Padungan: Bekas Adun PKR Dominique Ng dicabar BN, DAP
April 06, 2011
KUCHING, 6 April – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan Dominique Ng Kim Ho, akan mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon DAP, Wong King Wei dan calon Barisan Nasional (BN), Sim Kiang Chiok.
Ng, 50, yang memenangi kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan daripada parti semalam selepas digugurkan oleh pucuk pimpinan PKR.
Laporan Bernama Online menyebut, satu lagi kawasan bandar yang majoriti pengundi Cina – Batu Lintang – turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon bebas wanita Soo Lina, 52, Sih Hua Tong (BN) dan See Chee How (PKR).
Sementara itu, kerusi Pending akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Violet Yong Wui Wui daripada DAP dan calon BN Prof Dr Sim Kui Hian, seorang ahli kardiologis.
Terdahulu, pengumuman bagi kerusi Padungan ditangguhkan lebih sejam berikutan bantahan oleh DAP terhadap penggunaan nama barat Ng, Dominique yang akan digunakan pada kertas undi.
Calon BN bagi kerusi Batu Lintang, Sih ketika ditemui wartawan berkata beliau yakin berpeluang merampas kembali kerusi itu meskipun memaklumi akan menghadapi tentangan hebat.
“Walaupun kami mengetahui sokongan peringkat akar umbi bagi BN semakin kukuh, kami tidak akan mengambil mudah. Kami akan berhabis-habisan dalam pertarungan ini,” katanya.
Kita ikuti komen oleh MSK tentang perkara tersebut:
Aku tidak terkejut apabila nama Dominique Ng digugurkan disaat akhir oleh PKR. Cerita tentang bagaimana Dominique perlu disingkirkan sudah mula berlegar sekitar March 2009. Pergeseran diantara Dominique dengan Haji Baha memang sudah lama, malah sejak PRU 2008 lagi. Kemuncak kepada krisis ini ialah Pemilihan PKR 2010, dimana Dominique berada di kem penentang Azmin. Malah, Dominique sendiri seperti sudah menjangkakan dia akan digugurkan dan mula membuat persiapan untuk bertanding DUN Padungan, sebelum pengumuman dibuat.
Belum pun sempat pengumuman dibuat, poster Dominique sudah pun kelihatan di Padungan. (Menghairankan juga kerana poster dan billboard Dominique sudah terpacak sekitar jam 2 petang tadi. Ini menunjukkan bahawa Dominique sudah bersiap sedia jauh lebih awal dari calon PKR dan BN).
Dominique merupakan satu-satunya calon PKR yang menang dalam PRN 2006. Malah, Padungan merupakan satu-satunya kawasan selamat untuk PKR, dan apabila PKR dan DAP bersetuju untuk bertukar DUN, jelas…politik parti lebih penting dari kemenangan.
Sekarang, Dominique sudahpun mengesahkan untuk bertanding di Padungan. Dengan pengaruh dan jaringan yang telah dibuat, peluang untuk Dominique menang agak cerah, walaupun bertanding diatas tiket Bebas. Dan kemungkinan juga, pergeseran didalam parti ini akan menyebabkan BN memenangi DUN Padungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan