24 Julai 2011

Pakatan Rakyat: Merangkak Dalam Lumpur

Hebat sungguh gagasan yang telah digarapkan oleh tiga buah parti politik PKR, PAS dan DAP melalui gabungannya yang dikenali sebagai Barisan Alternatif yang kemudiannya ditukar kepada PAKATAN RAKYAT. Dibentuk menjelang pilihan raya umum tahun 1999, Pakatan Rakyat menggariskan beberapa matlamat dasar antaranya memberikan komitmen pembentukan pemerintahan yang telus dan berintegriti dalam pentadbiran. Menzahirkan pemerintahan yang adil lagi berwibawa. Tahniah..!! Hebat sekali wacana minda pemikir-pemikir bangsawan pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang untuk menggarapkan wawasan tersebut.

Setelah diberi nafas baru selepas pembebasan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (sekarang Ketua Umum), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati tidak bersalah daripada tuduhan jenayah pada 2 September 2004, Pakatan Rakyat menjadi semakin gagah dan bersemangat.

Pilihan raya umum Mac 2008 menyaksikan kebangkitan mendadak Pakatan Rakyat apabila gabungan tiga parti itu telah berjaya menafikan majoriti 2/3 suara Barisan Nasional di Dewan Rakyat. Malahan Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk kerajaan negeri di Selangor, Perak (kemudiannya dicerobohi oleh UMNO), Pulau Pinang dan Kedah, manakala Kelantan terus mengekalkan pentadbiran kerajaan PAS. Pakatan Rakyat juga telah berjaya dengan cemerlangnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selesai pilihan raya umum 2008 maka ramailah pemimpin Pakatan Rakyat, Keadilan khasnya yang dulunya lantang bersuara mengkritik cara pemerintahan/pentadbiran kerajaan Barisan Nasional telah bertukar daripada menjadi Wakil Rakyat kepada 'Wakil Kerajaan'. Suara mereka tidak lagi sehebat semasa mereka belum bergelar YB. Kelibat mereka tidak lagi mudah dilihat dibandingkan semasa mereka belum duduk di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat. (Mungkin mereka benar-benar sibuk menguruskan agenda negeri dan negara.

Selang beberapa minggu selepas pembentukkan kerajaan negeri di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, Selangor khasnya, maka semakin ramai pemimpin Pakatan Rakyat peringkat pertengahan di daerah-daerah yang semakin sukar untuk ditemui. Mereka menjadi semakin "sibuk" lantaran dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Majlis-Majlis Daerah/Perbandaran/Bandaraya.

Pemimpin-pemimpin ini yang dulunya bertindak sebagai "Wakil Rakyat" yang menyampaikan suara rakyat, yang sanggup berhujan dan berpanas bersama rakyat, yang menentang dengan lantang, keras dan bersemangat isu-isu berkaitan penindasan terhadap rakyat telah bertukar wajah. Suara mereka menjadi semakin lunak tetapi meloyakan. Mereka lebih kerap berbincang tetapi tidak lagi dengan rakyat dijalanan, desa atau kampung. Mereka berdiskusi di dewan-dewan besar dengan hidangan mewah. Mereka bermesyuarat tidak lagi di restoran-restoran atau balairaya tetapi di Dewan Majlis Perbandaran, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara atau setidak-tidaknya di lobi-lobi hotel 5 Bintang. Kemeja T menjadikan badan mereka gatal dan melekit. Mereka 'terpaksa' berkemeja panjang dengan kot berjenama.

Mereka bukan ahli korporat tetapi gaya mereka menggalahkan CEO konglomerat. Mereka semakin kekok dan tidak selesa dengan Proton Wira, Dutsun 130Y apatah lagi kacil 850. Mereka telah maju dan mula berjalan laju. Justera berjalan terlalu laju, mereka terlupa memandang dan menghulur jabat kepada rakyat yang dahulunya sahabat. Mungkin mereka tergesa untuk urusan rakyat. Teruskan. Semoga urusan dapat diselesai dan masalah terurai.

Pakatan Rakyat Lalai

Sebelum Mac 2008 mereka menjelajah serata desa dan kampong bertemu Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang demi menyampaikan hasrat murni untuk membantu. Mereka berikrar dengan seribu janji. Mereka menabur seribu harapan. Mereka membisikkan sejuta impian. Semuanya sampai kerana mereka berkehendak dan bersungguh untuk menyampaikan. Maka ketahuilah sekalian rakyat di kampung, desa dan lurah. Pakatan Rakyat ingin memerintah. Pakatan Rakyat ingin memerintah dengan adil, telus lagi bijaksana. Hebat gerak kerjanya. Warga desa, kampung dan lurah gembira. Gembira diberi harapan baru. Gembira menunggu sinar Malaysia Baru. Mereka gembira bukan kerana mereka dapat. Mereka gembira bukan kerana mereka merasainya. TETAPI..!! Mereka gembira kerana mereka tahu. Mereka tahu kerana mereka diberitahu. Mereka diberitahu kerana ada pemimpin yang sampai kepada mereka untuk memberitahu.

Sekarang pemimpin-pemimpin itu telah "terlalu" sibuk. Busy. Banyak urusan. Banyak mesyuarat. Banyak majlis rasmi. Banyak temujanji. Banyak mengkaji. Banyak... Banyak.. Banyak... Sehingga mereka tiada masa lagi untuk memberitahu kepada Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang segala hasrat murni mereka untuk membantu. Maka sekalian rakyat di desa, kampung dan lurahpun tidaklah tahu. Rakyat tidak tahu apakah janji terlaksana. Rakyat tidak tahu apakah harapan akan bercahaya. Rakyat tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Lantaran tidak tahu, rakyat terpaksa mencari untuk tahu. Mereka tidak lagi mencari rakyat. Rakyat terpaksa mencari mereka. Tidak mudah. Tidak mudah untuk rakyat bertemu mereka. Mereka sibuk. Mereka berjalan laju. Mereka kerap bermesyuarat.

Justeru terlalu sukar untuk bertemu. Rakyat mencari jalan pintas. Rakyat lebih mudah bertemu kedai yang menjual Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan Straits Times. Rakyat lebih mudah dan terhibur dengan alunan lunak bicara dusta daripada TV3, RTM dan koloninya. Ya!! di situ ada khabar beritanya. Di situ mereka dibisikkan dengan seribu cerita. Enak dan lucu. Benar dan tahyol. Semua dikunyah lumat, dihadam dan ditelan. Mereka telan semua termasuk keladak dan hampasnya.
MALAYSIA'S Economy To Shrink

Pakatan Rakyat masih bersenda dengan blog dan web. Blog dan web ramai pengunjungnya. Beribu, malahan puluhan ribu setiap hari. Bangganya Pakatan Rakyat dengan beratus blogger yang menitipkan bicara manis halwa minda setiap pembaca. Mereka lupa. Mereka alpa. Mereka terlepas pandang. Siapa sebenarnya pengunjung blog dan laman web. Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang di desa, kampung dan lurah yang dulunya dikunjungi, mereka tidak tercapai nikmat berinternet. Bukan mereka rabun, tidak juga pekak. Mereka terbatas capaiannya. Hidangan yang ada dan mudah dihadam hanya akhbar-akhbar hamprak yang penuh dengan sampah perencat minda.
Pakatan Rakyat, bangunlah. Sedarlah bahawa komunikasi kalian terbatas. Jasa dan budi kalian mungkin rakyat nikmati tetapi tidak dirasai. Mereka tidak terkesan akan janji-janji yang tertunai (kalau ianya ditunaikan).

Berbeda dengan UMNO/BN, titi yang mereka buat, jambatan yang mereka war-warkan. Baja yang mereka beri, ladang yang mereka umumkan. Pensil yang mereka beri, sekolah yang mereka momokkan. Mereka punyai segala sumber komunikasi yang sasarannya mengena tepat kepada targetnya. Mereka ingin mengulit rakyat di desa, kampung dan lurah, dan target mereka tepat. Utusan Malaysia, TV3 dan sekutunya membantu sasaran mereka. Malahan, tidak cukup dengan itu, RM200 yang mereka beri, undi yang mereka nikmati.


Bangkitlah Pakatan Rakyat, Keadilan khasnya. Sedarlah kita masih lagi merangkak dalam lumpur. Jangan ditunggu penggumuman pembubaran DUN dan Parlimen atau kematian wakil rakyat baru kalian terhegih-hegih mencari Pak Long dan Mak Long, kakak, adik dan abang di kampong dan desa. Ketika itu, masanya sudah terlewat.

Salaam Takzim
Sofi. Kerajaan Rakyat

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...