15 Mac 2012
Kontraktor Melayu Malaysia PP sokong 4 projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kenyataan Akhbar oleh Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang, Dato Izham bin Dato Omar Merican pada 15.3.2012 di Komtar, George Town.
Saya bagi pihak Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan sokongan kami ke atas hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina empat projek infrastruktur yang dicadangkan.
Projek-projek infrastruktur berkenaan adalah:
1. Terowong bawah laut 6.5km dari Gurney Drive ke Bagan Ajam (berdekatan dengan Butterworth.
2. Jalan 15km yang akan menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang.
3. Jalan pintas 5km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
4. Jalan pintas 5km dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu
Kami sangat mengalu-alukan projek-projek tersebut kerana ia bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang serta akan memacu pembangunan ekonomi negeri, terutamanya di SPU. Projek-projek yang dicadangkan ini akan membawa faedah kepada semua rakyat SPU termasuk masyarakat Melayu yang merupakan majoriti di SPU.
Justeru, terowong bawah laut yang menghubungkan Bagan Ajam dengan Gurney Drive akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang kritikal. Terowong tersebut akan melengkapkan kesalinghubungan di antara Seberang Perai dan Pulau Pinang, kerana Jambatan Pertama berada di SPT manakala Jambatan Kedua akan berada di SPS.
Hanya SPU masih tidak mempunyai hubungan dengan pulau. Terowong bawah laut ini akan sekaligus memastikan bahawa orang Melayu di SPU akan dapat menikmati pembangunan yang setara dengan kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang. Tambahan pula, kami yakin bahawa projek-projek ini, khususnya terowong bawah laut, tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang mudarat kepada penghuni-penghuni kawasan-kawasan yang terbabit.
Malah, kami rasa ia akan membawa kemajuan kepada mereka. Kami juga bersetuju dan yakin dengan janji Kerajaan Negeri bahawa semua prosedur dan peraturan yang berkenaan akan dituruti, seperti proses rundingan umum untuk rekabentuk, pemilihan laluan dan juga kajian kesan alam sekitar. Semua proses-proses ini hendaklah dipersetujui terdahulu sebelum kelangsungan projek-projek tersebut.
Sekiranya terdapat masalah yang tampil semasa proses-proses tersebut, dan jika projek-projek tersebut didapati kurang sesuai, maka ia tidak akan dilaksanakan. Sungguhpun begitu, kami yakin bahawa semua syarat-syarat dan keperluan yang ditetapkan akan dipatuhi dan diluluskan. Justeru, saya ingin menyatakan sekali lagi sokongan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Pulau Pinang ke atas projek-projek infrastruktur yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dato Izham bin Dato Omar Merican Timbalan Yang Dipertua PKMMPP 15 Mac 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan