22 Mei 2011

TERKINI : 16 maut tragedi tanah runtuh Hulu Langat, sembilan cedera

16 maut tragedi tanah runtuh Hulu Langat, sembilan cedera
TERKINI @ 08:54:20 AM 22-05-2011 May 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dekat sini, ditemui awal pagi ini.
Dengan itu 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal, demikian menurut laporan Bernama.

Operasi mencari dan menyelamat disambung pukul 8 pagi ini.

Mayat tiga daripada empat mangsa itu, dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi dan mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu, seramai 25 orang yang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim tertimbus.

Laporan semalam menyebut ada 49 orang di lokasi kejadian.

Sementara itu, satu lagi laporan Bernama menyebut, lima daripada lapan mangsa kejadian tanah runtuh yang dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini semalam berada dalam keadaan stabil.

Tiga lagi kritikal, kata laporan itu yang memetik Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab.

Mereka yang stabil dikenali sebagai Aizat, 12, yang cedera tangan kiri; Muhd Alauddin Sobri, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Pandan Mewah yang patah tangan kiri; Muhd Syafiq Ibrahim, 21, warden pula patah kaki kanan dan terkehel di bahagian leher; Khairul Anuar Nasri, 9, (luka kaki kanan); dan Siti Fatimah Ibrahim, 21, warden yang dikatakan mengalami trauma akibat kejadian tanah runtuh itu.

Menurut Ab Rashid, kesemua mereka cedera akibat dihempap runtuhan tanah.

Tiga lagi mangsa yang kritikal dikenali sebagai Hairi, Izudin dan Muhd Harris Izzudin Sharul Azmi.

Ada mangsa yang dihantar ke Hospital Kajang.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus.

Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Azman berkata, lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

berita berkaitan
Shahrizat: Rumah Anak Yatim Madrasah Al-Taqwa tak daftar di JKM
May 22, 2011


Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) diberi penerangan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai di lokasi tragedi. — Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Kampung Gahal, Hulu Langat tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata beliau juga tidak pasti sama ada rumah anak yatim itu berdaftar di bawah mana-mana agensi di kementerian lain.

“Yang terlibat (dalam tragedi ini) ada pelajar, ada anak yatim, ada guru. Kita tidak tahu ia di bawah agensi mana,” katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan kejadian tanah runtuh di rumah anak yatim itu.

Dipetik Bernama, Shahrizat berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan agensi dan kementerian berkaitan dalam masa terdekat untuk mengetahui status rumah anak yatim itu.



Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memberikan bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh.

Selain itu, katanya kerajaan akan menanggung perbelanjaan kos rawatan mangsa yang cedera dan menerima rawatan di Hospital Ampang, Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur.

“Saya rasa sedih dan ucapkan takziah terhadap tragedi yang menimpa,” katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan tanah runtuh tengah malam tadi.

Muhyiddin berkata kerajaan akan mendapatkan laporan lengkap mengenai punca kejadian tanah runtuh.

Muhyiddin turut menyampaikan ucapan takziah daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kepada waris mangsa.

Tanah runtuh: Kerajaan Selangor hulur bantuan awal

May 21, 2011
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Kerajaan negeri Selangor mengumumkan bantuan awal kepada mangsa kejadian tanah runtuh Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis dekat Kajang hari ini, antaranya menghantar misi bantuan kemanusiaan Selangor dan Yayasan Amal ke tempat kejadian bagi membantu mangsa terselamat dan ahli keluarga mereka.

Selain itu, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini dan petugas-petugas yang bertungkus-lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.

“Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini,” kata Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

Selain itu, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

“Buat sementara waktu, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, Menteri Besar juga menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini, yang dilaporkan terjadi kira-kira 2.20 petang tadi.

“Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.

“Menteri Besar serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat,” katanya. -sunber TMI

Komen: Jangan pertikai daftar di kementerian mana, sepatutnya pihak yang berkenaan perlu PROAKTIF untuk melakukan sesuatu bila dah berlaku masing-masing lepas tangan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...