07 Oktober 2013

Panas! Mukhriz Lawan Naib Presiden Yakin Umno & Najib Akan Tumbang PRU14....



Mukhriz mahu jadi naib presiden sebelum Umno “kecundang” dalam PRU14



Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) mahu menang dalam pertandingan merebut jawatan itu sebelum berputih mata melihat parti Melayu terbesar itu tewas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau menyifatkan Umno sudah tidak mempunyai banyak masa dan keputusan beberapa pilihan raya sebelum ini jelas menunjukkan prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Jika saya lewat mengambil keputusan untuk bertanding, silap-silap PRU14 kita dah kecundang. Umno sudah tiada masa. Kita telah lihat senario PRU12 dan PRU13, apa agaknya keputusan PRU14 nanti?

"Kalau kita masih tidak berasa cemas dan hendak tunggu 10 ke 15 tahun lagi, kita terimalah padahnya," kata anak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu ketika ditemui The Malaysian Insider sewaktu majlis memperkenalkan calon pemilihan Umno kepada perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah itu turut melihat beliau mampu memberi saingan sengit kepada lima calon lain yang akan merebut jawatan naib presiden Umno sambil menyifatkan dirinya agak terlewat bertanding merebut jawatan itu.


Katanya, peluang memenangi jawatan itu dianggarkan sekitar 50% dan tidak mahu menaruh keyakinan terlalu tinggi kerana menurutnya lima lagi calon yang bertanding bukan calang-calang orangnya.

"Saya ke gelanggang naib presiden agak lewat kerana calon lain sudah dua atau tiga kali menyandang jawatan ini. Peluang itu ada namun saya tidak berani meletakkan harapan terlalu tinggi.

"Kali ini saya lihat kuasa mengundi itu terletak pada perwakilan yang ramai iaitu 146,500 orang. Saya yakin mereka sudah cukup matang untuk membuat penilaian sendiri. Pada hari pemilihan, mereka akan membuat keputusan mengundi mengikut suara hati dan bukan desakan pihak atasan," katanya.

Ketika ditanya adakah pertandingannya kali ini mengganggu penyandang jawatan naib presiden sedia ada, beliau berkata: "Inilah demokrasi. Kalau tiada yang 'kacau daun' maka pemilihan tidak perlu diadakan dan kita boleh isytihar menang tanpa bertanding."

Dalam perkembangan lain, beliau mahu pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau memberi mandat kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 November ini bagi sama-sama merasai pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

Beliau menyedari DUN Sungai Limau adalah kubu kuat PAS dan BN mempunyai cabaran besar untuk memenangi PRK kali ini.

"Saya telah nyatakan kepada pengundi Sungai Limau baru-baru ini, BN sebenarnya berhasrat membawa pembangunan di kawasan itu dan bukan untuk bersaing dengan sesiapa.

"Kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditadbir oleh BN. Jadi kita nak kongsi hasil negeri Kedah dengan penduduk di Sungai Limau juga," katanya.

Penyandang kepada jawatan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketiga-tiganya bertanding untuk mengekalkan jawatan.

Selain itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Samad turut menghangatkan suasana dengan menyertai pertandingan enam penjuru itu.

Seramai 33,942 calon layak bertanding di peringkat pusat dan bahagian serta ketiga-tiga sayap parti.
Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung pada 12 Oktober manakala pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.
Dijangka lebih 146,500 perwakilan akar umbi mengambil bahagian mengundi pada pemilihan kali ini berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...