Tiada sebarang permohonan kebenaran merancang projek perumahan di Felda Gedangsa di Hulu Selangor dari Kerajaan Persekutuan atau Felda, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan untuk bangunkan projek perumahan kepada generasi kedua di Felda tersebut seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jika ada pun permohonan yang diterima, ia hanya melibatkan permohonan dari Felda untuk melupuskan pemilikan tanah seluas 14.65 hektar di Felda Soeharto bagi tujuan kediaman.
“Kerajaan negeri bagaimanapun mendapati tanah itu masih terletak di bawah Seksyen 44 Akta Penempatan Berkelompok 1960 yang bermaksud tanah itu masih di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan. Adalah salah untuk perdana menteri mendakwa Kerajaan Negeri enggan membantu,” kata Khalid dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan perdana menteri yang menyalahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu kerana didakwa enggan meluluskan projek-projek perumahan di kawasan Felda di Hulu Selangor.
Khalid juga berkata, semakan dengan Jabatan Tanah dan Galian Negeri Selangor juga mendapati terdapat satu cadangan pada awal tahun 1990-an itu dari Felda untuk projek pembangunan di Felda Gedangsa.
Bagaimanapun, tambahnya, ia ditolak oleh kerajaan negeri BN ketika itu kerana kegagalan projek pembangunan semula di Felda Sungai Buaya.
Menteri besar kecewa kerana perdana menteri menyalahkan pihak lain ekoran kegagalan Umno-BN menunaikan janji-janji yang dibuat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kebaikan rakyat. Kami telah buktikan dengan Projek The Greater Klang Valley dan projek River of Life. Tiada alasan untuk kerajaan negeri mendiskriminasikan peneroka Felda.
“Malah, lebih 2,000 ekar tanah milik kerajaan negeri di Hulu Bernam telah dibangunkan oleh Felda tanpa pengetahuan kerajaan negeri dan kerajaan negeri tidak menerima bayaran satu sen pun,” katanya.
Oleh itu, tegas Khalid, perdana menteri perlu mengkaji fakta sebelum membuat tuduhan tidak berasas kerana kerajaan negeri melakukan reformasi pengurusan dan pentadbiran tanah secara berterusan bagi mengalakkan rakyat Selangor memiliki kediaman sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan