Roketkini muncul Isnin ini, akses DAP kepada suara MelayuPaparan Facebook yang mempromosikan kemunculan Roketkini mulai Isnin ini.
KUALA LUMPUR, 21 Mei — Di sebalik kesukaran mengikis label sebagai parti cauvinis Cina, DAP meneruskan misinya mahu mendengar suara kaum Melayu menerusi landskap media atas talian dengan memperkenalkan laman web berita, langkah yang menurut komponen Pakatan Rakyat (PR) itu seharusnya telah diambil sejak dahulu lagi.
Hanya beberapa hari selepas naib pengerusinya Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengakui bahawa parti itu telah gagal menarik sokongan orang Melayu yang disasarkan, DAP akan melancarkan laman web dalam Bahasa Malaysia, Roketkini.com dengan harapan dapat mendampingi orang Melayu dengan maklumat terkini.
“Buat masa sekarang, ada jurang besar bagi kami di media Bahasa Malaysia. Anda tidak mendengar apa-apa mengenai DAP kecuali (maklumat) kami diserang,” kata setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari.
Parti majoriti ahlinya kaum Cina itu terus-menerus didakwa oleh Umno, parti teras dalam Barisan Nasional (BN) dan media Bahasa Malaysia sebagai mengamalkan politik perkauman.
Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia secara konsisten menyerang DAP kononnya mahu merampas kuasa politik orang Melayu.
Roketkini, menurut Zairil, bukan sahaja akan bertindak sebagai portal berita tetapi juga sebagai “jenama bagi kami untuk mengadakan forum-forum, perbincangan dan acara-acara dalam Bahasa Malaysia untuk mendekati demografi ini.”
Zairil, yang menganggotai lembaga penasihat bagi laman web itu menambah, meskipun Roketkini akan menyediakan maklumat bagi khalayak bandar, tetapi ia juga akan bertindak sebagai alat untuk mendampingi masyarakat Melayu luar bandar.
“DAP tiada (sokongan) akar umbi di kawasan luar bandar. Jadi, meskipun kami ada akhbar Rocket versi Bahasa Malaysia, sukar bagi kami untuk mengedarkannya.
“(Jadi), laman web ini sebenarnya akan menyelesaikan masalah pengedaran yang kami hadapi meskipun orang Melayu berpendapatan rendah kemungkinan tiada komputer, tetapi mereka masih akses kepada Internet pada masa sekarang,” katanya.
Roketkini akan dilancarkan Isnin ini.
Editor Wan Hamidi Hamid berkata, “tidak kira sama ada mereka Mat Rempit, mereka ada akaun Facebook”.
“Kebanyakan membawa komputer bimbit dan menggunakan Facebook, kerana ia murah, lebih murah berbanding telefon pintar,” kata wartawan veteran ini.
Penyusun strategi parti, Liew Chin Tong pula memberitahu undi orang muda kawasan bandar merupakan sokongan masa depan memandangkan 72 peratus rakyat Malaysia berusia 40 dan merangkumi separuh daripada pengundi yang layak.
Katanya, kira-kira 65 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan-kawasan bandar.
Zairil juga berkata, keseluruhan bahan disajikan dalam Bahasa Malaysia meskipun penulis dan penyumbangnya datang dari pelbagai latar belakang.
Bagaimanapun DAP tidak pasti sejauh mana impak langkah terbaru ini dari segi sokongan undi kelak.
Ketika spekulasi semakin kuat bahawa pilihan raya umum ke-13 akan dipanggil bila-bila masa, PR masih bekerja keras untuk mendapatkan balik pengundi-pengundi Melayu yang sudah mula beralih kepada pesaing mereka berbanding ketika pilihan raya umum 2008.
Bagaimanapun Wan Hamidi berkata, matlamat utama ialah mengetengahkan pandangan dan pendirian DAP dalam laman Bahasa Malaysia dan menjana debat di kalangan komuniti Melayu.
“Kami sepatutnya telah mengambil langkah ini sejak dulu lagi. Dengan (mempunyai) khalayak Melayu, kami tiada apa-apa untuk rugi dan boleh memperoleh banyak kelebihan,” kata Zairil.
-tmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan