12 Disember 2010

Siapa khianati bangsa?


Siapa khianati bangsa?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kata:

"Siapa kata Felda bankrap...mana ada? Pengurusan Felda kata, jangan sebut tetapi banyak wang tunai kita ada dalam simpanan...(dan) selamat" (lihat Malaysiakini hari ini "PM: Pihak tuduh Felda bankrap pengkhianat bangsa").

Mengapa "jangan sebut"? Felda bukan syarikat milik peribadi. Malah, kalau saya ada syarikat sekalipun, saya terpaksa bersikap telus tentang jumlah aset saya, sekurang-kurangnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Adakah Perdana Menteri bersetuju supaya "jangan sebut"? Kalau dia tak setuju, mengapa dia nyatakan perkara itu dalam ucapan terbuka sehingga memberi gambaran bahawa dia menyokong tindakan "jangan sebut" itu. Kalau dia setuju, adakah dia tak sedar bahawa Felda adalah perbadanan awam? Felda mesti telus. There is no such thing as "jangan sebut".

Dan, tak bersikap telus bukankah lebih mengkhianati bangsa?

Saya percaya, pihak yang yakin dan mempunyai bukti, termasuk bukti yang telah diterima oleh mahkamah, bahawa para peneroka Felda ditipu dan ditindas akan meneruskan perjuangan mereka.

Bagi saya, kenyataan Najib menambahkan lagi ketidakyakinan saya kepada beliau dan Umno Barisan Nasional (BN) yang dikepalainya. Sebab itulah semalam, apabila saya terlihat tajuk muka depan Berita Harian, "Perang rasuah positif", saya tidak percaya.

Boleh jadi orang bertaraf rendah, miskin dan jongos seperti saya ramai yang diambil tindakan (memang saya miskin sehinggakan apabila anak saya, Muhammad Sadiq, 16, kembali ke sisi Allah s.w.t. Sabtu lalu, ada kawan-kawan yang berkata "Apa nak jadi dengan bakaq [maksudnya, macam mana saya nak uruskan pengkebumian anak saya]? Dia tu tinggal Allah dan Rasul ja [maksudnya tak dak duit]" . AlhamduliLlah, Allah mendorong ramai yang sudi memberi ihsan).

Boleh jadi juga orang yang hendak dimodelkan bagi menayang-nayangkan kononnya kerajaan sunguh-sungguh melawan rasuah, seperti Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, didakwa di mahkamah.

Tetapi, bagaimana dengan kes-kes lain? Apabila bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendapat projek lumayan Kementerian Pertahanan berjumlah lebih RM2 bilion di zaman Najib menjadi menterinya, adalah ia merupakan transaksi yang telus dan bersih? Di Dewan Rakyat, ketika perkara itu didedahkan, puak backbencher BN hanya sekadar menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melakukan perkara yang sama ketika ia berkuasa. Tidak ada seorang pun yang Ahli Parlimen BN yang tampil membela Najib dari sebarang amalan buruk.

Kita lalu tertanya-tanya, adakah asal kepala Umno ja, mesti buruk kelaku?

Baru-baru ini, saya mendengar cerita bagaimana orang-orang paling berkuasa dalam negara melakukan "Operation Home Coming" untuk mengambilalih Celcom dari Tan Sri Tajuddin Ramli dahulu. Didakwa kepada saya, selepas lembaga baru mengambil alih Celcom, mereka membuat dua laporan polis antaranya mengenai apa yang didakwa sebagai fictitious invoices berjumlah lebih RM700 juta.

Persoalannya, mengapa beria-ia mengadakan "Operation Home Coming" sehingga didakwa melibatkan Suruhanjaya Sekuriti, polis dan termasuk pelbagai spin dalam Malay Mail dan NST? Jika benar ada fictitious lebih RM700 juta, beranikah orang yang bertanggungjawab melakukannya sorang-sorang? Ia sama juga dengan apa yang berlaku dalam MAS dahulu. Beranikah Tajuddin buat macam-macam hal sorang-sorang sehingga mengakibatkan MAS rugi besar sehingga lebih dari RM8 bilion? Siapa di belakang dia?

Saya sebut dua contoh ja. Banyak lagi kes besar yang lain. PKFZ, pembelian Sukhoi dan Scorpene, pembantaian Wang Ihsan, senaraikanlah sendiri.

Sebab itulah saya tak percaya propaganda haprak kononnya perang ke atas rasuah dan penyelewengan kian positif. Adakah saya tak percaya kerana yang kononnya berperang itu Umno BN? Tidak. Bukan kerana itu. Bukan sama sekali. Kalau PAS atau parti lain yang buat, adakah saya percaya? Juga tidak. Tidak sama sekali.

Parti mana pun yang memerintah, selagi tak dilakukan institutional reforms ke atas kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan-badan seumpamanya, saya tak percaya. Selagi badan-badan yang dah lunyai sakan disalahgunakan tidak diletakkan di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen, parti mana memerintah pun saya tak percaya.

Marilah kita bercakap tentang kepentingan rakyat dan kepentingan anak cucu kita yang akan tinggal dalam negara ini. Tak payahlah nak cerita mana-mana parti macam bagus sangat. Semuanya, terutama Umno BN, adalah mudharat kepada rakyat. Kalau terpaksa memilih, kita hanya boleh memilih mudharat yang kita yakin paling ringan. Setakat itu ja pilihan yang ada.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...