Mengapa perlu demonstrasi di Dataran Merdeka
ULASAN BERSIH 2.0 mensasarkan 500,000 rakyat berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini.
Duduk dan bantah atau "sit in protest" yang dianjurkan oleh gabungan 84 NGO tersebut menuntut agar kerajaan Malaysia menerima lapan tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.
Setakat ini hanya satu sahaja tuntutan BERSIH yang diterima iaitu penggunaan dakwat kekal. Itu pun banyak helahnya.
Masih ramai yang tidak percaya dakwat kekal akan digunakan berikutan penipuan kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya umum ke 12 apabila penggunaan dakwat kekal dibatalkan empat hari sebelum mengundi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kali ini digunakan untuk menghalang perhimpunan rakyat pada 28 April ini. Penganjur didesak untuk memindahkan lokasi perhimpunan ke dalam stadium.
Dalam ucapan pengerusi bersama BERSIH, Datuk A Samad Said di Selayang baru-baru ini, dengan tegas menyatakan bahawa organisasi tersebut akan tetap duduk dan bantah di Dataran Merdeka.
Dataran Merdeka simbol kemerdekaan negara. Perhimpunan menuntut pilihan raya BERSIH, bebas dan adil di Dataran Merdeka umpama menuntut kembali kemerdekaan, kali ini bukan dari penjajah tetapi dari sebuah kerajaan yang berusia lebih 54 tahun.
Dunia tahu Dataran 'dikuningkan'
Setiap kali menjelang demonstrasi rakyat, seringkali kerajaan meminta agar penganjur memindahkan program ke stadium.
Mengapa?
Kerana apabila perhimpunan berpindah ke stadium, ia tidak lagi menjadi demonstrasi, ia sudah menjadi seperti ceramah umum.
Kerajaan takut. Jika penganjur berjaya membawa 500,000 rakyat ke Dataran Merdeka, imej yang akan bermain dalam media asing akan kelihatan seperti apa yang berlaku di Dataran Tahrir, Mesir.
Jika itu berlaku, seluruh dunia akan tahu bahawa Dataran Merdeka 'dikuningkan' oleh kerana rakyat Malaysia mahukan reformasi sistem pilihan raya.
Pelabur asing akan mula berhati-hati. Ini kerana, sesebuah pilihan raya jika tidak dipercayai oleh majoriti besar rakyat, ertinya politik sesuatu negara tersebut tidak akan stabil.
Jika dibiarkan, sesebuah kerajaan yang dipilih tidak mempunyai legitimasi politik. Ini boleh mengundang kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan sesuatu kerajaan melalui pilihan jalan raya.
Amerika akan persoal
Duduk dan bantah ataupun "sit in protest" kaedah demonstrasi yang paling mudah akan tetapi memberikan impak yang besar.
Jika 500,000 rakyat duduk dan bantah di Dataran Merdeka, ia memberikan isyarat jelas kepada kerajaan agar tunaikan kesemua tuntutan BERSIH.
Kesanggupan 500,000 rakyat untuk bersama-sama ke Dataran Merdeka akan turut memberi tekanan kepada rakan-rakan Malaysia di peringkat antarabangsa.
ASEAN walaupun mempunyai dasar "tidak campurtangan" urusan dalaman negara anggota sudah pasti akan mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia masih mahu berdegil sedangkan Burma sudah mula membuka ruang demokrasi?
Amerika Syarikat yang menjadi "payung besar" kepada Malaysia sudah pasti akan mempersoalkan kepada Najib Razak mengapa tidak mahu pilihan raya bebas dan adil.
Pilihan raya bebas dan adil ini antara kempen "sheriff" dunia tersebut.
Dataran Merdeka simbol kebebasan
Dataran Merdeka simbol kepada kebebasan dan demokrasi. Ia milik kepada seluruh rakyat Malaysia. Ia bukan milik DBKL. DBKL hanya bertugas untuk menguruskan tempat tersebut.
Apatah lagi pimpinan DBKL tidak dipilih oleh penduduk Kuala Lumpur. Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak dipilih melalui proses demokrasi tetapi dilantik oleh kerajaan.
Sebab itu apabila beliau bersuara, rakyat tidak mahu dengar. Dataran Merdeka tetap menjadi destinasi utama perhimpunan tersebut.
Melihat kepada pengalaman perhimpunan BERSIH 1 dan 2 lalu, jika Dataran Merdeka ditutup, Kuala Lumpur akan lumpuh.
Jika di Dataran Merdeka sekurang-kurangnya masih mampu dikawal. Bayangkanlah jika 500,000 rakyat berselerak di merata Kuala Lumpur.
Bukankah ia bakal menyebabkan perhimpunan di lebih banyak lokasi?
Jika Kuala Lumpur lumpuh tidak boleh bergerak, ia memberikan isyarat yang tidak baik kepada negara.
Serahkan kembali Dataran Merdeka kepada rakyat sebelum rakyat bangkit merampas.
AMIN ISKANDAR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan