maaf, jadi kita beri peluang kedua untuk bertanding tetapi dengan amaran keras,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...