09 Mei 2011

ETP menjana kekayaan di atas kertas

ETP hanya jana ekonomi jangka pendek

Program Transformasi Ekonomi (ETP) seolah-olah telah menjadi kata ganti nama untuk ekonomi Malaysia sejak Oktober 2010. Kita nampaknya disemai konsep bahawa Malaysia akan merealisasikan Wawasan 2020 dengan adanya ETP.

Namun demikian, laporan Bank Dunia berjudul Malaysia Economic Monitor: Brain Drain yang dikemukakan baru-baru ini, secara terus-terang mendedahkan satu realiti yang sering diabaikan, iaitu "Kerajaan Najib amat aktif untuk menggerakkan ETP yang berasaskan pelaburan; namun tidak begitu ideal ketika menggerakkan Model Ekonomi Baru (NEM) yang bertujuan untuk menyelesaikan kebuntuan struktur ekonomi."


"Seandainya masalah kebuntuan dari segi struktur ini tidak diselesaikan dengan baik, maka situasi yang mungkin wujud adalah, Malaysia akan mempunyai prestasi ekonomi yang baik untuk sementara waktu, kerana dipacu projek pelaburan ini (ETP). Namun, untuk jangka panjang - tanpa pembaharuan dari segi struktur (NEM), momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia padahalnya amatlah rapuh," Demikianlah pandangan yang tercatat dalam laporan.

Bagaimana ETP disolek sekalipun oleh kerajaan Najib, gagal menutup "pendedahan yang jujur" oleh Bank Dunia - satu realiti yang tidak menyenangkan, dan enggan dihadapi oleh kerajaan Najib.

ETP menjana kekayaan di atas kertas

Tidak dinafikan, kepantasan PM Najib untuk menggerakkan ETP amat dikagumi. Dalam tempoh yang singkat, iaitu dari Oktober 2010 hinggalah April 2011, kerajaan Najib telah mengumumkan 70 projek pelaburan yang berpotensi, dijangka bakal memperolehi jumlah pelaburan RM106.4 bilion, mencipta 298,865 peluang pekerjaan dan jumlah pendapatan penduduk (GNI) sebanyak RM153.83 bilion menjelang tahun 2020.

Kesan yang paling langsung daripada projek pelaburan ini adalah mencipta kekayaan di atas kertas. Meskipun berdepan dengan unsur-unsur negatif, pasaran saham Malaysia terus melonjak dari 1259.16 pada 31 Januari 2010, kepada 1534.95 pada 30 April 2011 - selepas pengumuman ETP oleh Najib.

Harga saham GLC atau syarikat besar swasta telah melonjak seandainya namanya tersenarai dalam ETP. Malah ada yang dua kali ganda kadar lonjakan harga sahamnya. Antara syarikat yang bermodal kecil yang namanya tersenarai dalam ETP, misalnya Tricubes Bhd yang menanggung kerugian sebelum ini, Karambunai CorpBhd, Petaling Tin Bhd dan lain-lain.

Sebagai contoh, harga saham Tricubes Bhd melonjak dari 5.5 sen pada 18 April kepada 32.5 sen pada 22 April, setelah diumumkan bahawa syarikat ini menerima projek Emel 1Malaysia, bersamaan kadar lonjakan 491%. Selain itu, Karambunai Corp Bhd, Petaling Tin Bhd dan lain-lain telah memperolehi satu projek pelaburan Karambunai Integrated Resort City (KIRC) yang bernilai RM9.6 bilion. Sehingga 29 April, saham Karambunai Corp telah melonjak kepada 22.5 sen, dengan lonjakan 246% berbanding nilainya tahun lalu; dan Petaling Tin pula melonjak kepada 39.5 sen, lonjakan 132% berbanding tahun lalu.

Namun demikian, pembinaan berskala besar ini gagal menutup kerapuhan ekonomi Malaysia, iaitu masalah struktur. Seterusnya, masalah yang terpampang di depan mata adalah bagaimana ETP ini dilaksanakan, dan bagaiamana projek ini dijayakan.

Seandainya diteliti, kebanyakan ETP menjadikan masalah kebuntuan struktur, misalnya kekurangan modal insan berkualiti dan kreatif, pasaran dalam negara tanpa daya saing, sektor awam yang rendah efisiennya, dasar afirmatif yang berasaskan perkauman, sebagai unsur risiko pada jangka sederhana. Namun, penyelesaian yang diketengahkan NEM tidak disenaraikan dalam ramalan jangka panjang.

Ini menunjukkan kerajaan Najib atau pihak yang menggerakan ETP tidak berpandangan jauh, melihat kepentingan ekonomi jangka pendek, tetapi tidak mahu berdepan atau menyelesaikan masalah struktur yang berpanjangan. Misalnya, MYLED MASTER Sdn Bhd bukan sahaja memperluaskan pembuatan teknologi hijau, malah akan menubuhkan pusat penyelidikan yang dianggar bakal mencipta 900 peluang pekerjaan. Namun, tiada penerangan yang jelas dalam hal sejauh manakah negara kita mampu membekalkan pakar yang mencukupi.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...