KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang mengecam sambil mendakwa MCA memainkan sentimen perkauman dengan melabel Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai anti-Cina hanya kerana kebanyakan projek di bawah sistem tender terbuka diberi kepada kontraktor Bumiputera.
Pemangku Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang Datuk Izham Merican berkata, “nampaknya MCA begitu jahil sekali” kerana tidak faham istilah tender terbuka yang membenarkan semua kontraktor tanpa mengira kaum dan agama bersaing untuk projek kerajaan negeri, termasuk yang melebihi nilai RM200,000 dan memilih yang paling baik dari segi harga dan kualiti.
“Dengan hanya mempertikaikan pemberian kontrak kepada Melayu, adakah MCA bersifat perkauman, dengan memandang rendah keupayaan kontraktor Melayu yang dianggap tidak setaraf atau sebaik dengan kontraktor lain?
“Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang menolak dengan sekeras-kerasnya sentimen perkauman MCA yang menghina kontraktor Melayu dengan persepsi negatif ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Mengulas kenyataan Ketua Wanita MCA Puan Tan Cheng Liang baru-baru, Izham menegaskan, MCA harus ingat bahawa dalam semua kaum ada golongan yang baik dan ada yang tidak sebegitu baik, begitu juga di kalangan masyarakat Cina sendiri.
Dalam sistem tender terbuka, katanya, pemberian kontrak di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang dilakukan secara adil dan tidak mengetepikan kaum lain.
“Saya sebagai Timbalan Yang Dipertua dan Pemangku Yang Dipertua telah berjumpa dengan Ketua Menteri supaya membantu warga kontraktor Bumiputera di Pulau Pinang dan ini disambut baik oleh Ketua Menteri.
“(Ia) menunjukkan sikap profesionalnya, beliau tidak mencampur aduk hal politik dan tidak memilih kaum untuk membantu dan selalu bercakap berdasarkan fakta dan ini amatlah disanjungi,” kata Izham lagi.
“Malah ahli-ahli persatuan saya amat menghargai pendekatan YAB Ketua Menteri yang tidak mewajibkan sebarang kontrak kerajaan mesti mendapat kebenaran ketua bahagian parti seperti yang dibuat sebelum ini.
“Saya hendak mengingatkan bahawa isu penawaran kepada kaum Bumiputera tidak harus dipolitikkan dan atau dijadikan isu perkauman,” katanya lagi.
Izham juga menambah, sebagai sebuah NGO yang mempunyai ahli daripada pelbagai parti walaupun kebanyakannya terdiri daripada ahli Umno, perjuangan pihaknya adalah menentukan warga kontraktor terbela.
Kata Izham, pada hari ini ramai kontraktor yang gulung tikar dan keadaan yang dialami dalam industri pembinaan tidak lagi seperti suatu ketika dahulu dan “kami merayu kepada kerajaan pusat supaya dapat membantu menangani masalah ini.”
“Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dan ketua menteri yang telah pun berusaha dan telah mengatasi masalah-masalah yang dikemukakan oleh pihak persatuan,” katanya lagi.
Malah kata beliau, seperkara lagi untuk makluman sekiranya kontrak ditawarkan kepada Bumiputera, harus diingat bahawa kebanyakan pembekal-pembekal adalah bukan Bumiputera dan golongan pekerja-pekerja juga kebanyakan bukan kaum Bumiputera.
“Oleh itu, bagi tiap-tiap projek yang ditawarkan oleh pihak kerajaan kepada kontraktor Bumiputera dengan cara tersendirinya memberi peluang kepada kaum-kaum lain.
“Saya sebagai Timbalan Yang Di Pertua dan Pemangku Yang Dipertua persatuan ingin menyatakan bahawa setakat hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang tidak pernah mengetepikan kaum Bumiputera dalam industri pembinaan dan sebagai pemimpin beliau bersikap terbuka walaupun dicemuh oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja tidak faham akan dasar kerajaan negeri,” katanya lagi.-tmi
1 ulasan:
Assalamualaikum....tumpang promote ye.... Tak perlu lagi cari tender dan sebutharga. Kami akan beritahu anda jika ada yang sesuai dengan anda. https://www.facebook.com/tendersebutharga
http://www.tendersebutharga.com/
Catat Ulasan