25 November 2011

PENGANALISIS: PKR ANGGOTA PAKATAN PALING LEMAH?

Penganalisis: PKR anggota Pakatan paling lemah


PKR akan mengadakan kongres kebangsaan kelapannya di Johor hujung minggu ini.

Walaupun lebih 2,000 anggota perwakilan dan pemerhati dijangka menghadiri kongres itu, namun ramai berpendapat parti berkenaan merupakan anggota paling lemah dalam pakatan PKR-DAP-PAS berikutan pelbagai masalah yang dihadapinya.

Ini termasuk tindakan melompat parti dan peletakan jawatan oleh beberapa wakil rakyatnya serta kecelaruan yang berlaku dalam pemilihan parti itu tahun lepas.

Beberapa penganalisis politik berpendapat PKR perlu berusaha lebih serius untuk memulihkan imejnya yang tercalar teruk selama ini akibat pelbagai masalah yang menimpanya.

"Halangan paling besar ialah wujudnya isu kepimpinan dan persepsi bahawa mereka terlalu memberi tumpuan terhadap isu melibatkan orang Melayu, walaupun parti itu dikatakan bersifat pelbagai etnik," kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau berkata PKR masih dibelenggu pelbagai isu termasuk masalah kepimpinan di Selangor, perebutan kuasa antara timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, masalah kepimpinan yang belum selesai di Sabah dan peranan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Penggerak utamanya pada pilihan raya umum 2008 kelihatan sudah lemah semangat. Setelah 43 bulan berlalunya pilihan raya umum lepas, tanggapan terhadap PKR telah berubah, daripada sebuah parti yang baik, kepada sebuah parti yang teruk. Persepsi terhadap parti itu berbeza sama sekali antara dulu dan sekarang," katanya.

Oleh yang demikian, beliau percaya kepimpinan tertinggi PKR akan menggunakan kongres kali ini untuk menunjukkan kepada umum bahawa parti itu dan para pemimpinnya bersatu hati dalam mengatur persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tetapi, kata ahli akademik itu, biar apa pun langkah yang diambil, PKR tidak akan dapat mengelak daripada dilihat sebagai sebuah parti yang kurang disenangi dalam pakatan pembangkang apabila ia mahu diberi lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang dalam rundingannya dengan mereka.

"Isu lebih penting ialah apakah yang akan berlaku kepada PKR selepas ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Sekiranya Anwar disabitkan kesalahan dalam tuduhan (di mahkamah) yang sedang dihadapinya, siapakah yang akan mengambil alih kepimpinan parti itu? Jika parti ini tidak mempunyai pelan kepimpinannya, maka ia akan terus dilihat sebagai sebuah parti yang lemah," kata beliau.

Sebenarnya, tanggapan bahawa PKR adalah anggota paling lemah dalam pakatan pembangkang bukanlah sesuatu yang baru kerana pemimpin parti itu sendiri mengakuinya.

Pada kongres PKR di Pusat Sivik Petaling Jaya tahun lepas, timbalan presidennya ketika itu Senator Dr Syed Husin Ali mengingatkan anggotanya bahawa parti itu merupakan anggota paling lemah dalam pakatan itu kerana ia adalah parti paling muda berbanding DAP and PAS.

Katanya lagi, parti itu dibelenggu tiga hakikat– PKR merupakan parti yang dianggotai bekas anggota parti lain, yang membawa bersama ideologi mereka ke dalam parti itu dan sekaligus mencetuskan pergeseran dalam kalangan anggotanya; PKR, yang mengaku sebagai parti pelbagai kaum, mempunyai masalah dengan anggotanya yang bersikap perkauman; dan anggotanya yang lebih kaya, memperoleh lebih banyak kuasa, walaupun jumlah mereka lebih kecil daripada kumpulan kelas menengah dan golongan berpendapatan rendah.

Malah, Syed Husin juga membelasah anggota parlimen dan Dewan Undangan Negeri PKR yang tidak mempamerkan prestasi cemerlang dalam menunaikan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

Penganalisis politik dari UCSI University Ong Kian Ming pula berkata PKR tidak mampu menangkis persepsi bahawa ia adalah parti paling lemah dalam pakatan pembangkang itu walaupun tiada lagi anggotanya yang melompat parti.

"Imej bahawa parti itu terlalu bergantung pada Anwar masih wujud. Walaupun selepas pemilihan parti, beberapa pemimpinnya, termasuk Rafizi Ramli (Pengarah Strategi PKR), bergerak sendiri dan memberi fokus terhadap beberapa isu nasional, namun ia masih tidak memadai.

"Parti itu juga masih kekurangan calon yang berwibawa untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang. Kemunculan parti KITA memberi cabaran secara langsung terhadap PKR. Sekiranya KITA bertanding pada pilihan raya umum akan datang dan mengalami kekalahan teruk sekalipun, persepsi bahawa PKR adalah parti paling lemah dalam pakatan itu, tetap tidak berubah," katanya.

Penganalisis politik dari Sunway Monash University James Chin juga berpendapat PKR merupakan parti paling lemah dalam pakatan pembangkang berdasarkan hakikat bahawa organisasinya di peringkat akar umbi tidak sekuat DAP dan PAS.

"PKR hanya kuat di beberapa kawasan bandar. Mereka masih menghadapi masalah untuk memperkukuhkan diri. Orang hanya mengundi mereka kerana mereka menjadi sebahagian daripada pakatan pembangkang," katanya.

Beliau berkata perkara yang terus menjadi masalah paling besar bagi PKR ialah ketidaktentuan yang wujud dalam parti itu sekiranya pemimpin umumnya, Anwar, dijatuhi hukuman penjara.

"Bagaimana mereka hendak memilih pemimpin baru? Siapakah yang mampu menyatupadukan PR?

"Di samping itu, masalah akan terus wujud pada pilihan raya umum akan datang apabila mereka berunding tentang pembahagian kerusi dengan PAS dan DAP kerana besar kemungkinan, PKR akan bertanding di kerusi yang mempunyai pengundi bercampur, yang sesetengahnya akan turut ditandingi DAP dan PAS" katanya.

Di sebalik semua itu, para pemimpin PKR terus cuba memberi jaminan kepada penyokongnya dan pengundi bahawa mereka mempunyai pelan peralihan pucuk kepimpinan, walaupun ramai yang tidak mempercayainya.-malaysiakini

KOMEN: Faktor luaran yang lompatan adun & mp ke bebas, faktor pemilihan 2010 yang agak tidak nampak telus,Kemasukan ahli atas kehebatan Nama tidak kerana prinsip , juga budaya KRONI menular dalam parti menjadi punca utama PKR agak lemah dan lembab. Tetapi perlu ada langkah berani dalam organisasi untuk menarik orang diluar dan dalam yang mampu membuat KERJA.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...