18 Februari 2012

ATLET DISUNTIK DADAH, LAPUR KE POLIS TUNTUT KEADILAN

Yunus tuntut keadilan
JADI TUMPUAN...Yunus dikerumuni wartawan selepas membuat laporan di Balai Polis Seri Petaling, semalam.

“SAYA mahu menuntut keadilan,” tegas atlet 4x400m negara Muhammad Yunus Lasaleh yang berasa dirinya teraniaya dan tampil membuat laporan polis selepas disahkan positif doping sampel B.

Keputusan Sampel B diterima pada 14 Februari lalu daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Indonesia (Inasoc) yang mengesahkan atlet kelahiran Tawau, Sabah itu positif doping di temasya Sukan Sea, Indonesia, November lalu.

Yunus tiba di Balai Polis Brickfields di Seri Petaling, pada jam 3.30 petang semalam untuk membuat laporan bagi memperjelaskan dan mempertahankan dirinya selain mendedahkan punca di sebalik semua kejadian yang menyebabkan dia didapati positif dadah metandienone metabolitem. Dia turut diiringi jurulatih, K Jayabalan, Hamberi Mahat dan 10 atlet. “Saya rasa dianiaya. Laporan ini semata-mata untuk membersihkan nama saya dan memperjelaskan perkara sebenar yang berlaku kerana saya sangat kecewa.

“Saya mahu semua orang tahu apa yang terjadi bukan disengajakan. Saya mahu menuntut keadilan dan berharap laporan ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak yang terbabit agar lebih berhati-hati dan polis juga dapat mengambil tindakan terhadap orang yang menjadi punca semua kejadian ini,” katanya.

Memperjelaskan isi kandungan, Yunus berkata, laporan polis itu menceritakan perkara yang berlaku di Miri dan Brunei apabila dia menerima pil dan suntikan berlainan warna iaitu merah dan putih.

“Semuanya bermula pada 23 September lalu apabila seramai 14 atlet olahraga negara bertolak ke Miri, Sarawak untuk menjalani latihan pusat sebagai latihan fasa terakhir menghadapi Sukan Sea bersama jurulatih dari Bulgaria, Vasco Nedyalkov.

“Pada 15 Oktober, kami beralih ke Brunei dengan kekerapan suntikan berubah apabila saya menerima suntikan setiap pagi di lengan kiri. “Suntikan itu diterima daripada seorang doktor Bulgaria yang dibawa Datuk Karim Ibrahim (Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia) yang tidak mahu menerangkan secara lebih jelas apa sebenarnya suntikan itu,” katanya.

Pingat emas dimenangi Yunus dan kuartet 4x400m itu ‘bagaikan telur di hujung tanduk’ dan hanya menunggu masa untuk ditarik balik selain bakal dikenakan hukuman penggantungan sekurang-kurangnya dua tahun mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (Wada).

Bagaimanapun, hukuman itu boleh dikurangkan andai jawatankuasa siasatan yang menyiasat punca kejadian mendapati atlet itu tidak bersalah.

Yunus yang tenang selepas membuat laporan polis berkata, dia kini hanya menunggu keputusan hukuman dikenakan kepadanya dan andai hukuman itu dalam tempoh yang panjang, mungkin dia terpaksa melupakan olahraga dan memilih untuk menyambung pelajaran.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...