30 Mei 2011

Himpunan 'Bantahan Lynas' Di Hotel Hyatt Kecoh

Himpunan 'Bantahan Lynas' Di Hotel Hyatt Kecoh Apabila 'Penyokong Kerajaan' Membuat Provokasi Terhadap Ahli MCA Yang Turut Hadir Menyokong!

KUANTAN, 30 Mei - Himpunan Bantahan Lynas yang diadakan di Hotel Hyatt dekat sini kecoh apabila sekumpulan penyokong kerajaan tiba-tiba membuat provokasi terhadap peserta demontrasi berkenaan. Mereka yang terdiri dari kalangan ahli UMNO dan beberapa NGO berkaitan menyerbu sekumpulan ahli Pemuda MCA yang turut berada bersama peserta demo.

Difahamkan, tolak menolak berlaku dan kata-kata kesat dilontarkan kepada pihak terbabit hingga menyebabkan pihak polis terpaksa camput tangan. Seorang ahli pemuda UMNO hampir-hampir bertumbuk dengan wakil Pemuda MCA yang hadir. Program diadakan untuk menyatakan bantahan dan menghantar petisyen kepada pakar-pakar yang dijemput kerajaan untuk mengkaji tahap keselamatan kilang memproses rare earth Lynas Corporation di Gebeng.

Pakar-pakar terbabit dipercaya berada di Kuantan untuk memantau projek Lynas seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan. Mereka dipercayai menginap di Hotel Hyatt dekat Teluk Chempedak. Himpunan anjuran Save Malaysia Stop Lynas itu adalah kesinambungan demo yang diadakan sebelah paginya di tempat yang sama. Difahamkan hampir 200 orang peserta menyertai demo yang bermula pada jam 8.00 pagi tadi. Kekecohan berlaku buat kali yang kedua sekitar jam 4.30 petang apabila rombongan yang membawa Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh tiba untuk menghadiri mesyuarat dengan lima orang pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Ia berikutan beberapa orang pemimpin UMNO tidak mahu pihak terbabit membawa bersama petisyen yang telah ditandatangani oleh rakyat ke dalam mesyuarat yang diadakan. Tindakan tersebut menyebabkan Ketua Polis IPD Kuantan, Tuan Jasmani Yusoff terpaksa meninggikan suara dan mengarahkan penyokong kerajaan bersurai. Keadaan mulai reda dan masing-masing beredar ke arah pintu masuk laluan ke Hotel Hyatt. Penyokong kerajaan berada dibawah pokok yang berhampiran sementara itu peserta demo berada di tepi jalan masuk ke hotel terbabit. Keadaan terkawal, beberapa orang anggota polis FRU dilihat berjaga-jaga bagi mengelakkan sesuatu kejadian tidak diingini berlaku.

[Mesyuarat yang berlangsung antara YB Fuziah Salleh dengan pakar-pakar IAEA dikatakan hanya sekitar 30 minit sahaja. Masa 10 minit digunakan oleh pihak terbabit untuk memperkenalkan diri masing-masing dan selebihnya diberika kepada Fuziah untuk membentangkan isu yang menjadi bantahan rakyat terhadap pembinaan kilang Lynas itu. Secara keseluruhannya, pihak terbabit berjanji untuk mengkaji dan membawa perkara itu kepada pihak kerajaan. Orang ramai yang berada di persekitaran Hotel Hyatt didapati mula beredar selepas suasana agak reda. Hanya kelihatan pihak polis yang masih berkawal di lokasi berkenaan. Sekitar jam 6.00 petang, didapati sebuah kenderaan VVIP menuju masuk ke hotel terbabit. Tidak diketahui siapakah pihak berkenaan dan apakah tujuannya. Apapun, program anjuran Save Malaysia Stop Lynas hari ini dilihat berjaya biarpun terdapat pertembungan luar biasa dengan penyokong kerajaan. Apapun kehadiran mereka adalah dengan paksaan dan ada imbuhan diberikan sebenarnya. Esok, satu lagi himpunan akan diadakan di Pantai Teluk Chempedak sekitar jam 8.00 pagi. Orang ramai dijemput hadir untuk bersama-sama menyokong bantahan pembinaan kilang memproses rare earth ini. Stop Lynas!].

http://pahangdaily.blogspot.com/2011/05/terkini-himpunan-bantah-lynas-di-hotel.html

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...