19 Disember 2011

SMM Ugut Revolusi Jika Pelajar Turunkan Bendera Najib Dikenakan Tindakan



KUALA LUMPUR, 19 DIS : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mempertahankan tindakannya menurunkan bendera dengan gambar Perdana Menteri di ibu pejabat Umno Sabtu lalu dan memberi amaran sebarang usaha untuk bertindak ke atas mahasiswa yang menurunkan bendera itu boleh mengundang "revolusi" pelajar terhdap kerajaan.

Adam Adli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dijadualkan membuat laporan polis petang ini mengenai ugutan yang diterimanya berhubung insiden penurunan bendera itu dalam cubaan untuk mendesak Najib supaya memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Presiden SMM Ahmad Syukri Abdul Razak berkata Adam Adli tidak berseorangan dalam perbuatan beliau itu dan mendesak agar UPSI dan kerajan tidak mengambil tindakan terhadap beliau.

"Jika berlaku sesuatu tindakan yang tidak patut terhadap saudara Adli, kita mungkin akan lihat satu mini revolusi terhadap Universiti dan kerajaan Malaysia," kata beliau.

Beliau mempertahankan tindakan menurunkan bendera itu sebagai cetusan mahasiswa yang hilang keyakinan terhadap Najib.

"Apa yang berlaku itu secara ringkasnya, ialah gambaran atau simbolik hilang percaya anak muda dan mahasiswa terhadap tampuk pemerintahan negara sekarang, khususnya kepada PM di atas sikap retorika beliau," kata Ahmad Syukri dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Sabtu lalu, lebih 300 mahasiswa berarak dari Masjid Jamek Kuala Lumpur ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Jalan Raja Laut dan Ibu Pejabat UMNO di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menyerahkan memorandum membantah AUKU.

Di PWTC mereka menurunkan bendera Najib dan mengantikannya dengan bendera Mahasiswa selama kira-kira lima minit sebelum menaikkan kembali bendera presiden UMNO tersebut.

Mantan Pengerusi SAMM Shaznil Munir mahu Kerajaan mengambil kira draf undang-undang 'Magna Carta untuk Hak Mahasiswa 2008' yang didraf oleh gabungan mahasiswa sebelum itu yang seolah diabaikan oleh kerajaan walaupun telah disampaikan kepada Menteri Pengajian Tinggi dua tahun sebelum ini.

"Magna Carta datang dari Mahasiswa yang bersusah payah buat kajian dari fakulti undang-undang draf dan dapatkan pandangan dari pakar - pakar Perundangan negara. Kami lakukan dengan penuh intelektual dan iltizam dan untuk merubah keadaan mahasiswa dan kami harap ia dapat perhatian sepatutnya. Ini bukan sembang-sembang kedai kopi, ini draf datang dari mahasiswa," kata beliau.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini menyelar tindakan SAMM menurunkan bendera yang memaparkan gambar Perdana Menteri.

Saifuddin berkata tindakan ahli SAMM berkenaan “bukan demokrasi” namun ia tidak akan menjejaskan usaha kerajaan untuk membawa pembaharuan yang diinginkan di kampus universiti.

“Insiden bendera di PWTC bukan demokrasi. Ia tak ganggu, malah kuatkan komitmen kerajaan meminda AUKU untuk benarkan mahasiswa berpolitik dengan sihat,” kata beliau dalam Twitternya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memansuhkan Seksyen 15 AUKU bagi membolehkan mahasiswa menyertai parti politik. -antarapos.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...