13 Januari 2012

NFC: EGM AMBILALIH NLFC MENGCURIGAKAN

Rafizi: Najib perlu henti sebarang keputusan babitkan NFC


PETALING JAYA, 12 Jan — Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan, terdapatnya cubaan untuk mengambil alih syarikat National Meat and Livestock Corporation (NLFC) oleh Pusat Fidlot Nasional (NFC) dalam satu Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) dengan mengeluarkan notis singkat untuk membuat keputusan.

Rafizi (gambar) ketika sidang media di Pejabat PKR di sini menganggap tindakan tersebut adalah tidak baik dan mencurigakan.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, pengurusan NFC telah memanggil EGM bagi membincangkan pengambilalihan NMLC yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil oleh NFC, mereka diberi notis tiga hari untuk membuat keputusan.

“Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh singkat ini berniat tidak baik dan mengganggu siasatan yang sedang berjalan sekarang ini,” katanya.

NFC merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas saham yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Menurut Rafizi, pihaknya percaya terdapat rancangan mencurigakan daripada perkara tersebut, dan mendesak Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan untuk membekukan aktiviti dan urusan mana-mana syarikat yang berkaitan dengan NFC.

“PKR mendesak Datuk Seri Najib membekukan semua aktiviti mana-mana syarikat yang pernah menggunakan dana NFC yang diberikan kerajaan.

“Kecuaian beliau boleh menyebabkan baki daripada dana RM250 juta itu lesap melalui pelbagai urusniaga sekiranya perdana menteri masih lagi berdiam diri dalam isu ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, PKR mendesak perdana menteri melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambil alih NFC sementara menunggu siasatan selesai.“Tindakan ini bertepatan dengan tatakelola yang baik, yang kebiasannya digunakan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku,” tambahnya.

Dipercayai arahan Shahrizat bercuti 3 minggu ada hubung kait kes ini:

Shahrizat bercuti bolehkan Putrajaya redakan kemelut NFC


KUALA LUMPUR, 13 Jan — Keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti tiga minggu daripada tugas menteri bermula hari ini dilihat sebagai rancangan meredakan keadaan oleh Putrajaya buat Ketua Wanita Umno dan partinya ekoran penyelewengan dana kerajaan melalui syarikat penternakan yang dibiayai kerajaan, demikian menurut kenyataan satu sumber dalaman.

The Malaysian Insider difahamkan pentadbiran Najib merasakan itu adalah langkah terbaik dalam situasi sekarang walaupun sesetengah pihak beranggapan cutinya itu atas dasar rasa bersalah terhadap skandal projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Turut berkemungkinan tindakan akan diambil terhadap suami dan anak-anaknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis selesai menjalankan siasatan terhadap projek bernilai RM250 juta yang memperolehi pinjaman mudah pada 2008.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan terdapat kecelaruan di dalam projek tersebut.

“Keputusan Shahrizat (gambar) untuk bercuti adalah perkara terbaik untuk Umno dan memberikan nafas lega kepada pentadbiran Najib,” menurut sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, pegawai kanan kerajaan telah berbincang berkaitan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mencadangkan kepada Shahrizat untuk mengambil cuti pendek.

“Shahrizat pada mulanya enggan, tetapi kemudiannya bersetuju untuk mengambil cuti,” tambahnya.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ini dalam kenyataannya semalam berkata dia telah meminta Najib untuk membenarkannya bercuti selama tiga minggu bermula hari ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah memohon bercuti rehat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selama tiga minggu bermula 13 Januari 2012 daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...