02 Mei 2012

BERSIH 3.0: Keganasan Polis "Sangat-Sangat Buruk"!! Najib Kata " UJIAN TRANSFORMASI POLITIK"

BERSIH 3.0: Keganasan Polis "Sangat-Sangat Buruk"!!

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata tindakan pihak polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0 diperhatikan "lebih ganas" berbanding ketika menangani perhimpunan sebelum ini.

Perkara itu merupakan antara yang dimuatkan dalam laporan awal badan itu, berdasarkan pemerhatian ke atas perjalanan perhimpunan tersebut.

Laporan awal itu disusun daripada laporan oleh seramai 78 orang sukarelawannya yang membuat pemerhatian di enam lokasi semasa perhimpunan tersebut.

"Pemerhati kami menyaksikan lebih banyak keganasan polis (tahun ini), lebih banyak penggunaan meriam air dan gas pemedih mata sesuka hati, dan lebih banyak kepungan terhadap peserta himpunan," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau mempertikaikan tindakan polis yang menembak gas pemedih mata terus ke arah peserta himpunan dan tidak memberikan ruang kepada kumpulan itu untuk bersurai.

"Kami memerhatikan beberapa amalan kepolisan yang sangat buruk kali ini. Mereka tidak seharusnya menembak terus gas pemedih mata ke arah peserta apabila peserta berhimpit-himpit dan berasak sesama mereka.

"Kita bernasib baik tiada sesiapa dipijak. Polis seharusnya memberikan ruang untuk orang ramai bersurai dan beredar," katanya.

Serang selepas tangkap

Turut bercakap dalam sidang media di bangunan Majlis Peguam itu ialah timbalan presiden badan

tersebut, Christopher Leong yang kesal dengan serangan polis terhadap peserta perhimpunan dan petugas media.

"Apa perlunya menyerang peserta yang sudah ditangkap? Apa perlunya media dihalang daripada membuat kerja mereka?" katanya.

Menurutnya lagi, polis sewajarnya mempertimbangkan keputusan untuk membiarkan peserta memasuki kawasan Dataran Merdeka apabila hadangan dirobohkan.

Katanya, polis mempunyai pilihan untuk berbuat demikian, berbanding tindakan menyerang peserta perhimpunan dengan gas pemedih mata dan meriam air.

"Apakah akibatnya apabila khalayak memecahkan halangan pada hari itu? Apakah akibat paling buruk apabila khalayak merempuh halangan polis pada hari itu?

"Akibatnya cuma 100,000 orang duduk di Dataran Merdeka dan berkumpul di sana selama sejam lagi. Mereka bukannya mahu merosakkan kemudahan awam atau bangunan ketenteraan yang sensitif.

"Jadi di manakah keseimbangannya di antara keselamatan nasional dan hak asasi manusia?" kata Christopher.

Perhimpunan disertai sehingga 100,000 peserta menuntut pilihan raya bebas dan adil di ibu kota 28 April lalu berakhir dengan aman pada jam 2.30 petang apabila penganjur mengarahkan peserta bersurai.

Najib akui perhimpunan Bersih 3.0 ujian transformasi politik kerajaan



Menurut beliau, tindakan yang diambil pihak polis menyuraikan perhimpunan itu juga adalah penterjemahan daripada undang-undang baru yang diperkenalkan kerajaan.

“Ini kali pertama kerajaan berdepan situasi tersebut setelah kita buat transformasi politik.
“Inilah kali pertama undang-undang baru itu diuji oleh perhimpunan besar-besaran,” katanya merujuk kepada Akta Perhimpunan Aman yang telah pun dipersetujui pada Isnin lalu.

Mengulas berkenaan tindakan yang akan diambil kerajaan berhubung keganasan peserta demonstrasi, Najib menjelaskan, kerajaan akan bertindak dalam konteks semasa yang mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kita mesti bertindak dalam konteks semasa, kita perlu bertindak menjaga hak asasi rakyat, tetapi dengan mengambil kira keselamatan rakyat.

“Kita berharap semua yang berlaku itu sudah dirakamkan, dan siasatan sedang berjalan, kita tunggu siasatan pihak polis,” katanya menggesa semua pihak bersabar bagi menantikan pendedahan tersebut.

Pihaknya juga berharap pihak polis tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan siasatan agar orang ramai dapat membuat penilaian berdasarkan kejadian sebenar.

“Saya harap polis tidak ambil masa terlalu lama buat siasatan, dan kemudian kertas siasatan itu akan diserah kepada Peguam Negara,” katanya.

Berhubung insiden serangan ke atas media, Najib menjelaskan, polis akan menjalankan siasatan terhadap perkara itu tanpa menyembunyikan fakta sebenar.“Polis akan lakukan siasatan keganasan terhadap media, kerajaan tidak akan menutup apa-apa.

“Kerajaan faham media hanya menjalankan tugas mereka. Kerajaan juga telah menugaskan 130 pegawai perubatan dan 30 doktor untuk memberi rawatan dan pemeriksaan untuk mereka yang terlibat dengan perhimpunan tersebut,” katanya lagi.

Najib menegaskan, siasatan yang dibuat perlu bersifat objektif dan adil, dan Peguam Negara perlu membuat keputusan berdasarkan fakta, bukan emosi dan rumor.

“Siasatan akan dibuat oleh pihak polis. Orang ramai perlu percaya kepada polis. Kita nak rakyat melihat pada transperensi, rakyat boleh nilai apa yang berlaku sendiri,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...