LDP MULA TUNJUK BELANG SEBENAR
Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN
PARTI Liberal Demokratik (LDP) kini mula menunjukkan belang sebenar mereka dengan memboikot Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Sabah dan Kabinet Negeri yang diadakan di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada 31 Ogos 2011.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Yakub Khan yang menghubungi Sabahkini.net kesal kerana kesemua Adun, Ahli Parlimen dan pemimpin LDP memboikot Majlis berkenaan; sekaligus menyalakan api permusuhan dengan Ketua Menteri dan Menteri Kabinet yang beragama Islam.
“Tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh hadir walau sesaat kerana mereka sanggup pergi jauh ke Semporna semata-mata untuk menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” kata Yakub yang menyifatkan tindakan pemimpin LDP ini seperti sudah terang lagi bersuluh.
Kata Yakub, malah mereka bersama Shafie memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Adun Pantai Manis, Datuk Rahim Ismail; satu-satunya Adun sekutu Shafie Apdal di Sabah; semata-mata untuk menunjukkan bahawa mereka yakin kemimpinan Shafie yang mereka dakwa sebagai ‘Ketua Menteri Dalam Penantian!’
Senario ini kata Yakub menunjukkan pemimpin LDP tidak lagi peka dengan sensitiviti parti komponen BN atau tidak menghormati Semangat Barisan Nasional; kerana semua parti Komponen BN memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri dan Kabinet Negeri Sabah.
“V.K.Liew semakin lupa daratan dan mula mencari dahan rapuh untuk tempat bergantung bagi memanjangkan tali hayat politiknya yang mula membahang kerana bersengketa dengan Umno,” kata Yakub yang tidak menolak kemungkinan LDP akan hilang kesemua kerusi yang mereka tandingi jika terus bersengketa dengan pucuk pimpinan BN Sabah.
Kata Yakub, beliau tidak menolak kemungkinan LDP akan mengikuti jejak langkah Parti Maju Sabah (SAPP) yang keluar dari Gagasan BN kerana tidak percaya kepada Perdana Menteri (Pak Lah); sebagaimana V.K.Liew dan pemimpin LDP yang hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sabah.
“SAPP lebih bermaruah; LDP memperolehi apa yang mereka tidak patut dapat, tetapi melupakan jasa BN Sabah yang memberi sokongan padu kepada mereka, semata-mata kerana mereka mewarisi dendam kesumat Mantan Presiden LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat yang menjadikan Mazu sebagai senjata untuk membalas dendam,” kata Yakub yang meminta LDP segera kembali ke pangkal jalan sebelum disingkirkan atau tersingkir daripada BN.-SK
BERITA BERKAITAN DARI malaysiakini:
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak hairan kenapa pemimpin-pemimpin kanan Parti Liberal Demokratik (LDP) tidak menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan kabinet negeri di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu baru-baru ini.
Katanya lebih menghairankan apabila pemimpin kanan parti itu dapat pula menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negeri dan rumah terbuka Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang jauh di Semporna, kemudian bersama-sama ke Papar menghadiri rumah terbuka Adun Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail.
"Adakah mereka ini terlalu sibuk dengan komitmen lain atau sengaja boikot acara Ketua Menteri dan kerajaan negeri. Kalaulah sengaja boikot, ia sesuatu yang amat mendukacitakan kerana tidak memberi penghormatan kepada Ketua Menteri dan Kabinet Negeri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan