Akta Kerja: Gabungan dakwa MTUC dingin, beri kata dua tindak atau undur
KUALA LUMPUR, 11 Dis ― Sebuah anggota gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa badan induk pekerja itu kelihatan seolah-olah tidak proaktif dalam isu pindaan Akta Kerja 1955 sementara Dewan Negara dijadual membahaskannya minggu ini.
MTUC memprotes peruntukan sistem kontraktor bagi tenaga kerja yang dibawa menerusi pindaan ke atas akta itu.
Sehubungan itu, kepimpinan Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad hari ini memberi kata dua agar membincangkan pendirian terkini MTUC dengan memanggil mesyuarat majlis am tergempar dan jika tidak, mahu kesemua pemimpin kongres itu meletakkan jawatan.
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya terkilan apabila pertubuhan bukan kerajaan sudah mula mendahului MTUC dengan sanggup mengadakan demonstrasi di pekarangan bangunan Parlimen pada 15 Disember ini.
Rang Undang-undang Kerja 2011 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu dijadual akan dibahaskan di Dewan Negara pada 15 Disember ini.
Ia pernah mengadakan piket di pekarangan Parlimen pada 3 Oktober lalu dan piket peringkat kebangsaan pada 3 November dan seterusnya perhimpunan melibatkan kesatuan gabungan Selangor-Wilayah Persekutuan 2 Disember lalu.
“Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad terpanggil untuk menyampaikan rasa terkilan dengan tindakan MTUC yang bergerak terlalu perlahan mengenai pindaan Akta Kerja,” kata Razak kepada The Malaysian Insider hari ini.
Malah, menurut Razak, pihaknya juga rasa hairan kerajan pertubuhan bukan kerajaan Jerit seolah-olah mengambil peranan MTUC dengan mengadakan demostrasi di kawasan Parlimen Khamis ini.
“Sedangkan MTUC adalah badan induk gabungan kesatuan sekerja yang mewakili kaum pekerja tidak memainkan peranan sehingga Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad sebagai ahli gabungan tidak mendapat sebarang perkembangan,” kata beliau.
Sehubungan itu kata beliau, kesatuannya mahu kepimpinan MTUC mengadakan mesyuarat majlis am tergempar seberapa segera sebelum 14 Disember agar kesemua gabungan diberi penjelasan seterusnya membincangkan tindakan selanjutnya.
“Majlis am juga perlu mendapat penjelasan dari mereka yang bertanggungjawab telah bersetuju tentang pindaan berkenaan supaya tindakan boleh diambil sekira mereka didapati bersalah.
“Kegagalan kepimpinan MTUC mengadakan mesyuarat majlis am MTUC tergempar, Kesatuan Pekerja-pekerja KTM akan mencadangkan kepimpinan MTUC meletakkan jawatan,” kata beliau-tmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan