10 Ogos 2011

KERAJAAN TIDAK MESRA -MEDIA BARU Facebook dan Twitter

Monopoli media arus perdana telah dipecahkan'

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abd Ghapa Harun berkata penggerak media arus perdana juga perlu mengikis perasaan bahawa mereka masih kuasa dalam memonopoli penyebaran maklumat sedangkan pada hakikatnya monopoli itu telah lama dipecahkan.

"Jadi, yang penting bagi kerajaan kalau berhadapan dengan sesuatu isu, yang pertama mestilah ada ketelusan dalam mengeluarkan maklumat yang berkaitan dengan sesuatu isu kerana kalau maklumat yang dikeluarkan itu betul, maka ini akan menanamkan kepercayaan masyarakat kepada saluran media yang digunakan oleh pihak kerajaan.

"Untuk melawan media alternatif, peningkatan integriti di pihak media arus perdana perlu dilaksanakan sebab mereka kena terima hakikat dalam konteks media hari ini, akhbar-akhbar arus perdana seolah-olah menghadapi krisis kepercayaan atau integriti dan keadaan inilah yang menyuburkan perkembangan media alternatif," katanya kepada Bernama.

Abd Ghapa mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa pembangkang menggunakan media baru untuk menghasut rakyat mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang demi keuntungan politik mereka walaupun pada hakikatnya berita yang dipaparkan tidak benar.

Hishammuddin berkata kerajaan juga sukar menerangkan keadaan sebenar mengenai perhimpunan haram 9 Julai lepas walaupun pelbagai saluran media sedia ada digunakan berikutan meluasnya penggunaan media baru oleh pembangkang.

Abd Ghapa berkata beliau yakin penekanan tahap integriti yang tinggi di kalangan media arus perdana secara serius oleh kerajaan dengan sendirinya boleh melemahkan kepercayaan rakyat terhadap maklumat di dalam media alternatif.

Katanya jika hendak dibandingkan maklumat yang dipaparkan media alternatif di dalam dunia siber dengan media arus perdana, sebahagian besar kandungan berita media alternatif boleh dipersoalkan intergritinya.

"Jadi, media arus perdana harus ke depan dalam proses menggerakkan integriti dan kukuhkan semula kepercayaan rakyat pada media perdana. Dengan cara ini secara perlahan kepercayaan rakyat akan kembali kepada media arus perdana," katanya.

"Pihak kerajaan tidak lagi dapat menggunakan undang-undang dalam mengekang kemaraan dan pengaruh media alternatif di dunia siber, jadi satu kaedah yang boleh diberi tumpuan ialah dengan membangunkan media yang berintegriti," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Perkembangan Minda (INMIND) Norizan Sharif berkata pendekatan konvensional menjawab tohmahan atau menangani isu menerusi akhbar, televisyen dan radio tidak lagi berkesan bagi kerajaan terutama dalam menghadapi serangan Pakatan Rakyat yang lebih proaktif menerokai dunia siber, menurut dua cendekiawan tempatan hari ini.

Katanya, kerajaan harus mempertingkatkan kehadiran mereka di internet, khususnya dengan menguasai media baru seperti 'Facebook dan 'Twitter' yang kini cukup dekat di hati rakyat, khususnya generasi muda.

"Kerajaan kena respons kepada media (baru), sekarang tidak respons... kerajaan tak jawab, dalam politik boleh tuduh apa sahaja, jika tak jawab orang anggap ia benar.

"(Ketika ini) Kita tidak nampak kerajaan jawab dalam Facebook, kita tidak nampak inisiatif untuk jawab dalam blog dan Twitter. Kita boleh bandingkan berapa ramai MP (Anggota Parlimen) pembangkang ada dalam Twitter tetapi bagi pihak kerajaan, jumlahnya boleh dibilang dengan jari," katanya .

Norizan, yang turut menulis blog berkata ketiadaan kerajaan melibatkan diri dalam media sosial telah mewujudkan 'kecacatan' di pihak kerajaan hinggakan isu-isu berbangkit berkaitan perhimpunan haram sukar dijawab dan diperjelas.

Akibatnya, rakyat mudah menerima apa saja yang dimomokkan oleh pembangkang menerusi media alternatif, katanya.

"Banyak isu yang ditimbulkan tidak dijawab. Bila begitu orang akan anggap semua dakwaan itu betul. Kerajaan tak boleh berdiam diri, kalau orang 'bantai' kita di Facebook atau di Twitter, kita kena jawab melalui media itu juga, ini baru betul.

"Pendekatan menjawab melalui media apabila ditanya wartawan boleh dianggap sebagai kurang berkesan, sepatutnya kerajaan tidak perlu tunggu, jika mereka mesra media seperti Facebook dan Twitter, mereka boleh terus respons terhadap sesuatu isu dengan pantas, ini komunikasi terkini," katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan menggiatkan usaha memuat naik setiap pengumuman atau berita baik ke laman You Tube kerana kajian mendapati sebahagian daripada masa anak-anak muda dihabiskan dengan melayari internet.-mk

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...