20 Jun 2011

PELANCARAN HIMPUNAN BERSIH 2.0

Bersih 2.0: Pilihan raya adil, bersih juga baik buat BN
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

Persekitaran ketika majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur malam tadi. — Foto oleh Jack Ooi

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan berkata sistem pilihan raya yang adil dan bersih baik kepada semua parti politik termasuk Barisan Nasional (BN).
Pada pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di sini malam tadi, Ambiga sekali lagi memberi jaminan perhimpunan itu akan diadakan secara aman.

Beliau juga berkata cadangan mengadakan Himpunan Bersih 2.0 ekoran mendapati pilihan raya negeri Sarawak pada April lalu dicemari dengan penyelewengan dan ketidakadilan.

“Hanya tinggal dua minggu sebelum Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini... Himpunan Bersih 2.0 ini akan ditangani secara aman dan bertanggungjawab.

“Baru-baru ini kita telah lihat bukti bahawa pilihan raya negeri Sarawak telah dijalankan dengan tidak adil dan ia adalah sebab utama mengapa kami mengambil keputusan mengadakan perhimpunan ini,” katanya pada majlis pelancaran.

Tambah Ambiga, pihaknya masih membuka pintu kepada BN untuk sama-sama menyertai Himpunan Bersih 2.0 bulan depan bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih.

“Bersih adalah gabungan NGO, kami tidak disokong oleh mana-mana parti politik, tapi kami telah hantar surat jemputan kepada semua parti politik (untuk sertai Himpunan Bersih 2.0) tapi hanya Pakatan Rakyat yang bersetuju.

“Himpunan Bersih 2.0 dijalankan hanya oleh NGO kerana kami menuntut pilihan raya yang adil dan bersih untuk semua parti politik... jika pilihan raya adil dan bersih dapat dijalankan, ia juga baik kepada BN, juga adil kepada BN dan bagus kepada BN.

“Oleh itu jemputan untuk sama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0 masih terbuka, kami jemput untuk turun ke jalanan bersama rakyak,” katanya.

Dalam ucapan itu, beliau juga menegaskan lapan tuntutan yang dibuat adalah munasabah dan perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Apa tuntutan Bersih? Apa masalah dengan tuntutan ini? Kami hendak taraf demokrasi dinaikkan... apa salah tuntutan Himpunan Bersih 2.0 ini? Tiada siapa yang boleh katakan bahawa tuntutan ini tidak munasabah.

“Apa yang kami lakukan ini dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan polis tidak boleh nafikan hak kita kerana kebebasan bersuara terjamin dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimumu 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Pada hari Himpunan Bersih 2.0, Perkasa dan Pemuda Umno juga mengadakan perhimpunan balas.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak SPR mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Himpunan Bersih 2.0 akan berkumpul di tiga lokasi berbeza iaitu pusat membeli-belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai pukul 2 petang sebelum berarak ke Istana Negara.

Menurut Ambiga, pihaknya bersedia bekerjasama dengan polis bagi menjayakan Himpunan Bersih 2.0.

“Bersih ingin meyakinkan pihak polis dan pihak-pihak lain bahawa Himpunan Bersih 2.0 adalah satu gerakan yang aman.

“Bersih ingin bekerjasama dengan pihak polis untuk menjayakan keinginan rakyat dalam melaksanakan hak perlembagaan untuk perhimpunan aman,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...